Friday, September 24, 2010

Ketua JI Bebas ISA, Pulang Ke S'pura

Mas Selamat memboloskan diri dari pusat tahanan Whitley Road, Singapura dua tahun lalu. — Foto Reuters
KL, 24 Sept 10: Pemimpin pertubuhan Jemaah Islamiah (JI) Singapura Mas Selamat Kastari bebas daripada tahanan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hari ini dan akan dihantar pulang ke republik tersebut.

Mas Selamat memboloskan diri dari pusat tahanan Whitley Road, Singapura pada 27 Februari 2008 dan ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia pada 1 April 2009 di Kampung Tawakal dekat Skudai. Kemudian dia ditahan di bawah ISA selama dua tahun dan tahanannya dibatalkan pada pukul 10.30 pagi ini.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan, Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi/Anti Pengganas) PDRM, Datuk Muhamad Fuzi berkata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein membatalkan perintah tahanan terhadap Mas Selamat.

Pembebasan dan penghantaran pulang Mas Selamat diumumkan selepas lima hari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatannya Lee Hsien Loong mengadakan pertemuan di Istana, Singapura.

Mas Selamat memboloskan diri daripada Whitley Road Detention Centre, tempat beliau ditahan selepas dibawa pulang dari Indonesia bulan Februari dua tahun sebelum itu.

Ekoran tindakan memboloskan diri, Timbalan Perdana Menteri Singapura yang juga Menteri Dalam Negeri Wong Kan Seng memberitahu Parlimen sebelum ini bahawa terdapat kelemahan keselamatan di pusat tahanan itu sehingga mengakibatkan Mas Selamat dapat melepaskan diri.

Beliau berkata tahanan itu dibawa keluar dari tempat penahanannya untuk ke bilik lawatan bagi menunggu kunjungan anggota keluarganya apabila dia meminta untuk pergi ke tandas, sebelum melarikan diri.

Lelaki kelahiran Indonesia itu didakwa menjadi dalang kepada satu rancangan untuk merampas sebuah pesawat penumpang bagi merempuh Lapangan Terbang Changi Singapura pada tahun 2002, namun rancangan itu tidak diteruskan.

Tahun lalu, Najib berkata, Mas Selamat merupakan ancaman terhadap keselamatan Malaysia dan Singapura, justeru penahanan itu merupakan sesuatu yang wajar dilakukan.

“(Penahanan) ini merupakan keputusan Malaysia namun saya pasti jika dia berada di Singapura, dia akan ditahan juga. Saya tak nampak mengapa Singapura hendak membebaskan Mas Selamat,” katanya.

Laporan Bernama awal tahun lalu juga berkata, keputusan menahan Mas Selamat selama dua tahun di bawah ISA di negara ini turut mengesahkan bahawa ketua JI Singapura itu tidak akan diekstradisi ke republik tersebut di dalam jangka masa terdekat ini.

Soal sama ada ketua JI republik tersebut akan dihantar pulang ke Singapura katanya, akan hanya dibincangkan selepas tamat tempoh dua tahun itu.

Laporan sebelum ini mengatakan sejurus selepas Mas Selamat memasuki negara ini setelah berenang merentasi Selat Tebrau dari Woodlands, Singapura, dia telah pergi menemui dua kawannya Johar Hassan dan Abdul Matin di Johor.

Mas Selamat menjadi orang buruan paling utama Singapura, selepas dia berjaya meloloskan diri dari penjara kawalan maksimum di Pusat Tahanan Whitley Road pada Februari 2008.

Awal tahun lalu, sumber Bernama turut mengatakan, Mas Selamat akan menjalani proses pemulihan sepanjang tempoh warga Singapura itu berada di Pusat Tahanan Kamunting, yang menempatkan tahanan-tahanan ISA.

“Menerusi proses pemulihan yang dijalaninya di Kamunting itu, kita berharap akan dapat meneutralisasikan beliau,” katanya.

Beliau berkata, di antara proses pemulihan yang akan dijalani oleh ketua JI Singapura itu termasuklah sesi pendebatan agama antara Mas Selamat dengan kumpulan pakar agama pihak berkuasa. (AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails