KOTA BHARU, 20 Sept 10: Di samping berharap kepada tindakan saman terhadap Petronas, rakyat Kelantan turut diseru berdoa kepada Allah SWT agar hak royalti negeri ini dikembalikan semula.
Pengerusi Jawatankuasa Petroleum Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, biarpun kerajaan negeri sedia maklum dengan campurtangan politik dalam sistem kehakiman negara, namun yakin kuasa Allah mampu merubah segalanya.
"Kita tahu saman ini akan dibicarakan di mahkamah Malaysia, anda semua tahu mahkamah ini duduk dalam poket siapa.
"Memang betul duduk dalam poket kerajaan 'itu', parti itu, tetapi kerajaan itu, hakim itu duduk dalam kuasa Allah SWT," katanya pada satu ceramah di sini baru-baru ini.
Menurut beliau yang juga exco kerajaan negeri Kelantan, usaha dan doa harus selari sebagai syarat mencapai sesuatu kejayaan termasuk dalam kes menuntut royalti ini.
Tindakan saman itu juga menurut Husam dibuat secara bersungguh dan bukan-main demi menuntut kembali hak rakyat negeri seperti termaktub dalam perjanjian Akta Pembangunan Petroleum 1974.
"Kalaupun hakim itu duduk sebelah 'dia' sedangkan petroleum itu memang hak kita, kita doa sampai kerajaan Malaysia terbalik.
Pada 30 Ogos lalu, kerajaan Kelantan memfailkan saman terhadap Petronas di pejabat Pendaftaran Dagang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas tuntutan secara rundingan hak petroleum negeri itu tidak berhasil.
Tuntutan tersebut seperti kata Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz adalah atas dasar menjaga kehormatan harta rakyat negeri Kelantan yang telah dirampas oleh kerajaan Persekutuan. (Harakahdaily.net) ------------------------------------------------------------ Sila lawati E-Perpustakaan IH: Dapatkan 8 e-buku IH percuma! Klik di sini.. |
No comments:
Post a Comment