Monday, September 13, 2010

Lelong Gambar Wajah Tuan Guru Di PERAKAN

KOTA BHARU,12 Sept 10: Kerajaan Kelantan sentiasa menghargai sokongan anak Kelantan di Perantauan terhadap pemerintahan PAS negeri itu yang kini memasuki tahun ke dua puluh, kata Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurutnya, beliau terharu dengan sokongan padu anak Kelantan yang menggambarkan rakyat negeri ini tidak mudah ditipu oleh musuh politik yang sering membawa berita palsu terhadap pentadbiran negeri ini.

“Saya amat bangga kerana setiap kali pilihanraya umum diadakan, anak Kelantan di luar akan pulang untuk membantu PAS dan dapat memberi kemenangan besar dan Alhamdulillah sehingga kini sudah memasuki tahun ke20” ujar beliau juga.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meraikan anak Kelantan di Perantauan anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Persatuan Anak Kelantan di Perantauan( PERAKAN) malam tadi.

Sebelum itu, ketika menyampaikan amanat kepada orang ramai yang hadir memenuhi Dewan Konvesyen Kelantan Trade Centre (KTC), beliau berkata perjuangan yang dibawa oleh kepimpinan ulama di Kelantan sudah melakukan banyak perubahan.

“Sudah banyak perubahan kita laksanakan dan setiap yang kita lakukan adalah untuk kepentingan rakyat negeri ini dan ia sentiasa berasaskan Islam serta amalan berbaik baik dengan bukan Islam adalah satu cara kita tadbir negeri ini,” katanya lagi.

Program tahunan tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Dr.Muhammad Fadzli Hassan, Exco negeri,Wakil-wakil Rakyat serta Presiden Perakan Mohamad Radzi Yusof.

Malam tersebut juga turut menyaksikan lelongan gambar " Wajah-wajah Tuan Guru" dan mendapat pembida tertinggi dengan nilaian RM1500 yang dibeli oleh anak Kelantan yang bertugas di Perak. (AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails