Friday, October 01, 2010

Galas: Ku Li Tolak Tawaran TPM? Kerana...


KL, 1 Okt 10: Tengku Razaleigh Hamzah masih belum membuat sebarang pendirian berhubung keputusan Umno yang melantik beliau sebagai pengarah jentera pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas. etua Umno Gua Musang itu berkata, beliau hanya akan menjelaskan isu tersebut sebaik sahaja pulang ke tanah air minggu depan.

Tengku Razaleigh dijadual kembali dari London 9 Oktober ini dan akan mengadakan sidang akhbar. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menetapkan tarikh pilihan raya kecil pada mesyuarat khas, Rabu depan.

“Kawan-kawan, saya tidak kata ya atau tidak. Saya akan menjelaskan mengenai (DUN) Galas sebaik sahaja saya balik ke Malaysia,” kata beliau menerusi Twitter lewat petang ini.

Tengku Razaleigh memberikan respons ini sejurus selepas Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan bahawa beliau adalah calon terbaik untuk merampas kerusi itu daripada PAS. Beliau yang mesra dikenali sebagai Ku Li memenangi kerusi Gua Musang sejak 1969 termasuk pada pilihan raya umum 1990 dan 1995, yang ditandingi atas tiket Parti Melayu Semangat 46.

Dalam pada itu, Umno Bahagian Gua Musang mahu Tengku Razaleigh dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding pada pilihan raya kecil Galas. Timbalan ketuanya, Mat Yusoff Abdul Ghani berkata Tengku Razaleigh adalah pilihan terbaik untuk merampas semula kerusi DUN Galas yang sebelum ini dimenangi PAS.

“Tengku Razaleigh adalah pilihan terbaik sebagai calon di pilihan raya kecil Galas.

“Ini kerana beliau mempunyai reputasi yang baik selain dihormati oleh banyak pihak.

“Jadi saya mewakili Umno Bahagian Gua Musang bersetuju dengan cadangan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang mahu mempertimbangkan Tengku Razaleigh sebagai calon DUN,” katanya kepada The Malaysian Insider petang tadi.

Mat Yusoff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri berkata, jika Tengku Razaleigh dipilih peluang untuk menang di DUN Galas lebih besar.

“Saya yakin kalau beliau dipilih sebagai calon, Umno akan menang di sini (Galas).

“Walaupun kita mempunyai ramai calon yang berkelayakan tapi Tengku Razaleigh adalah calon terbaik untuk kita rampas semula DUN Galas,” katanya.

Sebelum ini Muhyiddin berkata, Tengku Razaleigh boleh dipertimbang sebagai calon BN untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN Galas. Muhyiddin berkata, BN sedia membincangkan perkara itu kerana beliau percaya Tengku Razaleigh merupakan calon paling tepat dan sesuai berdasarkan pengalaman dan pengaruhnya di Gua Musang.

Namun, katanya, soal sama ada Tengku Razaleigh mahu bertanding atau terdapat calon yang lebih sesuai untuk dicadangkan kepada pucuk pimpinan, terpulang kepadanya.

“Sebagai mana biasa kita beri lebih ruang pada beliau (selaku pengarah pilihan raya kecil Barisan Nasional bagi kerusi) untuk senaraikan (calon) dan kalau fikir ada nama paling tepat, sesuai dan boleh beri kemenangan cemerlang di situ, kita akan berikan keutamaan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Majlis Sosial Negara di sini, hari ini.

Kelmarin Muhyiddin mengumumkan bahawa Tengku Razaleigh telah dilantik sebagai pengarah pilihan raya Umno-BN di Galas. Kerusi Galas kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Che Hashim Sulaima dari PAS akibat barah usus, Isnin lalu. Kekosongan kerusi itu membuka laluan kepada pilihan raya kecil ke-12 sejak Mac 2008.

DUN Galas selama ini dikuasai Umno, namun dalam pilihan raya lalu Che Hashim berjaya menawan kerusi itu dengan menewaskan calon Umno, Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi. (Sumber The Malaysian Insider)

Komen Blog Ibnu Hasyim: Ada yang bertanya blog ini, mungkinkah Ku Li akan tolak tawaran jadi calon dan Pengarah PRK Galas?

Pihak kami jawab, ada kemungkinan, kerana sebentar tadi, tersebar berita dari luar negara bahawa bahawa TPM mengeluarkan kenyataan akan bertanding mencabar Presiden UMNO dalam menyuarat Agung UMNO akan datang. Apa dah jadi ni?

Tunggu, kami sedang siasat kebenarannya? Lihat ini.. (IH)

No comments:

Post a Comment