Monday, October 18, 2010

Era Lebel Calon PKR... Sepatutnya Berakhir -M/Kamil Ayub

Mustaffa Kamil Ayub calon ketiga menawarkan bertanding jawatan timbalan presiden PKR. - Gambar oleh Jack Ooi

PETALING JAYA, 18 Okt 10: Calon timbalan presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub menegaskan, setiap ahli dalam parti komponen, Pakatan Rakyat itu seharusnya dilihat sebagai “acuan PKR” walaupun mereka datang dari pelbagai latar belakang dan ideologi politik sepanjang satu dekad lalu.

Naib Presiden PKR ini menekankan, era melabelkan seseorang ahli dan pemimpin itu mengikut latar belakang mereka termasuk dirinya sebagai dari Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) untuk mengetepikan daripada arus pemilihan seharusnya sudah lama berakhir.

“Saya lihat hal itu hampir sudah tidak ada lagi. Sebab sebahagian besar teman-teman saya yang dilabel sebagai Abim itu telah pun mengundurkan diri selepas pemilihan 2001,” kata beliau dalam satu pertemuan dengan media baru-baru ini.

Pemilihan 2001, kali pertama diadakan oleh PKR sebagai persaingan sengit selepas ia ditubuhkan pada April 1999. Pemilihan 2010 merupakan yang keempat diadakan oleh PKR, lebih-lebih lagi menggunakan sistem pemilihan langsung satu ahli satu undi.

Sabtu lalu, Mustaffa Kamil bersama seorang lagi Naib Presiden Azmin Ali dan Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim mengesahkan penerimaan pencalonan untuk bertanding jawatan timbalan presiden. Mustaffa Kamil mengumumkan tawarannya bertanding jawatan timbalan presiden pada 1 Oktober lalu dengan mengeluarkan manifesto kempen yang bertemakan “Suara Baru Demokrasi, Kesinambungan Perjuangan” dan juga berlandaskan “politik nilai”.

“Saya mengakui saya pernah dilatih oleh Abim, di samping itu saya kena sebutkan latar belakang saya (dari) Umno, dalam dunia akademik, dalam dunia kebeliaan nasional dan antarabangsa,” kata beliau yang turut mengakui bahawa tempohnya bersama Abim turut menyumbang kepada pembinaan rangka pemikirannya.

Selepas pemilihan 2001 di Kemaman, kata beliau, ramai rakan-rakannya telah keluar PKR tetapi “bagi saya, saya kekal bersama PKR.”

“Dalam tempoh itu (sejak 2001), kita membina PKR sebagai kita ini orang Keadilan, walaupun kita dilatih (dalam) Umno, ada yang dalam PRM sebelumnya, pernah dalam MIC sebelumnya, pernah dalam Suaram... saya melihat (label itu) patut tidak wujud, ia sudah cair.

“Maknanya, saya atau (Ahli Parlimen Padang Serai) N Gobalakrishnan dari MIC, atau (Ahli Parlimen Batu) Tian Chua bekas pemimpin NGO, atau Sivarasa dari PRM, kami semua sudah dilihat sebagai orang Keadilan,” kata beliau yang lahir di Perak pada 1963.

Dalam pertemuan ini yang diadakan sebelum sesi pengesahan penerimaan pencalonan Sabtu lalu, kata Mustaffa, nama PKR atau dahulunya Keadilan adalah “nama baru” yang sudah mula terbina terutama di kalangan kepimpinan.

Oleh itu tegas Pengerusi PKR Perak ini, daripada melabelkan seseorang itu sebagai orang Abim, PRM atau Suaram ataupun ikut latar belakang, perkara yang perlu diambil kira khususnya sekarang adalah sumbangan calon-calon yang bertanding.

“... meritnya ialah sumbangan yang diberikan, bukannya orang Melayu, Cina dan India, itu paradigmanya... bukan latar belakang kaum atau dari mana mereka datang tetapi akhirnya kita sudah mengadunkan kesemua pengalaman lama dalam acuan PKR, semangat dan budaya PKR.

“Itu juga kita amalkan di peringkat akar umbi,” kata Mustaffa Kamil yang mengharapkan bahawa kesemua kepimpinan PKR menjayakan hal ini.

“Acuan PKR ini. Dan, ini akan memberikan satu kekuatan dalam mengharungi politik Malaysia sebab acuan PKR ini akan merangka satu politik bukan berlandaskan perkauman, bukan bias dan bukan latar belakang,” kata beliau yang menyertai PKR pada April 1999. Sepanjang 11 tahun lalu, Mustaffa Kamil pernah berkhidmat sebagai setiausaha agung, pemangku ketua Pemuda dan timbalan ketua Pemuda pusat PKR.

Mengenai sebab bertanding kerusi nombor dua, Mustaffa Kamil memberikan alasan pertama dengan berkata, “ini hak demokrasi bagi mana-mana ahli untuk bertanding.”

Kedua, dalam konteks saya, kita telah berada dalam parti sejak 1999, dan 1998, dalam gelombang, meletakkan jawatan selaku setiausaha politik (kepada Menteri Belia dan Sukan ketika itu) untuk menyertai gelombang reformasi, kemudian PKR untuk berjuang.

“Bermakna saya berada dalam parti sejak 4 April 1999. Jadi, dengan latar belakang dan rekod pencapaian, maka ada kewajaran untuk mempertimbangkan diri saya bertanding jawatan timbalan presiden,” kata Mustaffa Kamil.

Selain itu katanya, beliau mendapat desakan dan gesaan yang agak luas, terutama daripada PKR Perak yang memintanya bertanding jawatan timbalan presiden.

“Saya mahu memberi pilihan kepada ahli,” kata beliau merujuk kepada saingan tiga penjuru bagi jawatan timbalan presiden ini.

“Benar sudah ada Azmin dan begitu dengan Datuk Zaid. Saya faham sumbangan mereka, dan saya kemudian sebagai calon yang ketiga mengesahkan untuk menawarkan diri bagi jawatan timbalan presiden.

“Dan, saya datang dengan maksud dan akhirnya dalam konteks PKR... sebab kita fikir, kita boleh menyumbang, Ada soal kesinambungan perjuangan yang telah 11 tahun kita asaskan bersama, dan pada masa yang sama, saya kata saya boleh menyumbang kepada proses merapatkan saf barisan kepimpinan yang ada dalam kepimpinan, dengan pendekatan yang sederhana.

“Pendekatan yang utama kepaduan dalam parti, pendekatan yang menekankan kasih sayang antara kerabat besar keseluruhan PKR. Saya kata, insya-Allah kita boleh menyumbang kepada proses memperkuatkan parti,” kata naib presiden dua penggal ini yang pernah diamanahkan menguruskan kemelut parti beberapa negeri termasuk Kelantan dan Terengganu.

“Dengan berdasarkan pengalaman dan tugasan ini, saya merasakan sudah sampai masanya bertanding di jawatan di mana kita boleh mengembangkan peranan kita, berganding serasi dengan presiden,” katanya.

Mustaffa Kamil juga yakin boleh bekerja secara seiring dan harmoni dengan Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mendapat percalonan besar dan mengekalkan jawatannya tanpa cabaran.

“Saya yakin saya boleh bekerjasama dengan beliau, untuk sama-sama menjayakan perjuangan, impian, harapan parti menjelang pilihan raya umum ke-13,” kata Mustaffa Kamil lagi. (AK)

No comments:

Post a Comment