Saturday, October 02, 2010

PAS Pemimpin: Siapa Akan Pinggirkan PAS?

MARANG, 2 Okt 10: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa PAS adalah parti yang memimpin, bukannya dipinggirkan apabila mencapai kemenangan. Sehubungan itu, beliau selaku Presiden PAS tidak mahu kesilapan yang lepas berulang di mana kumpulan Islam dipinggirkan apabila negara mencapai kemerdekaan.

Katanya, sewaktu negara dijajah, kumpulan Islam di depan menentang penjajah tetapi setelah merdeka, mereka dipinggirkan. “Kita parti yang memimpin, menjadi teras, bukan dipinggirkan mudah-mudah oleh orang,” tegasnya ketika merasmikan Ijtima’ Tarbawi Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan 2010 di Masjid Rusila, malam tadi.

Hadir sama pada ijtima’ yang disertai sekitar 5,000 pemuda itu ialah Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan at-Tantawi. Justeru, tambahnya PAS mempunyai wawasan yang panjang iaitu dari dunia sehingga akhirat, bukan setakat 2020.

Ini, katanya kerana perjuangan PAS adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah Taala. “Kalau tanya ahli PAS yang bebal pun, mengapa sokong PAS, mereka kata nak pahala, mengharapkan keredhaan Allah,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, perkara itu tidak diharapkan oleh pihak musuh kerana mereka berjuang untuk mendapatkan bantuan dan kebendaan. Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen menekankan supaya ahli dan penyokong PAS hendaklah sentiasa ditarbiah bagi meneruskan perjuangan Islam untuk meruntuhkan jahiliah.

Katanya, golongan yang memperjuangkan Islam sejak zaman nabi-nabi terdahulu ditarbiah dengan berbagai ujian dan kezaliman sehingga ada di kalangan mereka yang dibunuh. Beliau menambah, keperitan yang dirasai akibat dizalimi oleh golongan jahiliah menyebabkan golongan Islam tidak melakukan kezaliman apabila mereka mendapat kuasa. “Kita perit rasa dizalimi, kalau kita perintah, kita tidak melakukan kezaliman,” ujarnya lagi.

Tuan Guru Abdul Hadi juga menegur ahli PAS yang mahukan kemenangan yang cepat di dalam pilihan raya tetapi melakukan kerja dalam masa yang singkat. Ini, katanya kerana perjuangan Islam yang dibawa oleh rasul-rasul juga memakan masa untuk mencapai kejayaan.

Beliau mengambil contoh perjuangan Nabi Musa dan Harun memakan masa 40 tahun walaupun doa mereka diperkenankan oleh Allah untuk menumbangkan Firaun. Begitu juga, katanya perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. juga mengambil masa 23 tahun untuk menegakkan Islam dan meruntuhkan jahiliah.

“Nak menang pilihan raya, buat kerja seminggu. Bubar parlimen baru buat kerja, sekarang tak buat kerja,” ujarnya sambil menggesa seluruh ahli dan penyokong PAS sentiasa melaksanakan tugas masing-masing. (Sumber Harakah)

Komen Blog Ibnu Hasyim: Tok Guru presiden berkata, PAS adalah parti yang memimpin, bukannya dipinggirkan bila capai kemenangan. Contohnya bila merdeka dari penjajah, puak-puak agama terpinggir atau deipinggirkan. Sedangkan waktu berjuang puak-puak Islam inilah yang menfatwakan 'syahid' menentang penjajah. Seperti yang berlaku di Indonesia, dan negara-negara umat Islam lain, termasuk Malaysia.

Begitu juga puak Islam Daud Barueh di Aceh dan yang se angkatan dengannya dalam memperjuangkan negara Islam di seluruh Indonesia. Mereka turut perjuangkan kemerdekaan dari Belanda, dan pernah menghadiahkan sebuah pesawat terbang kepada Sukarno yang masih kurang kelengkapan perangnya waktu awalan itu, sedangkan Aceh jauh lebih maju dari sudut kelengkapan. Mereka sama-sama berjuang menentang Belanda.. Tetapi bila menang pemimpin-pemimpin nasionalis juga yang naik memerintah. Bahkan Aceh diperangi oleh kerajaan Indonesia sendiri kerana pendirian Islamnya.

Di Malaysia, banyak kumpulan yang perjuangkan kemerdekaan, Hizbul Muslimin diharamkan penjajah. Pemimpin-pemimpinnya ditahan. Dr Burhanuddin Al-Helmy dan kumpulannya memainkan peranan penting meniupkan semangat anti penjajahan. Tetapi akhirnya bila merdeka, UMNO yang tidak pun diharamkan dan pengampu-pengampu penjajah juga yang menguasai pemerintahan. Bahkan Dr Burhanuddin, pemimpin tertinggi PAS waktu itu merengkok dalam penjara, walaupun setelah merdeka.

Mungkin 'kesilapan' ini yang Presiden PAS tidak mahu berulang kembali. Walaupun kita sudah merdeka, puak-puak Pakatan Rakyat termasukPAS, PKR dan DAP merasakn perlu membebaskan dari cengkaman kezaliman Barisan Nasional (BN) mewarsi penjajah yang menindas rakyat Malaysia. Apakah maksud Tok Guru Presiden, kita jangan melakukan 'kesilapan yang lepas berulang', di mana kumpulan Islam dipinggirkan apabila kerajaan BN berjaya ditumbangkan? Ertinya PAS terpinggir berbanding PKR dan DAP? Puak-puak ini pula yang akan pinggirkan PAS?

Maaf, cuma tafsir sahaja! Wallahu aklam.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails