Sunday, October 03, 2010

Sokong N/Aziz Perokok Tak Boleh Jadi Calon Galas

CATATAN SANTAI
Semangat sungguh Cikgu (di tengah-tengah)!

W/Persekutuan 3 OKT 10: "SAYA sokong Tok Guru Nik Aziz, perokok tak boleh jadi calon DUN Galas, yang akan diadakan nanti.." Kata YDP PAS Kawasan Batu, Cikgu Ishak Surin dalam sessi sembang-sembang politik di Padang Balang Sentul, malam tadi.

Dia kata macam tu, setelah dapat berita dari BERNAMA waktu itu, bahawa Tok Guru Nik Aziz berkata, PAS masih belum membuat keputusan untuk menamakan calon PRK itu kerana ia akan diputuskan oleh jawatankuasa tertinggi parti tersebut.

Dilaporkan, kata Tok Guru, "Walaupun saya Pesuruhjaya (PAS Kelantan) tapi calon PAS dipilih di peringkat jawatankuasa, dan ini dibuat supaya tidak ada yang berebut (jadi calon)."

Nik Aziz juga berkata antara kriteria calon PAS itu nanti adalah kalangan mereka yang diterima penduduk di Galas seperti tidak merokok, tidak meninggalkan solat dan tidak pernah berpoya dengan perempuan.

"Kalau merokok saya memang tidak boleh terima untuk jadi calon. Itu kena bagi tau awal-awal kerana merokok ini boleh merosakkan segala-galanya dan tidak ada doktor baik Islam atau kafir mengatakan rokok ini baik.

"Yang lain kriteria mesti diterima rakyat dan kita pilih hak terbaik tetapi nak cari satu orang yang boleh diterima semua memang tidak ada kerana Nabi Muhammad SAW pun ada yang kritik," kata Tok Guru. Begitu beritanya.

"Pada Cikgu, fasal apa pula cikgu sokong?" Saya tanya Cikgu Ishak.

"Kita kena sokong le, kerana kita mahu wakil kita yang sihat. Rokok mendatangkan berbagai penyakit. Buat apa cari yang berpenyakit!" Jawab Cikgu Ishak, walaupun ada diantara kawan-kawan di majlis itu yang merokok.

"Satu lagi.. Kita tak mahu pilih wakil rakyat yang suka membazir. Merokok tu kan bakar duit? Takdak faedah. Tok wakil, ialah pemimpin, kena tunjuk contoh yang baik kepada rakyat, jangan membazir. Itu sebab dalam muktamar PAS baru lalu, PAS Kawasan Batu cadangkan supaya pemimpin PAS isytiharkan harta. Kita nak tengok dari mana mereka dapat duit dan ke mana mereka salorkan atau bazirkan?" Jelas Cikgu Ishak lagi.

"Bukan semua tak baik..." Timbalan YDP PAS Batu, Sdr Tarmizi Mat Jam menyampuk. "Contohnya Ahli Parlimen Rantau Panjang, Ustazah Zailah. Baru-baru ni, aku telefon dia. Dia jawab, dia ada dalam ladang getah sedang bertemu rakyat. Dah le gaji dia, potong 50% untuk parti! Macam dia, takkanlah nak susah isytihar harta?"

"Betul tu." Potong Cikgu Ishak. "Malam itu kami minta dia ceramah di Wilayah, jam sudah 10 malam, dia sanggup. Sedangkan esok pagi dia ada program rasmi dengan Kerajaan Kelantan. Dia terpaksa balik dengan van malam tu juga. Dah le dia muslimah. Dan kerana dia sihat" kata Cikgu Ishak lagi.

"Dulu, zaman PAS sebelum 'kepimpinan ulama..." kata saya. "Saya lihat dalam gambar, pada mesyuarat AJK Agung pun ada pemimpin yang bermesyuarat sambil rokok melekat di bibir. Bahkan dalam Mesyuarat Agung pun, asap berkelun-kelun di udara dalam dewan mesyuarat atas kepala perwakilan. Tetapi sekarang keadaan begitu sudah tiada lagi. Itulah hebatnya tarbiah 'kepimpinan ulama'."

"Teringat saya lagi pada seorang pemimpin PAS yang terkenal sangat anti-rokok. Ahli PAS yang menghisap rokok sangat tidak suka bertembung dengannya. Bahkan dikatakan di kampungnya sewaktu kenduri-kendara dia tidak langsung mahu bertoleransi dalam hal rokok. Pada hal masa itu, rokok seolah-olah wajib diberi kepada petugas sukarela menghisapnya sebagai pekerja di majlis kenduri itu. Tiada rokok seolah-olah mengundang boikot kepada petugas. Cikgu kenal dia tak?" Saya tanya.

Cikgu Ishak ketawa. Dia mengangguk. "Ustaz Yahya." katanya.

"Sewaktu pilihan raya umum 1990, saya jadi calon PAS bertanding di DUN Bayan Lepas Balik Pulau, Pulau Pinang. Waktu itu Kelantan sudah beberapa penggal pilihan raya dirampas BN. Hari pengiraan undi malamnya saya sedang menunggu keputusan kiraan di Balik Pulau. Tiba-tiba ahli PAS bertakbir beramai-ramai, kerana menang baru beberapa kerusi di Kelantan. Seorang orang kuat PAS di situ bertanya, siapa yang menang? Setelah beritahu nama pemenang termasuk Ustaz Yahya itu, dia berkata, 'kalaulah yang menang itu Ustaz Yahya, bererti Kelantan akan jatuh ke tangan PAS!'.

Mengapa dengan Ustaz Yahya? Saya tanya.

Ustaz Yahya yang paling tidak popular antara calon-calon PAS di Kelantan kerana sikap anti-rokoknya tiba-tiba boleh menang, memang Kelantan akan jatuh ke tangan PAS. Jelasnya.

Memang tahun 1990 PAS menempa sejarah berjaya merampas kembali Kelantan dengan slogan di bawah kepimpinan ulama. Dan kini 20 tahun kemudian, kepimpinan ulama telah berjaya membuktikan kebekesanan tarbiahnya, dengan mensyaratkan perokok tidak boleh jadi calon dalam pilihan raya. Ianya pasti disokong oleh ahli-ahli dan rakyat setempat. Apalagi kalau calon meninggalkan solat, pernah berpoya dengan perempuan, perasuah dan sebagainya, sudah ditolak pimpinan." Saya memberitahu mereka.

Masing-masing menyambut, Allahu Akbar sokong Tok Guru! Allahu Akbar sokong Tok Guru!

Ibnu Hasyim Catatan Santai
alamat e-mail: ibnuhasyim@gmail.com
KL. 3 Okt 2010

2 comments:

School Of Tots said...

Elok kata Tok Guru eloklah kata kita. Tak nak ikut pemimpin jugak ulama berilmu nak ikut sapa lagi ye dak? Di sisi Allah tiada yg lebig baik melainkan yang bertaqwa kepada-Nya. Jadi kita nak calon ADUN ini nanti seorang yg bertaqwa pada Allah. Kita tak la nak manusia yg nampak bertaqwa tapi sebenarnya tidak, ini yg masalahnya.

Anonymous said...

Perokok adalah mereka yang suka isteri mereka dan anak-anak mereka sakit.
Sudah terlalu banyak bukti menunjukkan mereka yang berada di sekeliling perokok akan menerima kesan lebih buruk dari perokok sendiri.
Second hand semoker terlalu ramai dari kalangan isteri-isteri yang setia berada di sisi sumami siang dan malam.
Kenapa mahu membunuh isteri dalam senyap dan perlahan dengan merokok?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails