Thursday, October 14, 2010

Kalau Kes Sosilawati Menurut Perundangan Islam...

pix_middle

KL 14 OKT 10: “Seperti mana azab dilalui ibu saya yang dibunuh kejam, saya mahu semua penjenayah yang bertanggungjawab (melakukan pembunuhan) dibalas dengan hukuman mati di tali gantung,” kata Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, anak jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, selepas empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Banting, Selangor, semalam, atas tuduhan membunuh ibunya dan tiga individu lain.

Ketika dihubungi semalam, dia yang mesra dengan panggilan Rita mengaku masih bersedih dengan kehilangan ibunya dan hatinya masih berat untuk percaya dengan apa yang berlaku.

“Ada kalanya saya takut untuk membaca akhbar atau mendengar cerita bagaimana kejamnya ibu dan tiga mangsa lain diperlakukan penjenayah. Mereka tidak berperikemanusiaan dan berhati syaitan.

“Saya cuma berharap polis dapat membuktikan jenayah terancang dilakukan semua suspek bagi membolehkan hukuman berat dan setimpal dijatuhkan kepada mereka,” kata anak sulung daripada enam beradik itu.

Rita berkata, sekuat mana sekali pun hatinya cuba menahan air mata daripada menitis, hakikatnya hanya Tuhan yang tahu penderitaan dan kesedihan dialami.

“Kehilangan ibu merentap kebahagiaan kami adik-beradik yang amat manja dan menjadikan ibu sebagai tempat menumpang kasih sejak kecil.

“Sukar dijelaskan apa yang kami rasa selepas kehilangan ibu, namun apa cara sekali pun cita-cita dan impian ibu perlu diteruskan. Hanya doa tidak henti dipohon supaya roh ibu ditempatkan di kalangan hamba yang dilindungi Allah,” katanya.

Ditanya berhubung aktiviti harian selain cabaran perlu dihadapi bagi meneruskan perniagaan kosmetik Nouvelles Visages (NV), Rita memberitahu masih banyak yang perlu dipelajarinya.

“Banyak perkara yang perlu diselesaikan terutama membabitkan perjalanan dan kewangan syarikat. Bagaimanapun, saya bernasib baik kerana masih ada pekerja lama yang setia di belakang untuk membantu dan membimbing terutama berkaitan urusan perniagaan syarikat,” katanya.

Menurutnya, kesibukannya untuk menyesuaikan diri dengan situasi terbabit menyebabkan dia belum berpeluang berjumpa stokis produk NV yang terus menyokong produk diasaskan ibunya itu.

“Mengikut perancangan, saya akan berjumpa semua stokis pada Januari depan selepas semua urusan berkaitan pengurusan syarikat diselesaikan.

“Tindakan membekukan sementara aset kewangan milik ibu sedikit sebanyak turut menyukarkan kami untuk menyelesaikan beberapa masalah membabitkan pinjaman dan urusan perniagaan lain,” kata Rita.

Selain Sosilawati, tiga lagi mangsa pembunuhan kejam itu ialah pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44; perunding kewangan CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Mereka dipercayai dibunuh dan dibakar di sebuah ladang di Banting, sebelum abu mereka dibuang ke dalam Sungai Panchau, pada 30 Ogos lalu.

Sementara itu, Radin Pangat Ishak, 66, bapa mentua Noorhisham berharap apa yang dilakukan semua tertuduh ke atas menantunya bakal diadili seadil-adilnya di mahkamah dan dia yakin sistem perundangan negara ini tidak akan melepaskan orang yang bersalah begitu saja.

“Kami tunggu dan lihat apa keputusannya. Saya serahkan semuanya kepada pihak perundangan negara. Jika mereka didapati bersalah, saya berharap mereka dijatuhkan hukuman yang berat sesuai dengan kesalahan dilakukan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Radin Pangat berkata, dia dan keluarga tidak berputus asa dan tetap melakukan solat hajat dan doa selamat memohon supaya keputusan asid deoksiribonukleik (DNA) dikeluarkan bukan milik menantunya itu.

“Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Melihatkan penderitaan anak dan cucu yang kehilangan tempat bergantung, sayu hati saya. Disebabkan itu kami sekeluarga memohon supaya Noorhisham hidup. Bagaimanapun, jika sah keputusan DNA itu berpadanan dengan menantu saya, kami sekeluarga reda,” katanya.

Katanya, mereka sekeluarga terutama isteri Noorhisham, Suzana, 38, dan tiga anaknya masih berharap keajaiban berlaku selagi ujian DNA tidak disahkan sepadan dengan pegawai bank berkenaan. (myMetro hari ini).

Komen Blog Ibnu Hasyim: Firman Allah SWT bermaksud: "dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisnya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak)". – (Al-Israa’: 33).

Huraian: Dalam konteks perundangan di Malaysia kini, ada baiknya kuasa mutlak Peguam Negara mendakwa itu diintegrasikan dengan keluarga mangsa, di mana Peguam Negara perlu mendapatkan pandangan keluarga si mangsa sebelum meneruskan pendakwaan. Ini adalah sebagai pendekatan lebih adil dan perubahan mampu paling dekat boleh dilaksanakan, sekalipun ia tidak seratus peratus bertepatan dan seadil hukum Islam. Dalam sistem hari ini jelas boleh membuka pintu penyelewengan.

Khususnya apabila penjenayah melibatkan golongan atasan yang mempunyai kuasa politik, atau korup, terlibat di dalam pendakwaan dan seumpamanya. Maka jadilah kes-kes jenayah berat seperti ini boleh diabaikan begitu sahaja, atau akan tertangguh sehingga tempoh yang tidak berkesudahan. Jika berlaku perlaksanaan undang-undang Syari’ah ini, maka contohnya, kes Memali tidak akan tertangguh lama, keluarga mendiang Al-Tantuya akan pulang dengan hati lebih puas dan isu kepada punca kematian Teoh Beng Hok tidak akan berbangkit.

Tetapi di dalam realiti hari ini, keluarga si mangsa bukan setakat tidak mempunyai hak pendakwaan bahkan tiada hak untuk akses maklumat berkaitan kes, tidak sebagaimana di dalam hukum Syari’ah Islam.

Apabila si tertuduh di dapati bersalah, maka hak untuk menjatuhkan hukuman adalah merupakan hak keluarga si mangsa. Menurut hukum Syari’ah, jika si mangsa mati dibunuh oleh seseorang penjenayah, maka keluarga mangsa sendiri berhak untuk menjatuhkan hukuman balas terhadap penjenayah terbabit. Firman Allah swt bermaksud: maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisnya berkuasa menuntut balas. – (Al-Israa’: 33) seperti di atas.

Jika pembalasan balik terhadap penjenayah tidak mampu dilakukan sama seperti yang dilakukan, keluarga mangsa berhak membalas dalam bentuk yang lebih minimum. Islam tidak membenarkan pembalasan yang dilakukan oleh keluarga mangsa melebihi perbuatan jenayah yang telah dilakukan oleh si penjenayah bagi memastikan hak keadilan si penjenayah juga mesti dipelihara.

Firman Allah SWT: "..oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu; dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa". – (Al-Baqarah: 194),

Seringkali apabila kita bercerita tentang cara hukuman di laksanakan di dalam Islam, umum seolah-oleh melihat Islam itu keras. Tetapi sebenarnya apabila dibandingkan dengan jenayah yang dilakukan, kesakitan yang dirasakan mangsa, kesan kepada masyarakat dan bebanan yang dipikul oleh keluarga, maka kita akan melihat hukuman itu cukup adil. Justeru itu, masyarakat tidak perlu fobia dengan hukuman ini kerana hukuman ini bukan dijatuhkan kepada mereka yang tidak bersalah.

Tetapi hukuman ini adalah setimpal dijatuhkan kepada mereka yang melakukan kesalahan membunuh. Atau satu jenayah berat yang boleh meletakkan masyarakat di dalam ketakutan.
Bagi keluarga mangsa, tentulah cara Islam ini lebih dicenderungi boleh mengubat perasaan dendam dan perasaan tidak puas hati terhadap penjenayah, yang menjadi punca kepada kehilangan orang tersayang atau individu tempat pergantungan hidup jika si mangsa adalah bapa kepada keluarga terbabit.

Apabila keluarga mangsa tidak mampu melaksanakan hukuman tersebut, maka ia boleh mewakilkan kepada pihak kedua atau mewakilkan kepada pihak kerajaan untuk melaksanakan hukuman ini. Begitulah kira-kira indahnya Islam. Sila lihat, Kes Sosilawati, Keadilan Menurut Syariah -Ketua P...

Untuk melihat kes ini secara keseluruhan sejak mula, sila lihat... E-Buku IH-1: 'Misteri Hilangnya Jutawan Datuk Sosilawati'.

No comments:

Post a Comment