Monday, September 20, 2010

JAIM Terkejut, Sekolah Hamil Terima Pelajar Cina.


JASIN, 20 Sept 10: Sekolah Harapan yang diwujudkan bagi pelajar-pelajar yang hamil hari ini menerima kemasukan seorang pelajar Cina. Perkembangan yang mengejutkan banyak pihak khususnya Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang menguruskannya bersama asrama.

Ketua Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka, Rahimin Bani ketika dihubungi menzahirkan rasa terkejutnya dengan sambutan yang diterima dari kaum lain terhadap usahanya memberi teduhan sementara kepada pelajar-pelajar mengandung.

“Saya difahamkan pelajar Muslim sahaja yang mahu mendaftar hari ini tetapi tidak menyangka pula pelajar Cina itu sudah mendaftar terlebih dahulu di Rumah Harapan,” katanya.

Rumah Harapan merupakan asrama bagi pelajar yang akan mengikuti Sekolah Harapan. Sebelum ini rumah yang diwujudkan itu mendapati lebih ramai pelajar Melayu yang menghubungi JAIM bertanyakan prosedur untuk masuk ke Rumah Harapan itu.

Pelajar tersebut hadir ke Rumah Harapan untuk mengisi beberapa borang dan menyerahkan beberapa butiran peribadi yang diperlukan oleh JAIM. Pelajar tersebut ditemani keluarganya yang turut hadir untuk membantunya dalam pengurusan pendaftaran pada pukul 9.30 pagi tadi.

Sementara itu, Penyelia Rumah Harapan Saimah Hiran berkata borang pendaftaran yang mengandungi butiran peribadi pelajar itu akan terlebih dahulu diserahkan kepada JAIM untuk tindakan selanjutnya. “Pelajar ini hadir untuk mengisi semua borang yang ada dan kemudian maklumatnya akan diteliti oleh Pegawai Tadbir Agama JAIM dan kemudian baru kita tahu tindakan susulan yang akan diambil mengikut prosedur,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata pelajar itu perlu mengikut prosedur yang sudah ditetapkan melalui beberapa proses saringan dan pemilihan terlebih dahulu. “Pelajar akan ditemu bual, akan melalui sesi kaunseling, pemeriksaan kesihatan dan akhirnya ada proses pemilihan berdasarkan penilitian terperinci dijalankan,” katanya.

Difahamkan pelajar tersebut berasal dari Segamat. Selain itu, keluarga pelajar itu juga dikatakan akan berada di Rumah Harapan bagi berjumpa Pengerusi Lembaga Sekolah Harapan Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim pada pukul 11.30 pagi untuk perbincangan lanjut berhubung kemasukan anak mereka ke rumah itu dan Sekolah Harapan untuk belajar.

Sekolah Harapan ini diwujudkan oleh kerajaan negeri bagi pelajar dapat mengikuti kelas seperti biasa untuk persediaan menduduki peperiksaan Penilaian Menegah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia. Sekolah tersebut hanya terletak bersebelahan Rumah Harapan yang didaftar oleh pelajar Cina itu tadi. (Sumber The Malaysian Insider/AK)

2 comments:

Blogsyarih said...

Kalau dah berlaku kehamilan tu ramai ibu bapa tak tau nak letak mana. Jadi kalau ada sekolah sebegini sekurang-kurangnya ada tempat untuk di sorokkan dan tekanan keatas ibu bapa akan semakin ringan disebabkan pandangan masyarakat.

AMIR RAOF said...

jikalau boleh,kita duk bincang dan bukanya gaduh pasl isu sekolah ini. kdg2 kesian jugak, belum apa2 dah kena hentam teruk.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails