KL 13 OKT 10: Biduanita Datuk Sharifah Aini sanggup menghabiskan wang beratus ribu ringgit untuk mengadakan persembahan amal bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik walaupun hasrat itu tidak menjanjikan keuntungan.
Menurut Sharifah Aini atau lebih dikenali sebagai Kak Pah, dia akan mengeluarkan belanja sekurang-kurangnya RM150,000 bagi setiap konsert amal yang akan dilakukannya.
"Daripada jumlah itu juga saya perlu membayar para pemuzik, sekali gus menyalurkan kutipan tiket kepada rumah-rumah kebajikan. Sebab itu tiket konsert saya sedikit mahal.
"Dengan cara itu, sekurang-kurangnya syarikat saya dapat menyalurkan wang konsert kepada individu yang memerlukan dengan jumlah yang besar.
"Setakat ini, sepanjang penganjuran konsert amal yang dibuat oleh syarikat saya, Seri Dewi Production dan Lime Events, kami tidak mengumpul sebarang keuntungan pun kerana saya ikhlas untuk menderma.
"Insya-Allah, saya akan mengadakan konsert seperti ini sekurang-kuranya setahun sekali yang tidak membabitkan mana-mana rumah kebajikan secara khusus," katanya pada sidang akhbar Majlis Makan Malam Amal, Malam Juitaku Sayang di Hotel Seri Pasific di sini, Selasa.
Mengenai majlis makan malam amal tersebut yang sepatutnya diadakan pada 15 Oktober ini, ia telah ditunda kepada tarikh 31 Oktober 2010 yang akan diadakan di Hotel Seri Pasific, di sini.
Sebahagian kutipan tiket pada majlis persembahan yang turut disertai penyanyi veteran Datuk Ahmad Jais itu akan disalurkan kepada Madrasah Tahfiz Baitul Mahhabbah, Shah Alam dan Darul Uloom Islamiah Surau Jamal Assurur, Kuala Lumpur.
"Saya menjemput Datuk Ahmad Jais kerana dia ibarat seorang ayah yang banyak mendidik saya untuk mengharungi cabaran sebagai seorang penyanyi ketika awal pembabitan saya dulu.
"Dia juga menyokong usaha saya dalam mencari dana bagi rumah-rumah kebajikan yang memerlukan.
"Pada malam tersebut saya akan membawakan sebanyak 20 hingga 25 buah lagu yang telah disusun semula oleh Belle Fatah dan Faizal Loke Yew," kata Kak Pah.
Kepada peminat-peminat Kak Pah yang ingin membuat tempahan menyaksikan persembahan berkenaan, sila hubungi di talian 019-3488054 atau 012-9332373.
Tempahan juga boleh dibuat melalui faksimili di talian 03-79568557. Untuk pertanyaan lanjut sila emelkan ke limeevent@gmail.com. Tiket dijual mengikut meja (10 orang setiap meja) dengan harga RM3,500, RM4,500 dan RM7,500.
Bagi yang ingin membuat tempahan secara individu, tiket berharga RM450 dan RM200. (mStar Online/AK)
Komen Blog Ibnu Hasyim: Ramai yang bertanya mengenai kes-kes kabajikan dari sumber diragui.. Bahkan ada yang berpendapat, bagaikan rumput hijau yang tumbuh di atas najis lembu...
Beramal lah secara IKHLAS....Insyaallah kita akan diberkati.
ReplyDelete