Friday, October 29, 2010

Galas: Orang Cina Suka Dr Zulkifli



GUA MUSANG, 28 Okt 10:
Masyarakat Cina Galas yakin calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed mampu meneruskan kesinambungan perjuangan wakil rakyat terdahulu, Allahyarham Chek Hashim Sulaima.

Dr Zulkefli yang pernah bertanding di Galas pada pilihan raya 2004, dikenali mereka sebagai mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan sudah semestinya berupaya untuk menerajui perubahan rakyat semua kaum di kawasan itu.

Selain sifatnya yang lemah lembut, tidak lokek mengukir senyum setiap kali bertemu orang ramai membuatkan Dr Zulkefli senang didampingi oleh segenap lapisan masyarakat.

Seorang masyarakat Cina, Chee Kin Hwa, 53, berkata, pemilihan Dr Zulkefli sebagai calon wakil rakyat Galas adalah tepat berdasarkan pengalamannya yang pernah berkhidmat kepada rakyat.

“Dr Zul bagus. Dia orang baik, tidak sombong dengan orang ramai sama ada kenal atau tidak kenal kalau berhadapan dengan dia kita mudah akan dapat merasai kemesraannya.

“Saya percaya kaum Cina di Galas akan memberi sokongan seratus peratus kepada Dr Zul dalam pilihan raya kecil ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru, Gua Musang dekat sini malam tadi.

Chee berkata, sebagai masyarakat veteran dia amat memahami citarasa atau sentimen pengundi Cina Galas yang lebih mengutamakan pemimpin yang berperwatakan bersih, telus, adil serta ikhlas dengan rakyat.

Chong Kun Sew, 42, menerima kerajaan pimpinan ulama berdasarkan sikap terbuka PAS yang tidak pentingkan satu bangsa, sebaliknya meletakkan kepentingan masyarakat semua kaum atau bangsa di dalam negara dengan sama rata.

“Kita mahukan seorang pemimpin yang boleh jaga rakyat. Ada masa untuk jenguk rakyat, tanya khabar apa masalah rakyat, bukan masa pilihan raya sahaja hendak jumpa rakyat selepas itu hilang, setahun tak boleh jumpa sekali, sibuk kononnya.

“Saya yakin Dr Zul boleh jadi seperti Chek Hashim dulu. Kalau lebih dari itu lagi bagus,” katanya yang pernah menemani Allahyarham Che Hashim semasa mendapat rawatan di Cina sebanyak lima kali.

Allahyarham Chek Hashim meninggal dunia pada 27 September lalu akibat barah usus pernah menjalani pembedahan di The First People's Hospital Fu San oleh pakar dari Beijing.

Sementara itu, Wong Siew Lan, 45, memberitahu masyarakat Cina masih mengenang pemergian Allahyarham Chek Hashim yang dianggap kehilangannya sukar dicari ganti, dan berharap Dr Zul menjadi penerus demi keharmonian masyarakat Galas.

“Kaum Tionghua Gua Musang banyak terhutang budi pada wakil rakyat Chek Hashim. Sikap bertanggungjawab, rendah diri, suka menolong dan tidak berkira dengan rakyat, menjadikan kehilangannya seperti sukar dicari ganti.

“Saya menyeru semua pengundi Cina terus undi calon PAS (Dr Zulkefli) sebagai tanda kasih sayang berkekalan kepada Chek Hashim yang telah banyak membuat jasa kepada rakyat,” katanya.

Pada masa sama, Yap Chan Look, 34, berkata PAS mempunyai harapan besar untuk pertahankan kemenangannya di Galas.

“Tanggungjawab kerajaan Pas kepada rakyat adalah jelas. Mereka telus. Kebajikan rakyat diageh dengan adil tak kira kaum Cina, India atau Asli.

“Saya fikir tidak ada sebab rakyat semua kaum hendak tolak atau tukar perjuangan Pas kepada parti lain,” jelasnya.

Jumlah pengundi Cina Dun Galas adalah 20.06 peratus dengan 2,317 orang pengundi. (Harakahdaily)

Dapatkan laporan PRK DUN Galas dari mula hingga berakhir, seterusnya..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails