KL 22 OKT 10: Pentadbiran Najib membawa dasar projek-projek mega, yang kini disifatkan oleh Pakatan Rakyat sebagai langkah membazir dan tidak perlu buat masa sekarang, ke Perhimpunan Agung Umno 2010 untuk mendapatkan perakuan dan restu perwakilan.
Ketika membentangkan usul ekonomi, Timbalan Pengerusi Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin (gambar) berkata, projek-projek besar termasuk pembinaan bangunan pencakar langit cukup penting untuk menjana pertumbuhan ekonomi dan menyediakan infrastruktur kelas pertama.
Dalam usulnya, Timbalan Menteri Kewangan ini juga meminta rakyat tidak tertipu dengan pembangkang yang didakwanya tidak mahu melihat ekonomi negara ini maju.
“Kita jangan tertipu dengan pembangkang kerana mereka memang tidak mahu melihat kadar pertumbuhan ekonomi kita tinggi, sebab itu mereka hasut rakyat untuk benci pada kejayaan,” katanya.
Beliau yang juga anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno berkata, “perlu diingatkan, di negara-negara maju tidak ada pun orang yang mempersoalkan projek-projek besar.”
“Bangunan pencakar langit bukan satu atau dua, bahkan semuanya adalah bangunan tinggi.
“Tidak ada masalah pun, cuma di Malaysia kita dengar cerita-cerita ini,” kata beliau lagi.
Perhimpunan Agung Umno 2010 masuk hari kedua hari ini. Ia akan berakhir esok. Dalam Bajet 2011 yang dibentangkan di Parlimen Jumaat lalu, Najib antara lain mengumumkan projek transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) di Lembah Klang yang akan dilaksanakan mulai tahun hadapan. Projek itu dengan anggaran kos pelaburan swasta kira-kira RM40 bilion dijangka siap sepenuhnya menjelang 2020 akan menambah kadar kepenggunaan pengangkutan awam sekurang-kurangnya 40 peratus.
Sebuah lagi projek utama yang akan dilaksanakan adalah pembangunan tanah Lembaga Getah Malaysia di Sungai Buloh seluas 2,680 ekar. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melaksanakan pembangunan bercampur melibatkan kediaman mampu milik, perdagangan, industri serta kemudahan prasarana. Keseluruhan pembangunan ini, dianggarkan bernilai RM10 bilion dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2025.
Turut diumumkan ialah pembinaan projek bersepadu Warisan Merdeka dengan menara 100 tingkat tertinggi di Malaysia bernilai RM5 bilion yang dijangka siap pada 2015. Warisan Merdeka akan menjadi menara tertinggi di Malaysia. Projek itu akan mengekalkan Stadium Merdeka dan Stadium Negara sebagai warisan negara.
Projek itu bagaimanapun ditentang hebat pelbagai pihak, terutama pemimpin Pakatan Rakyat. Semalam, Angkatan Muda Keadilan mengumumkan ia akan melancarkan kempen antiprojek mega. Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pula meramalkan kos projek itu kemungkinan akan mencecah RM10 bilion berbanding RM5 bilion dianggarkan sekarang.
Awang Adek juga menyelar tindakan pemimpin Pakatan Rakyat kerana hiporkrit dalam isu pembangunan.
“Dulu tidak setuju dengan jambatan Pulau Pinang, bangunan berkembar Petronas dan Putrajaya.
“Sekarang bukan sahaja rakyat perlu kepada jambata Pulau Pinang tetapi pembangkang pula tidak sabar-sabar nak masuk Putrajaya.
“Inilah hipokritnya sikap pembangkang. Cakap tidak serupa bikin, kita tidak boleh dia tidak apa,” katanya.
Menurut Awang Adek lagi, pelaburan besar-besaran dalam infrastruktur merupakan strategi bijak mempelbagaikan pelaburan supaya negara tidak terlalu bergantung pada pelaburan asing. Dalam reaksinya sebelum ini, Najib mempertahankan cadangan pembinaan menara 100 tingkat oleh PNB dan menyifatkan ia bukan pembaziran tetapi bertujuan menjana ekonomi serta mewujudkan satu mercu tanda Malaysia yang maju dan moden.
Perdana Menteri berkata pembinaan menara itu akan turut membawa manfaat kepada pelbagai sektor. Najib berkata beliau tidak mengarahkan PNB untuk mewujudkan projek itu. Najib yang juga Menteri Kewangan berkata dalam sejarah negara ini, Perdana Menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad dikritik hebat oleh pembangkang apabila membuat keputusan untuk membina jambatan Pulau Pinang, namun akhirnya sekarang rakyat Pulau Pinang meminta jambatan yang kedua. (AK)
No comments:
Post a Comment