Thursday, October 21, 2010

Hentikan Persoal Hak Melayu -Presiden UMNO

KL, 21 Okt 10: Datuk Seri Najib Razak juga memberi amaran agar dihentikan debat perkauman dan tidak lagi mempersoalkan tentang kedudukan kaum Melayu sebagai bangsa yang dilindungi dengan hak-hak tertentu.

Dalam ucapan dasarnya, Presiden Umno berkata, langkah sedemikian telah menimbulkan kegusaran dan rasa tidak puas hati di kalangan orang Melayu yang amat terkenal dengan sikap dan sifat akomodatifnya.

“Ibarat api dalam sekam, perasaan ini telah mula membara dan mungkin menular sehingga berupaya merosakkan keharmonian perhubungan ras yang telah terjalin semenjak dahulu,” kata beliau dalam ucapannya bertemakan “Mendaya Bangsa Meneraju Kemakmuran”.

“Sayang seribu kali sayang juga, setelah 53 tahun kita merdeka, hari ini, rakyat Malaysia sedang berhadapan dengan asakan bertalu-talu terhadap teras-teras utama perhubungan kaum yang wujud selama ini.

“Jika polemik nasional ini tidak ditangani dengan baik, kita berasa amat cuak, kerana, ia berkemungkinan menjadi ancaman kepada perpaduan negara,” katanya lagi.

Ucapan Najib ini kelihatan senada dengan ucapan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merasmikan persidangan tiga sayap Umno kelmarin. Oleh itu kata beliau, orang Melayu perlu sentiasa berwaspada dan perlu terus mengingatkan diri masing-masing bahawa kejayaan pertiwi tercinta sememangnya dimungkinkan oleh sumbangan, idea dan pengorbanan pelbagai kaum.

“Hakikatnya pun, ia bukanlah jasa, mahupun ikhtiar ekslusif satu kaum semata-mata, akan tetapi segalanya merupakan hasil mahsul, tuaian kudrat oleh semua kaum secara kolektif,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata apa yang menjadi masalah dalam keadaan ini, ketegangan akan timbul apabila, sejarah dienteng, atau dilupakan akibat perjalanan masa, atau juga apabila ada pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mentafsir semula semua itu supaya sesuai dengan kepentingan serta agenda sempit kelompok masing-masing.

“Kerana yang demikianlah, pemimpin oportunis, menangguk di air keruh, sebenarnya musang berbulu ayam, bermain api permusuhan dan memanipulasi keadaan, sangat ditolak dalam kepimpinan. Mereka tidak layak digelar pemimpin,” katanya pada Perhimpunan Agung Umno 2010.

“Awaslah, awaslah kita terhadap saudagar mimpi yang membuai dengan dogengan, menjadi petualang memintal kepalsuan, menenun kebencian, memperdagang fitnah, mengadun madu dengan tuba, meleceh pengorbanan dan tanpa segan silu, mengajak kita menikmati buah khuldi yang bergentayangan di pohon rendah, sehingga sanggup menggadai segala-galanya,” kata Najib.

Najib juga berkata, bertolak dari situlah, bagi bangsa Melayu khususnya, perasaan mereka amat terhiris kerana ikrar budiman yang telah dipateri di ambang merdeka kini diungkit kembali.

“Sedangkan, berpayung sumpah dan janji itulah kita sanggup membuat pengorbanan terbesar bagi mencapai sebuah kemerdekaan, yakni berkongsi pemilikan Tanah Melayu dengan kaum-kaum yang lain,” katanya.

Serentak dengan itu, tegas Najib, penerimaan kerakyatan yang berasaskan prinsip jus soli atau hak tempat kelahiran berbanding prinsip jus sanguinis yakni hak darah dengan sekelip mata telah mentransformasikan landskap sosiopolitik Tanah Melayu untuk selama-lamanya.

“Dek kerana itu, kita tidak boleh lagi hidup terpenjara kisah nan lalu tanpa melihat ke hadapan.

“Pokoknya di sini, sepertimana prinsip keutuhan sebarang kontrak yang dibuat di bawah lembayung kedaulatan undang-undang, jika tidak dihormati, maka tiadalah kepastian, walaupun bagi perkara-perkara asas yang telah dipersetujui bersama.

“Analoginya di sini, jika ia berlaku dalam bidang perniagaan, maka pihak yang berbuat demikian akan mendapati diri mereka, tidak lagi dipercayai oleh sesiapapun, apabila memungkiri janji,” katanya.

Seterusnya jelas beliau, jika ikrar setia yang telah diwaad, dilanggar sewenang-wenangnya apabila tidak sesuai dengan selera atau kepentingan tertentu, akan hancurlah kepercayaan dan rapuhlah rasa penghormatan di antara rakyat kerana masing-masing akan dihidapi penyakit kesangsian terhadap motif, kejujuran serta keikhlasan terhadap satu sama lain.

“Hal yang membarah sebegini berbahaya, saya ulang, amat berbahaya kepada sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya seperti Malaysia kerana ia berpontensi menghancurkan segala apa yang dibina sejak lebih lima puluh tahun yang lalu,” kata beliau.

“Satu hal yang pasti, timbal balas dipersembahkan bukan sahaja oleh bangsa Melayu, tetapi juga oleh kaum lain,” kata beliau sambil menambah, ia dimanifestasi melalui muafakat murni iaitu bagi memperoleh kerakyatan, orang bukan Melayu telah sanggup menerima prinsip hak keistimewaan sebagaimana termaktub di bawah peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Kemudian itulah, kewarganegaraan Malaysia pada dasarnya bukan lagi bersifat sama rata dan sama rasa tetapi telah disesuaikan dengan realiti yang ada demi matlamat dan kepentingan jangka panjang nasional,” kata Perdana Menteri.

Kata Najib, itu sebenarnya asas teras kepada kontrak yang telah dimuafakat bapa-bapa pengasas mewakili kaum masing-masing di ambang kemerdekaan dan kemudiannya telah dimaktubkan sebagai kontrak sosial nasional, tertinta dalam perkara dan fasal Perlembagaan Persekutuan yang menjadi undang-undang tertinggi negara.

“Mahu tidak mahu, kita sewajibnya menghormati persepakatan mulia yang telah dilakukan kerana itulah kunci kepada kelangsungan dan survival kebangsaan,” katanya.

Kini kata beliau, sebagai generasi kepimpinan mutakhir “kita telah diamanahkan untuk menghadapi tuntutan zaman monumental ini sebagaimana generasi kepimpinan pertama yang telah dihadapkan dengan cabaran untuk membina asas kepelbagaian.”

“Oleh itu, adalah amat tidak bertanggungjawab jika kita memilih jalan berpeluk tubuh dan duduk bersimpuh tanpa berbuat apa-apa.

“Lebih teruk lagi jika ditanggungkan pula beban ini kepada generasi kepimpinan akan datang,” katanya lagi.

“Demikian itulah, kita harus membina landasan baru perhubungan kaum di Malaysia dengan mengambil kira dua prinsip penting.

“Pertamanya, ia haruslah berasaskan masa depan yang dikongsi bersama dan kedua, ia harus mengambil kira faktor sejarah tanpa mengenepikan realiti hari ini serta potensi masa depan,” kata Najib dalam ucapan dasar keduanya sejak dipilih Presiden Umno.

Terkunci emas

Dalam ucapannya yang mengambil masa kira-kira sejam dengan menekankan soal sejarah dan perlembagaan negara, Najib juga menekankan bahawa kedudukan orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan kaum-kaum lain dari segi politik telah termaktub jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Najib juga menekankan kedudukan asas perjuangan Umno dalam mempertahankan hak orang Melayu, yang menjadi perhatian dan cabaran ekoran keputusan pilihan raya umum ke-12 dua tahun lalu.

Katanya, ia terkunci kemas dalam artikel-artikel Bahagian 3 mengenai kewarganegaraan, Perkara 38 berkait Majlis Raja-Raja, Perkara 152 tentang Bahasa Kebangsaan dan Perkara 153 mencakupi antara lain Perezapan kuota perkhidmatan dan permit untuk orang Melayu.

Kata beliau, perkara-perkara itu tidak boleh diubah dalam apa jua keadaan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu.

“Seterusnya, saudara dan saudari, kita mesti memahami dan mengetahui bahawa pindaan terhadap artikel-artikel ini tidak boleh dilakukan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja mengikut Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan.

“Ia ditambah kukuh pula oleh Perkara 10 Fasal 4, yang memberi kuasa kepada Parlimen bagi menggubal undang-undang, melarang perbuatan mempersoal apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau hak kedaulatan yang ditetapkan atau diperlindung oleh peruntukan Bahagian 3, Perkara 152, 153 dan Perkara 181.

“Sehubungan hal ini, hendaklah kita mengetahui bahawa apa yang menjadi polemik hebat hari ini, sama ada tentang kerakyatan selepas Merdeka atau hak istimewa orang Melayu sebenarnya, sudah menjadi perdebatan akademik.

“Ini kerana, dari segi perundangan, peruntukan-peruntukannya sudah pun tersurat dan sekali gus terpateri kemas,” kata beliau.

Najib menjelaskan lagi, seandainya mempunyai majoriti dua pertiga dalam Parlimen pun, tidak akan mampu mengubah setitik apa jua, tanpa kebenaran Majlis Raja-Raja Melayu yang dianggotai sembilan orang Raja Melayu.

“Dalam kata lain, sia-sia sahaja jerit pekik untuk menggunakan peruntukan tentang kerakyatan bagi mengancam kaum lain kerana peruntukan yang tertulis ini begitu konkrit sekalipun darurat diisytiharkan, ia tetap tidak boleh disinggung,” katanya lagi.

Di sebalik semuanya, tegas Najib, suka tidak suka, ada sebab yang amat kuat mengapa perkara-perkara ini tidak dibenarkan untuk dipinda kecuali dengan perkenan Majlis Raja-Raja.

“Hikmahnya, adalah supaya peruntukan-peruntukan tersebut diletakkan luar daripada forum perbincangan.

“Jika dibuka juga kepada perbahasan, maka kita bimbang, kita khuatir, ia akan membangkitkan keresahan serta mengapi-apikan ‘primordial instinct’ atau naluri asal wujud antara etnik,” katanya. (The Malaysian Insider/AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails