Wednesday, September 29, 2010

Tarikh PRK Galas: SPR Ambil Kira AGM Umno.

KL, 29 Sept 10: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat selewat-lewatnya Rabu depan dengan mengambil kira Perhimpunan Agung Umno 2010 dan hari-hari kebesaran dalam menentukan tarikh pilihan raya kecil DUN Galas.

“Pegawai-pegawai kami sedang mengumpulkan maklumat dan data, selewat-lewatnya Rabu kita akan panggil mesyuarat khas. Tetapi tarikh belum ditetapkan,” kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi petang ini.

Wan Ahmad berkata pihaknya telah menerima notis daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan tengah hari semalam. SPR mempunyai masa selama 10 hari untuk menentukan tarikh pilihan raya. Tempoh itu berakhir 7 Oktober. “Kami juga sedang menetapkan tarikh keluar writ pilihan raya, mungkin selewat-lewatnya Rabu minggu depan boleh mengadakan mesyuarat khas,” katanya.

Ketika ditanya sama ada penetapan tarikh pilihan raya kecil ini, yang kali ke-12, akan mengambil kira AGM Umno juga, Wan Ahmad berkata, pihaknya akan mengambil kira semua aktiviti parti. Selain itu kata beliau, SPR juga akan mengambil kira hari-hari kebesaran seperti sambutan Deepavali dan Aidiladha, jatuh sebelum pertengahan November, dalam menentukan tarikh pilihan raya.

AGM Umno akan berlangsung pada minggu ketiga bulan depan. “Kita akan ambil kira semua aktiviti parti... itu yang kita sedang fikirkan, tarikh yang sesuai. Kita masih ada masa (60 hari) untuk mengadakan pilihan raya kecil,” katanya.

Bagaimanapun pihaknya tiada maklumat jumlah pengundi di kerusi DUN Galas yang akan menunaikan haji kali ini. Kerusi DUN Galas yang terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang kini kosong selepas penyandangnya Che Hashim Sulaima meninggal dunia pada Isnin lepas akibat barah usus kelmarin.

Kerusi itu dimenangi Che Hashim pada pilihan raya umum 2008 setelah menewaskan penyandang dari Umno, Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi. (AK)

No comments:

Post a Comment