Friday, October 29, 2010

NikAziz Ulas TPM: UMNO Elite Tapi Pendek Akal?


KL 29 Okt 10: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat menegaskan dasar parti itu untuk menerima dan menolak untuk bersatu dengan Umno dan sekali gus berbaik-baik dengan bukan Islam mempunyai asas yang kukuh. Kata menteri besar kelantan itu, beliau hairan dengan sikap Umno yang dianggap sebagai sebuah parti bertaraf elit sebelum ini tetapi pendek akal untuk memahami konsep atau matlamat kerjasama PAS-DAP.

“Kadang-kadang terfikir juga pasal apa tak faham sangat Umno ini pada hal telah berkali-kali kita beri penjelasan. Perbezaan kerjasama antara Umno dan MCA serta MIC dalam Barisan Nasional (BN) dengan kerjasama antara PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) amat jelas. “Kerjasama PAS dengan DAP dalam Pakatan tidak pernah menjejaskan prinsip PAS sebagai sebuah gerakan Islam. PAS masih dengan agenda Islamnya bahkan kami di Kelantan setiap tahun meraikan Hari Hudud,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membidas PAS kerana dikatakan terus mengeluarkan 'fatwa' sesuka hati berhubung kerjasama Umno dengan MCA dalam BN.

Dalam kenyataannya di Gua Musang semalam, Timbalan Presiden Umno itu dilaporkan berkata, PAS menganggap kerjasama Umno dengan MCA adalah salah tetapi ada masa sama 'menghalalkan' kerjasama PAS dengan DAP.

“Perangai mereka macam biasalah, apa yang mereka buat 'halal' yang kita 'haram', yang dia masuk syurga, yang kita masuk neraka. Dari segi konteks kerjasama dengan masyarakat apa bezanya antara DAP dan MCA,” Muhyiddin dipetik sebagai berkata ketika berkempen di Galas.

Menurut Nik Aziz, tindakan PAS menyertai BN sebelum ini menimbulkan perpecahan di kalangan PAS di mana wujud empat kumpulan di kalangan penyokong parti itu, termasuk Islah, Hamim dan Berjasa. Mengulas lanjut, Nik Aziz berkata kerjasama dengan DAP yang dikatakan sebagai chauvinis Cina tidak pernah menjejaskan prinsip PAS sebagai sebuah gerakan Islam. Beliau menyifatkan Umno masih berfikir dengan kerangka perjuangan Melayu yang sempit sehingga tidak tahu menilai kesyumulan Islam secara keseluruhan.

“Melayu pun tidak terbela, Islam pun tidak terjaga. Umpama Lebai Malang, ke hilir pun berlapar, ke hulu pun tidak kenyang. Kononnya, bila Melayu dan Islam ialah perkara yang sama. “Apa yang mereka tahu, hanya mengkritik orang saja,” jelasnya. (AK)

Dapatkan laporan PRK DUN Galas dari mula hingga berakhir, seterusnya..

No comments:

Post a Comment