Tuesday, September 14, 2010

Tak Terjadi, Kalau Polis Bertindak Awal - N/Presiden PAS


KUALA LUMPUR, 13 Sept10:Beberapa pihak mempersoalkan apakah kemungkinan nyawa jutawan produk kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain dapat diselamatkan jika polis telah menyelesaikan empat aduan termasuk membabitkan seorang ahli perniagaan dari India yang didakwa hilang sebelum ini.

“Yang saya mempersoalkan ialah apakah kemungkinan tragedi yang menimpa empat mangsa ini termasuk Datuk Sosilawati (gambar) dapat dielakkan jika polis telah dapat bertindak dengan tegas sejak awal sebaik sahaja menerima laporan mengenai suspek utama tahun lalu?” kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar kepada The Malaysian Insider hari ini.

Sehubungan itu kata Ahli Parlimen Pokok Sena ini, pihak polis perlu memberi penjelasan terperinci status laporan yang dibuat terhadap suspek utama yang kini dikaitkan dengan pembunuhan Sosilawati sepanjang tahun lalu.

“Polis mengakui mereka pernah menerima aduan mengenai kehilangan sebelum ini termasuk laporan mengenai kehilangan seorang warga India.

“Oleh itu saya hendak bertanya apa tindakan polis ke atas aduan-aduan ini... apakah hasil siasatan ke atas aduan-aduan itu,” kata beliau.

Mahfuz menambah, apakah suspek utama ini kemungkinan tidak dapat ditangkap sekiranya tragedi terbaru ini tidak berlaku dengan suspek akan kekal bebas.

“Nampaknya suspek ini hanya dapat ditangkap selepas Sosilawati dan tiga lagi mangsa sudah menjadi abu,” kata beliau lagi.

Dua orang peguam adik-beradik termasuk seorang yang bergelar “Datuk” yang dipercayai menjadi “dalang” kejadian pembunuhan Sosilawati dan tiga mangsa lain yang dibunuh, dibakar dan abu mereka dibuang ke dalam sungai.

Semalam, polis juga mendedahkan pihaknya ada menerima aduan terhadap adik-beradik itu yang berusia 38 dan 41 tahun berhubung kehilangan tiga orang lain tahun lalu. Seorang jutawan dari Chennai, India dikatakan pernah terlibat dalam perniagaan usaha sama dengan adik-beradik berkenaan.

Mengikut laporan media, ahli perniagaan berkenaan dikatakan telah dipujuk agar datang ke Malaysia tahun lalu dan menyewa sebuah rumah di Bandar Sungai Emas, Banting. Ahli perniagaan itu dilaporkan kelihatan bersama adik-beradik berkenaan selama beberapa bulan sebelum hilang.

Pada Februari lalu, keluarga ahli perniagaan berkenaan datang ke Banting tetapi tidak dapat berhubung dengannya. Keluarga berkenaan kemudian membuat laporan polis tetapi tidak ada perkembangan selepas itu.

Semalam polis mengesahkan pembunuhan Sosilawati dan tiga lagi selepas dilaporan hilang sejak awal bulan ini. Sosilawati kali terakhir dilihat berada di Banting pada 2 September lalu ketika membeli kerepek. Termasuk adik-beradik itu lapan orang ditahan setakat ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, kesemua suspek mengaku membawa mangsa ke ladang seluas empat hektar itu sebelum dipukul sehingga mati dan mayat mereka dibakar. Abu mayat mangsa kemudian dibuang ke dalam sebatang sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat.

Selain Sosilawati, pengasas syarikat kosmetik Nouvelle Visages (NV) tersebut, turut dibunuh ialah pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32. Jutawan wanita berusia 47 tahun itu yang juga bekas isteri penyanyi rock Nash dan tiga yang lain dilaporkan hilang sejak 30 Ogos, selepas datang ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Mengenai motif kejadian tragis itu, Bakri berkata ia lebih menjurus kepada persaingan perniagaan di antara kedua-dua peguam dengan Sosilawati. Peguam berkenaan, yang dipercayai pernah digantung amalan guaman selama setahun pada 2007, dikenali sebagai broker tanah di kalangan penduduk setempat dan dipercayai mengendalikan beberapa urus niaga bernilai jutaan ringgit bagi pihak Sosilawati.

Malah menurut Bakri, suspek turut mengaku pernah menggunakan modus operandi serupa sebelum ini, dan polis sedang menyiasat kehilangan empat individu lain di kawasan tersebut sejak setahun lalu. Menurut seorang penduduk tempatan, peguam berkenaan amat dikenali di kawasan itu kerana dia membantu pekerja asing yang ditipu gajinya oleh majikan mereka.

Dalam kenyataannya, Mahfuz menambah, penahanan suspek utama ini juga ada kaitan dengan dakwaan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan yang berkata, polis tidak harus dikenakan tekanan dalam menjalankan tugas dan operasi mereka.

“Apakah ini menandakan apa yang diperkatakan oleh Musa adalah betul, di mana polis menerima tekanan daripada pihak atasan,” katanya.

Musa memberikan kenyataan itu beberapa hari sebelum bersara semalam.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Adakah penahanan suspek utama ini juga ada kaitan dengan dakwaan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan yang berkata, polis tidak harus dikenakan tekanan dalam menjalankan tugas dan operasi mereka?

Apakah ini menandakan apa yang diperkatakan oleh Musa adalah betul, di mana polis menerima tekanan daripada pihak atasan, sehingga tidak boleh bertindak wajar? 'Datuk' yang bersalah tidak didakwa walaupun dalam kes pembunuhan? Hal ini yang perlu dijelaskan kepada orang ramai, supaya rakyat tidak ragu dengan kewibawaan polis. (AK)

Lihat keseluruhan ini...

No comments:

Post a Comment