Saturday, October 23, 2010

Negara Islam: Puteri UMNO Cabar Nik Aziz & Karpal

Perwakilan Puteri mencabar Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengerusi DAP Karpal Singh menjelaskan pendirian masing-masing berhubung soal Malaysia negara Islam — Gambar oleh Jack Ooi

KL, 23 Okt 10:
Dua komponen Pakatan Rakyat sekali lagi menjadi sasaran Perhimpunan Agung Umno dengan seorang perwakilan Puteri mencabar Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengerusi DAP Karpal Singh menjelaskan pendirian masing-masing berhubung soal Malaysia negara Islam.

“Dulu PAS kata Umno kafir kerana berkawan dengan MIC dan MCA, tapi sekarang PAS kafir kerana sanggup berkawan dengan PKR dan DAP.

“Dulu kata Umno kafir kerana tidak mewujudkan negara Islam di Malaysia tapi sekarang PAS sanggup bekerjasama dengan DAP yang sudah jelas menolak Islam,” kata Idamoerni Zakaria ketika menyokong usul agama dan pendidikan Perhimpunan Agung Umno 2010 hari ini.

Oleh itu kata beliau: “Saya cabar Nik Aziz untuk tegaskan pendirian dalam isu ini (negara Islam), saya cabar Ahli Parlimen kawasan saya Karpal Singh untuk tegaskan perkara ini.”

Wakil Puteri Bukit Gelugor itu mendakwa PAS sudah berubah dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan kuasa.

“Ini terbukti PAS sanggup menggadaikan apa sahaja termasuk agama semata-mata kerana kepentingan sendiri dan kuasa.

“Umno tidak buat begitu kerana kita menolak unsur-unsur ekstrem dan fahaman melampau. “Umno mengamalkan kesederhaan kerana kesederhanaan itu Islam, Islam itu indah, Islam itu sempurna,” katanya.

Pendirian yang serupa juga dilahirkan oleh perwakilan dari Kelantan ketika membahaskan usul ucapan presiden kelmarin. Timbalan Ketua Umno Kok Lanas Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata mendakwa Nik Aziz telah menjual Islam kerana sanggup berkompromi dengan pihak yang menyindir agama rasmi negara ini.

Katanyam Menteri Besar Kelantan itu sanggup berkawan dengan sesiapa sahaja kerana tidak suka dengan Umno. Idamoerni juga mendakwa di negara luar Islam cuba dijatuhkan oleh anasir-anasir jahat tetapi di Malaysia sebaliknya.

“Di Malaysia, ia dibuat oleh PAS untuk menjatuhkan Islam,” katanya.

Seramai 15 perwakilan dijadual membahaskan usul tersebut sebelum disusuli dengan sesi penggulungan oleh pimpinan Umno termasuk Presiden parti Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin. Turut dijadual menggulung perbahasan ialah ketiga-tiga naib presiden parti iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. (Sumber The Malaysian Insider/AK)

Komen Blog Ibnu Hasyim: Beranikah Puteri UMNO isytiharkan Malaysia negara Islam sebenarnya, sedangkan isteri PMnya sendiri menghina Islam? Beranikah kerajaan Islam UMNO mengambil tindakan kepada penghina agama sendiri?

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails