Di Galas, lalulintas lancar. Cuaca juga baik. Ratusan penyokong Pakatan Rakyat berhimpun di depan Masjid Tengku Faiz Petra, yang terletak tidak jauh dari pusat penamaan calon. Perarakan ke pusat penamaan calon akan bermula selepas solat hajat.
9.02am: Pusat penamaan calon di Batu Sapi dibuka dengan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya bersedia menerima kertas pencalonan daripada mereka yang berhasrat bertanding.
9.05am: Di Galas, calon BN Abdul Aziz Yusof tiba di pusat penamaan calon dengan diiringi Setiausaha Agung BN Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor, Naib Presiden MCA Datuk Dr Ng Yen Yen dan Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
9.06am: Di Batu Sapi, calon PKR Ansari Abdullah adalah yang pertama tiba untuk menyerahkan borang penamaan. Sambil tersenyum, beliau melambai kepada penyokongnya sebelum menuju ke kaunter pencalonan. Seminit kemudian, ketua SAPP, Datuk Yong Teck Lee pula memasuki dewan untuk menyerahkan borangnya.
9.10am: Calon PBS yang mewakili BN Linda Tsen menyerahkan borang pencalonannya. Semua ketiga-tiga calon utama kemudiannya bersalaman.
9.11am: Di Galas, penyokong Pakatan yang dianggarkan kira-kira 1,000 orang mula berarak dari masjid dengan diketuai oleh naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang diiringi pemimpin Pakatan yang lain. Sebelum itu, dengan diimamkan Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat, mereka menunaikan solat hajat di masjid berkenaan. Kehadiran mereka disahut dengan takbir oleh penyokong di sepanjang jalan berkenaan menuju ke pusat penamaan calon.
9.19am: Penyokong Pakatan di Galas dihalang oleh sekatan, namun mereka terus berselawat dan melaungkan takbir.
9.22am: Di Batu Sapi, semua tiga calon utama - Ansari Abdullah (PKR), Yong Teck Lee (SAPP) dan Linda Tsen (BN-PBS) - telah mengemukakan borang masing-masing dan menikmati minuman ringan. Masih belum ada calon Bebas yang tampil mengemukakan borang pencalonan meskipun sebelum ini SPR melaporkan lebih 27 borang pencalonan sudah dibeli.
9.23am: Dr Zulkefli Mohamad akhirnya berjaya melepasi sekatan polis. Beliau diiringi oleh presiden PAS - Datuk Seri Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS - Nasharudin Mat Isa, naib presiden PKR - Azmin Ali, Menteri Besar Selangor - Tan Sri Khalid Ibrahim dan supremo DAP supremo Lim Kit Siang. 9.30am: Calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad memasuki dewan.
9.39am: Penyokong PAS dan beberapa pemimpin Pakatan cuba memasuki dewan penamaan calon, tetapi polis hanya membenarkan mereka yang mempunyai pas sahaja masuk. Antara mereka yang tidak dibenarkan masuk ialah ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.
10am: Pegawai pilihan raya SPR di Batu Sapi memaklumkan bahawa tempoh penamaan calon telah berakhir.
Mereka adalah Ansari Abdullah (PKR), Yong Teck Lee (SAPP) dan Linda Tsen (BN-PBS).
Nama mereka dipamerkan di papan kenyataan untuk semua pihak membuat bantahanan jika ada. Tempoh masa untuk berbuat demikian adalah dari 10 hingga 11 pagi.
Di Galas, pegawai pilihan raya juga membuat pengumuman yang sama. Katanya, hanya dua calon yang telah mengemukakan borang mereka.
Mereka adalah - Dr Zulkefli Mohamad (PAS) dan Abdul Aziz Yusof (BN-Umno).
10.14am: Di Galas, ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad membuat ucapan ringkas dengan laungan takbir oleh penyokong Pakatan. BN pula membalas dengan paluan gendang mereka. Membuat ucapan politik serta membawa peralatan muzik adalah antara perkara yang dilarang semasa penamaan calon oleh SPR. Polis kemudiannya mengarahkan Khalid berhenti membuat ucapan kerana tempoh berkempen belum bermula. Beliau mematuhi arahan berkenaan, namun paluan gendang daripada BN dibiarkan terus bergema.
10.31am: Seorang komander Pasukan Gerak Am yang berpakaian tentera memeriksa kedua-dua sekatan yang didirikan oleh PAS dan juga Umno.
Paluan gendang BN juga mula lesu sebelum berhenti seketika juga. Zon penampan 180m yang didirikan bagi mengelakkan kedua-dua parti itu daripada bercampur berjaya mengurangkan ketegangan. Ia berjaya penyokong kedua-dua pihak mengejek satu sama lain yang mungkin boleh mencetuskan perkara yang tidak diingini.(Malaysiakini/AK)
Dapatkan laporan PRK DUN Galas dari mula hingga berakhir, seterusnya..
No comments:
Post a Comment