Malah menurut Lim (gambar), Program Transformasi Ekonomi (GTP) yang dibentangkan oleh Najib Isnin lalu juga memperlihatkan yang ia berhadapan tiga tamparan besar.
“Tamparan pertama adalah laporan Ketua Audit Negara yang dibentangkan di Parlimen Isnin lalu memaparkan segala cerita gerun mengenai pembaziran, salah urus, salah guna dana awam dan korupsi,” kata Ahli Parlimen Ipoh Timur ketika membahaskan Bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini.
Lim berkata, Laporan Ketua Audit Negara, yang disiapkan pada pertengahan tahun ini, yang sepatutnya dibentangkan pada hari pertama mesyuarat Parlimen pada 11 Oktober lalu, tetapi telah terlewat.
“Jelas sekali (ia) adalah untuk mengelakkan ‘cerita-cerita gerun tahunan’ ini daripada merampas tumpuan orang ramai terhadap ucapan Bajet 2011 Najib serta ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno 2010 21 Oktober, bukti jelas kerajaan Barisan Nasional tidak serius atau berkomited terhadap GTP atau slogan Najib sendiri yang kononnya Rakyat Diutamakan Pencapaian Didahulukan,” katanya.
Tamparan kedua, menurut Lim, adalah apabila Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dilancarkan menyerlahkan kegagalan NKRA utama untuk memerangi rasuah yang bersasaran untuk meningkatkan mata indeks itu dari tahap terendah pada 2009 iaitu 4.5 ke 4.9 dalam tahun ini.
“Pada hakikatnya, markah CPI Malaysia menjunam lagi dalam 2010, menjadikannya yang paling rendah dalam tempoh 16 tahun ini,” kata beliau.
Katanya, dari 1995 hingga 2003 selama 15 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri telah melihat markah CPI TI Malaysia tersangkut pada tempat antara 4.8 di 2000 ke 5.32 di 1996 sementara kedudukan CPI jatuh 14 tempat dari 23 di 1995 ke 37 di 2003.
Sepanjang lima tahun kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri, pula kedudukan CPI TI Malaysia jatuh 10 tempat dari 37 pada 2003 ke-47 di 2008 sementara mata CPI tersangkut antara 5.0 dan 5.1, katanya.
“Sepanjang masa beliau menjadi Perdana Menteri sejak 18 bulan yang lepas, zaman Datuk Seri Najib Razak melihatkan penjunaman paling teruk dalam tempoh satu tahun dalam segi markah dan kedudukan CPI TI iaitu jatuh sembilan tempat dari 47 di 2008 menjadi 56 di 2009, markahnya mencapai tahap paling rendah iaitu 4.5 tahun lepas.
“Untuk tahun 2010, kedudukan Malaysia masih pada tempat paling buruk iaitu nombror ke-57 sementara markah CPI jatuh lagi ke 4.4,” katanya lagi.
Lim juga merujuk kepada Pelan Integriti Nasional Abdullah yang dilancarkan pada 2004 dengan sasaran lima tahun untuk memperbaiki CPI TI Malaysia dari tempat ke-37 pada 2003 ke sekurang-kurangnya tempat ke-30 pada 2008 serta meningkatkan markah dari 5.2 pada 2003 ke 6.5 pda 2008 telah gagal.
“... tetapi Najib dalam 18 bulan ini telah membiarkan CPI TI Malaysia – sama ada kedudukan atau markah, jatuh ke tahap yang lebih buruk lagi sungguhpun GTP, NKRA dan transformasi nasional sering dilaung-laungkan dengan penuh meriah ala berpesta.
Tamparan ketiga terhadap GTP Najib adalah pelancaran Indeks Kemakmuran Legatum yang meletakkan Malaysia di tempat ke-43 dari kalangan 110 negara, di belakang Singapora (17), Jepun (18), Hong Kong (20), Taiwan (22), Korea Selatan (27) meskipun masih di depan Thailand (52), China (58), Vietnam (61), Filipina (64) dan Indonesia (70).
Lim berkata, sebelum dan selepas pembentangan Bajet 2011 pada 15 Oktober lalu, lebih banyak lagi indeks sedunia yang secara negatif menjejaskan daya saing Malaysia, antaranya indeks kebebasan akhbar, laporan Daya Saing Global Forum Ekonomik Sedunia 2010-2011 dan indeks ranking universiti.
“Semua ini bukannya petanda sebuah negara yang bersedia melonjak keluar dari perangkap pendapatan-menengah untuk mencapai status maju inklusif, mampan dan berpendapatan tinggi dalam 2020, tetapi menunjukkan sebuah negara yang semakin menuju ke tahap gagal atau muflis dalam 2019 sebagaimana yang dijangkakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala,” katanya lagi.
Kata Lim, sungguhpun nampaknya hebat dan canggih, Bajet 2011 sebenarnya bukan hasil MBE tetapi mengandungi segala petanda dasar-dasar ala-Mahathir lama yang terbukti usang yang mengakibatkan Malaysia kini terjerat pada tahap pendapatan menengah selama lebih satu dekad, menghalakan negara ini ke arah negara yang gagal dan muflis pada 2019.
“Simbol Bajet 2011 dan ETP adalah Menara Warisan Merdeka 100 tingkat yang bernilai RM5 bilion, satu pengembalian ke zaman lama Mahathirisme yang obses dengan projek-projek mega,” katanya.
Kata Lim, sekiranya Najib benar-benar berkomited untuk melancarkan MBE, berdasarkan transformasi ekonomi, sosial dan kerajaan, bukankah lebih wajar untuk Malaysia cuba mencapai sasaran sebagai salah satu “daripada 20 negara, kalau bukan 10 negara”, yang paling tidak korup atau memiliki 10 universiti yang disenaraikan dalam kumpulan 100 universiti paling ulung di dunia.
Sebenarnya, mesti ditanya sama ada Najib secara senyap-senyap cuba bertanding dan melebihi pencapaian Mahathir bukan sahaja dalam usaha untuk membina menara yang lebih tinggi dari Menara Berkembar Petronas, tetapi juga boleh mendakwa bahawa ia paling tinggi di dunia meskipun untuk satu tempoh yang begitu singkat sahaja.
Kempen Facebook “No Mega Tower” kini hampir mencapai 200,000 pengunjung dalam tempoh kurang daripada 12 hari.
“Perdana Menteri meminta kerajaan supaya memberikan keutamaan kepada media sosial dan menghormati pandangan rakyat biasa, khasnya generasi muda semua kaum.
“Kebanyakan mereka yang menggunakan Facebook merupakan orang muda Malaysia dan Perdana Menteri sepatutnya dengan serius membatalkan projek Menara Warisan Merdeka 100 tingkat ini kerana ia bukan sahaja akan menjadi satu gajah putih, tetapi juga satu simbol buruk kepada sebarang transformasi nasional dalam negara ini,” katanya lagi.
Lim juga mendakwa Bajet 2011 tidak meyakinkan orang bahwa ia mewakili bajet pertama NEM untuk mentransformasikan Malaysia dari sebuah negara pendapatan menengah menjadi negara maju pendapatan tinggi, yang inklusif dan mapan pada 2020, yang menitikberatkan modal insan berkemahiran tinggi, perkhidmatan awam yang efsien, dan sektor swasta bermaya.
Lim juga berkata, sebarang wasangka mengenai kekurangan semangat politik dan kepimpinan pentadbiran Najib untuk melonjakkan transformasi politik, ekonomi, sosial dan kerajaan yang merupakan tiang penting bagi penyelamatan ekonomi dan nasional Malaysia telah pun 'terhakis' ekoran ucapannya dasar beliau pada Perhimpunan Agung Umno minggu lalu.
“Apakah reaksi yang Najib harap dapat semasa beliau mengungkapkan perkataan-perkataan ‘berkecai tulang dan juga badan, bercerai jasad dari nyawa’ supaya Umno mempertahankan cengkamannya di Putrajaya walau apa pun kos pengorbanannya, malah disebut-sebut mengenai ‘penghapusan etnik’?” kata beliau.
Sehubungan itu kata Lim, parti-parti Pakatan Rakyat iaitu DAP, PKR dan PAS juga bersedia berjuang secara habis-habisan untuk menakluk kuasa di Putrajaya dalam pilihan raya yang akan datang demi mengakhiri salah tadbir BN-Umno selama ini.
“... tetapi kami akan mencapai objektif ini secara aman dan menerusi cara demokratik iaitu menerusi kotak undi dan bukannya ‘berkecai tulang dan juga badan, bercerai jasad dari nyawa ataupun penghapusan etnik’,” katanya.
Sehubungan itu Lim juga berkata, Perdana Menteri mestilah hadir di Parlimen dan menjelaskan apa yang beliau maksudkan apabila mengungkapkan kata-kata tersebut kerana ia adalah bagaikan suatu “jaminan daripada beliau bahawa beliau tidak akan menerima keputusan pengundi yang ingin bertukar kerajaan persekutuan dari BN kepada Pakatan Rakyat.”
“Dan, beliau bersedia mengorbankan proses demokratik dan menghapuskan kedaulatan undang-undang supaya beliau dan Umno boleh kekal berkuasa,” katanya lagi. (The Malaysian Insider)
No comments:
Post a Comment