Wednesday, October 27, 2010

Hantu Curi Wang Zakat? Muhasabah Semula -Dr Asri

Dr Asri

KL, 27 Okt 10: Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menimbulkan persoalan sama ada pihak yang dipertanggungjawabkan tidak menguruskan wang zakat dan dana kewangan badan-badan agama dengan telus dan amanah.

Kata Asri, sejak sekian lama beliau dan beberapa orang lain menyebut tentang adanya perkara yang tidak kena dalam pengurusan harta dan kewangan badan-badan agama di negara ini. “Ya, itu telah mengundang rasa tidak puas sesetengah pihak. Namun, kita terpaksa nyatakan,” kata beliau dalam tulisan blognya di bawah tajuk “Apa jadi dengan institusi agama kita?”

Satu:

“Apa tidaknya, berbilion wang zakat dan selainnya diperuntukkan untuk umat Islam, tetapi keadaan yang kita lihat terus menyayat hati, sehingga ada keluarga yang terpaksa hidup di bawah jambatan di KL seperti yang dilaporkan media baru-baru ini,” kata beliau.

Dua:

Asri mengulas pendedahan Laporan Audit berhubung perbelanjaan dan pelupusan harta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Isnin lalu didakwa “mengesahkan” wujudnya perkara yang tidak kena dalam pengurusan harta dan kewangan badan-badan agama di negara.

Laporan itu antaranya menyatakan hasrat MAIWP melupuskan 70 penghawa dingin yang masih baik. Oleh itu soal Asri, “ke mana pergi segala peruntukan ini.”

Tiga:

“Kita kehairanan, wang zakat ratusan juta, namun si miskin terus menderita.

“Dapatan zakat berlipat-lipat, si miskin terus merempat. ‘Hantu’ manakah yang mencuri atau menipu wang zakat kita, sehingga yang berhak tidak memperolehinya?

“Tangan-tangan siapakah gerangan? Jembalang di hutan, atau lebai berserban yang menggunakan nama syaitan, atau yang menggunakan nama Tuhan? Akhirnya wang umat Islam ketirisan dan kecurian,” kata Asri lagi.

Empat:

Sehubungan itu kata beliau, pihak-pihak yang terbabit perlu memuhasabah semula fungsi zakat dalam negara ini. Beliau juga bertanya sejauh mana kejujuran, kesungguhan dan ketelusan pengurusan zakat dan selain zakat yang sepatutnya telah lama membangunkan umat Islam.

“Artikel saya pada 2007 yang bertajuk ‘Zakat Berbaki Atau Kita Kurang Bijak Membahagi’ rasanya patut dianalisis,” kata Asri.

Selain itu kata beliau, apa yang berlaku di Wilayah Persekutuan adalah isu didedahkan.

“Kita tidak tahu bagaimana keadaan pengurusan kewangan umat Islam di negeri-negeri lain.

“Apa yang kita pasti laporan kemiskinan yang menyayat hati terus wujud dipelbagi negeri, sementara kemewahan PUZ juga ternyata di pelbagai negeri. Adakah wujud kesungguhan untuk mereka membaiki keadaan umat Islam?

Lima:

“Atau jangan sampai ada mereka yang mengambil kesempatan atas nama asnaf ‘amilin’ (petugas zakat), sedang tugasan tidak setara mana, tapi habuan yang diambil berlebihan,” kata beliau.

Selain itu kata beliau, kewujudan kes-kes yang seperti ini mengikis keyakinan rakyat terhadap pengurusan atau integriti institusi-institusi yang berjenama agama. “Ia akan menyebabkan rakyat berfikir mereka tidak patut menyerahkan urusan agama kepada institusi-institusi ini yang sentiasa terdedah kepada pelbagai persoalan yang meragukan,” katanya lagi.

Enam: Asri mengakui bahawa merubah institusi-institusi ini agar menjelma dalam peranan yang lebih berkesan dan baik amatlah sukar dan bukannya mudah.

“Ini kait-mengait antara satu sama lain. Kepentingan politik, istana, individu dan berbagai lagi.

“Merubah pemerintahan secara keseluruhan mungkin satu percubaan yang boleh dibuat dalam membaiki keadaan ini.

“Itupun jika pasukan kerajaan baru mempunyai pemikiran yang bersih, jujur dan terbuka. Jika tidak, hal yang sama akan berulang,” katanya.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Hal ini tidak boleh dipandang remeh. Melibatkan jatuhbangun umat, perlu keterbukaan pemikiran, dan perlaksanaan profesional. Pemimpin-pemimpin kena buka mata lebar-lebar, tindakan perlu segera diambil. (Sumber: The Malaysian Insider/ Malaysiakini/ Dll/IH).

1 comment:

Anonymous said...

Dr Asri yang dilihat jurucakap UMNO lebih terbuka dan lebih objektif berbanding pengarah JAIS dan semua mufti yang ada di Malaysia.
Sungguh memalukan menjadi mufti pak pacak yang hanya memanaskan kerusi semata-mata.
Penulisan Dr Asri wajar dijadikan bahan bacaan wajib semua pelajar ISlam di universiti di Malaysia.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails