Sunday, October 17, 2010

Azizah Presiden PKR, 3 Tanding Timbalan


PETALING JAYA, 16 Okt 10: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengekalkan jawatannya tanpa cabaran tetapi kerusi timbalan presiden menyaksikan persaingan tiga penjuru. Jawatan naib presiden yang menawarkan empat kerusi juga kelihatan panas dengan anak sulung Dr Wan Azizah, Nurul Izzah Anwar mengesahkan bertanding walaupun turut dicalonkan bagi jawatan timbalan presiden.

Walaupun tiga orang dicalonkan bagi jawatan presiden, hanya Dr Wan Azizah menerima pencalonan bagi mengekalkan kepimpinannya yang bermula 11 tahun lalu. Dua yang lain ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Zaid Ibrahim. Dr Wan Azizah juga dicalonkan bertanding jawatan timbalan presiden. Dua lagi dicalonkan untuk bertanding kerusi itu.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang awalnya menyatakan hasrat bertanding timbalan presiden tidak mengemukakan borang penerimaan pencalonan hari ini. Hari ini turut menyaksikan perubahan mengejutkan bagi jawatan naib presiden dan ketua Angkatan Muda Keadilan.

Dua naib presiden Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub bersama Zaid mencuba nasib merebut jawatan timbalan presiden yang akan kosong ekoran keputusan Senator Dr Syed Husin Ali tidak mahu mempertahankan kedudukan beliau. Bagi jawatan timbalan presiden, Azmin dilihat sebagai ‘favourite’ dengan memperoleh lebih 100 pencalonan manakala Zaid dan Mustaffa Kamil masing-masing 38 dan 17 pencalonan.

Zaid, bekas menteri pusat, menyertai PKR tahun lalu. Azmin, yang juga Ahli Parlimen Gombak sebenarnya bercadang bertanding jawatan timbalan presiden tiga tahun lalu tetapi menarik balik hasratnya saat-saat akhir. Sesi penerimaan pencalonan ditutup pukul 6 petang tadi. Ia berlangsung sejak 10 pagi seolah-olah ‘pilihan raya mini’ di pekarangan ibu pejabat PKR di sini dan juga di Kuching dan Kota Kinabalu.

Bersama Nurul Izzah seramai 18 calon lain mencuba nasib di peringkat naib presiden. Saingan jawatan naib presiden juga dilihat terbuka selepas dua penyandangnya Azmin dan Mustaffa Kamil tidak mempertahankan kedudukan masing-masing. Begitu juga seorang lagi naib presiden Dr Lee Boon Chye.

Hanya R Sivarasa, iaitu naib presiden dilantik bertanding kerusi ini tahun ini. Di Kota Kinabalu, pemimpin PKR Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan menolak daripada bertanding jawatan naib presiden. “Saya pernah menjadi naib presiden kebangsaan dan saya lihat tidak ada gunanya pada usia sedemikian saya memegang jawatan yang agak junior dan tidak mempunyai kuasa dan terus berdepan dengan keadaan di mana tidak ada siapa mendengar cakap anda,” katanya.

Keputusan Jeffrey itu menjadikan anggota pimpinan pusat dan ketua PKR Tuaran Ansari Abdullah satu-satunya calon dari Sabah bertanding untuk jawatan itu. Saingan kerusi naib presiden juga menyaksikan Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh berada di depan dengan 145 pencalonan. Calon lain termasuklah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Datuk Dr Mansor Osman dan Pengarah Strategik PKR Chua Tian Chang.

Lain-lain ialah Abdullah Sani Hamid, N. Gobalakrishnan, Yusmadi Yusof, Baru Bian, Dr Xavier Jayakumar, Jonson Chong, S. Manickavasagam dan Dominique Ng. Selain mereka, James Ghani, Jimmy Donald Suresh Kumar Ramachandran dan Salman Marzuki.

Seramai 135 calon mengesahkan merebut 25 kerusi Majlis Pimpinan Pusat. Kali semua jawatan pusat yang dipertandingkan menyaksikan persaingan. Jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara penyandang Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Badrul Hisham Shaharin.

Sementara itu jawatan Ketua Wania pula menyaksikan saingan tiga penjuru. Penyandangnya Zuraida Kamaruddin dicabar oleh Animah Ferrar dan Suraya Sudin. Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Agung Sharifah Shahidah Syed Kamarulzaman berkata seramai 293 calon telah menyerahkan borang pencalonan masing-masing hari ini.

“Daripada tarikh itu seramai 158 calon daripada 282 yang layak telah menghantar untuk Majlis Pimpinan Pusat (MPP). Bagi presiden kita terima satu pencalonan, timbalan presiden tiga pencalonan, naib presiden 19 pencalonan dan ahli MPP seramai 135 pencalonan.

“Bagi Angkatan Muda Keadilan pula kita terima dua pencalonan untuk ketua AMK, dua pencalonan untuk timbalan ketua AMK, 11 pencalonan bagi naib ketua AMK dan 61 pencalonan untuk ahli Majlis Tertinggi AMK.

“Sementara itu bagi Wanita PKR, kita terima tiga pencalonan untuk ketua wanita, dua pencalonan untuk timbalan ketua wanita, sembilan pencalonan bagi naib ketua wanita dan 45 pencalonan bagi ahli Majlis Tertinggi Wanita,” katanya pada pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini lewat petang ini.

Beliau berkata, senarai sementara pencalonan akan dikeluarkan esok petang menerusi laman web PKR.

“Esok pukul 6 petang kita akan naikkan senarai sementara pencalonan di laman web. Malam ini kita akan proses semua pencalonan tersebut.

“Bermula Isnin hingga Rabu kita ada proses bantahan dan mana-mana yang tidak berpuas hati boleh kemukakan bantahan.

“Selepas proses bantahan kita akan proses semua pencalonan dan akan keluarkan senarai rasmi pada 24 Oktober ini,” katanya. (AK)

1 comment:

Anonymous said...

Tahniah, pastikan juga yang lainnya dipilih atas keamanahannya, keberaniannya, kejujurannya,ketaatan dan pengorbannya untuk rakyat. Sesungguhnya hanya mereka yang amanah sahaja perlu menjadi pemimpin kita.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails