SHAH ALAM 22 Sept 10: Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mempersoalkan tindakan penjualan tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang bernilai RM400 juta kepada Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dengan harga yang jauh yang lebih rendah daripada harga semasa iaitu sebanyak RM50 juta.
Beliau berkata adakah rakyat Malaysia ditipu lagi berhubung perjualan yang membabitkan tapak seluas 8 hektar milik KTMB yang terletak di belakang bekas ibupejabat Unilever di Jalan Bangsar.
"Tanah ini, yang dianggarkan bernilai RM500 per kaki persegi, berkemungkinan digunakan sebagai sumber pendapatan tetap untuk KTMB, selari dengan niat awal tanah tersebut yang sepatutnya digunakan untuk kegunaan perkhidmatan kereta api.
"KTMB sepatutnya boleh membangunkan tanah tersebut secara usahasama ataupun menerima pulangan menerusi sewaan tanah yang dapat memberikan pendapatan berterusan. Cara sebegini adalah cara bagaimana perkhidmatan MRT di Hong Kong dan Singapura serta London Underground mempertahankan perkhidmatan kereta api mereka untuk kepentingan awam.
"Mekanisma pulangan sebegini bukan sahaja dapat menyelamatkan prestasi kewangan KTMB yang kini dalam kerugian, tetapi juga berpeluang membantu rakyat menerusi penurunan harga tiket dan penyediakan perkhidmatan yang lebih cekap untuk rakyat," kata beliau dalam satu kenyataan.
Namun katanya, kerajaan memutuskan supaya tanah KTMB di Jalan Bangsar ini dipindah milik kepada Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera.
Beliau turut mempersoalkan jika sekiranya tapak tersebut dibangunkan semula, adakah unit-unit pembangunan itu akan dijual kepada Bumiputera dengan harga diskaun. Ini memandangkan tanah itu diperolehi oleh PHB dengan diskaun sebanyak 80 peratus,
"Bagaimanakah ianya dapat dinikmati oleh golongan Bumiputera?
"Adakah akan terdapat kawalan bagi memastikan pemilikan bumiputera semasa penjualan unit-unit pembangunan nanti?.
"Adakah rakyat terpaksa menelan kekecewaan apabila sekali lagi terpaksa menerima penggunaan tanah kerajaan untuk memperkaya golongan terpilih?," soalnya lagi.
Pada masa yang sama, beliau turut melahirkan kebimbangannya kerana tidak mahu dasar hartanah Bumiputera disalahgunakan seperti apa yang berlaku di dalam skandal Pelabuhan Bebas Cukai Port Klang (PKFZ) yang membabitkan berbilion ringgit dana rakyat.
Dalam pada itu, Nurul Izzah turut menyenaraikan beberapa bentuk manipulasi keuntungan yang dikenali sebagai ketirisan ekonomi dan menimbulkan banyak tanda tanya di kalangan rakyat seperti transaksi tanah KTMB di Tanjung Pagar, Singapura.
1) Orang tertentu yang berkepentingan akan menggunakan syarikat persendirian (seperti dalam PKFZ) atau agensi kerajaan atau badan berkanun untuk mewajarkan pembelian tanah kerajaan pada kadar diskaun yang sangat tinggi. Perbezaan ini dikenali sebagai jurang nilai.
2) Semasa fasa pembangunan hartanah, mereka yang berkepentingan akan mendapat faedah sama ada daripada projek usahasama yang berat sebelah, atau melalui kontrak-kontrak yang dianugerahkan kepada kawan-kawan dan keluarga. Ia pastinya dianugerahkan melalui rundingan terus, atau proses tender yang kabur, dengan kos yang melampau, dan akhirnya sub-kontraktor diberi bayaran sangat rendah, supaya untung kontraktor utama dapat dimaksimumkan.
3) Kos pembangunan yang tinggi melampau itu kemudiannya bolehlah digunakan syarikat yang terlibat untuk mendapat pinjaman kerajaan seperti kes jaminan kerajaan untuk bon persendirian dalam kes PKFZ.
4) Syarikat-syarikat kroni ini kemudiannya akan menjual pula unit yang sudah siap untuk golongan Bumiputera pada harga diskaun. Walaupun dengan diskaun, harganya masih dikira tinggi untuk rakyat biasa.
5) Pemilik Bumiputera ini kemudiannya akan dibenarkan untuk menjual hartanah ini pada harga pasaran sebenar (mungkin juga boleh dipaksakan penjualan kepada agensi kerajaan untuk dijadikan pejabat) dengan untung yang sangat besar setelah dicampur dengan jurang nilai.
6) Untungnya akan mengalir ke tangan persendirian dan bukannya institusi Bumiputera. Ini seperti merompak Ahmad untuk membayar Ali.
7) Jika projek ini berakhir tanpa nilai komersial dan tidak mendatangkan keuntungan, sudah tentu kerajaan akan sedia untuk menyelamatkannya dan menggunakan hujah membela Bumiputera, untuk menegakkan benang basah.
"Ianya merupakan satu bentuk subsidi tidak langsung yang hanya menguntungkan segelintir rakyat sahaja sedangkan pada masa yang sama, subsidi untuk majoriti sudah ditarik.
"Saya akan memantau perkembangan projek ini dengan lebih dekat, ini kerana rakyat mengharapkan kepada kerajaan yang telus dan bertanggungjawab," tegas beliau.
Tambahnya, pada sesi parlimen Oktober depan, beliau akan mencadangkan penubuhan kaukus antara parti untuk pelaksanaan dasar Bumiputera dengan matlamat mengeluarkan laporan tahunan kepada awam tentang hasil dan penerima faedah dasar ini. (Suara Keadilan/AK)
------------------------------------------------------------
Sila lawati E-Perpustakaan IH:
Dapatkan 10 e-buku IH percuma!
Klik di sini..
Rak 1
- E-Buku IH-1: 'Misteri Hilangnya Jutawan Datuk Sosilawati'
- E-Buku IH-2: Wang Syariah: Tugas Kita Belum Selesai
- E-Buku IH-3: C/P, Mencari Melayu/Islam Sri Lanka
- E-Buku IH-4: C/P, Ke China Bersama Datuk Husam
- E-Buku IH-5: C/P, Yang Buruk Dari Syiah Iran?
- E-Buku IH-6: C/P, Perjalanan Dari Menado Ke Aceh..
- E-Buku IH-7: C/P, Menuju Cina Town Di Riau
- E-Buku IH-8: C/P, 'Medan-Tanjung Balai'
- E-Buku IH-9: Imbauan Lama 'Ada Kaitan Dg Harakah, ...
- E-Buku IH-10: 'Siri Jom Kreatif, Pelik-pelik..'
No comments:
Post a Comment