Tuesday, October 19, 2010

Parlimen: Pengetua Telah Dikenakan Tindakan.


KL 18 Okt 10: Dua pengetua sekolah yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman sudah ditukar ke Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

“Pengetua SMK Tuanku Abdul Rahman Putra, Kulai telah ditukar ke Jabatan Pelajaran Johor sementara Pengetua Bukit Selambau telah ditukarkan ke Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Muda,” katanya ketika Sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan lisan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) berhubung tindakan kerajaan terhadap pengetua yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman baru-baru ini.

“Dalam kes membabitkan pengetua dari Kulaijaya tindakan telah diambil dengan pegawai kanan itu sudah pun digantung perkhidmatan bermula 13 Oktober lalu.

“Dalam tempoh prosiding siasatan, kakitangan kerajaan terbabit telah dilarang daripada meneruskan perkhidmatannya. Bagi kes pengetua Johor, terdapat ramai saksi (yang menghadiri) perhimpunan sekolah ketika insiden didakwa berlaku, justeru banyak keterangan perlu diambil,” katanya.

Mohamed Nazri menegaskan, kerajaan kini dalam proses akhir untuk mengambil tindakan terhadap kedua-dua guru berkenaan.

“Semua pihak harus faham ini adalah kali pertama seorang pegawai kerajaan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

“Jadi ia makan masa sedikit untuk menyiasat dan ambil tindakan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang ingin tahu mengapa kerajaan lambat mengambil tindakan terhadap guru-guru terlibat.

Jelasnya, situasi ketika kejadian juga perlu diambil kira sebelum sesuatu hukuman dijatuhkan, sama ada guru berkenaan benar-benar mempunyai niat menghasut atau berada dalam keadaan marah.

Bagi kes di Bukit Selambau, Mohamed Nazri berkata, guru itu telah diberi amaran oleh Kementerian Pelajaran dan dia telah memohon maaf secara terbuka.

“Paling penting, mereka telah digantung tugas serta-merta bagi membolehkan siasatan dijalankan. Siasatan perlu mendalam sebelum mereka boleh disabitkan dengan pertuduhan.

“Kita tak mahu penyiasatan yang ‘flip-flop’ akhirnya menyebabkan keputusan yang dibuat tidak memuaskan hati,” katanya. (AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails