Saturday, September 11, 2010

Masjid WTC Tetap Dibina, Imam Rauf Tidak Temui Pastor John.

Imam Feisal Abdul Rauf

NEW YORK, 11 Sept 10: Imam New York, yang menerajui projek pembinaan pusat kebudayaan beserta masjid berhampiran tapak Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang musnah genap sembilan tahun lalu, tidak bercadang untuk bertemu dengan pastor dari Florida yang sebelum ini mengancam mahu membakar al-Quran.

Imam Feisal Abdul Rauf berkata, tiada rancangan untuk mengadakan pertemuan dengan Pastor Terry Jones yang telah mengubah pendiriannya, tidak akan membakar al-Quran kelmarin.

“Saya bersedia untuk bertemu sesiapa sahaja yang dengan serius mahu menegakkan keamanan. Kami tiada rancangan pertemuan sedemikian pada masa sekarang.

“Pendirian kami untuk mengadakan pusat masyarakat (dekat dengan tapak WTC) tidak berubah.

“Ketika detik hari 11 September yang menyedihkan di depan kita, saya meminta setiap daripada kita meluangkan masa untuk mengadakan solat dan muhasabah diri,” kata Feisal dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Ejen publisiti beliau juga mengesahkan tidak akan ada pertemuan dengan Pastor Terry Jones dari gereja Dove World Outreach Center, Gainesville, Florida. Kelmarin Jones berkata, beliau membatalkan hasrat membakar al-Quran hari ini sempena ulang tahun kesembilan serangan pengganas ke atas WTC dan mengesahkan masyarakat Islam telah membatalkan pelan membina pusat kebudayaan di kawasan berhampiran dengan WTC.

Projek itu akan dialihkan ke tempat lain, kata Jones tetapi ia juga telah dinafikan oleh Feisal kelmarin. Malah Jones juga memaklumkan bahawa satu pertemuan akan diadakan dengan Feisal di sini hari ini. Hari ini genap sembilan tahun WTC musnah dalam serangan pengganas. (AK)

Sebelum ini...

No comments:

Post a Comment