Saturday, November 13, 2010

Ditahan Kerana Gurau Rejam Wanita Islam

Wartawan wanita Islam diancam rejam

LONDON 12 Nov 10: Seorang anggota majlis kerajaan tempatan Britain ditangkap selepas menyiarkan mesej Twitter yang mencadangkan supaya seorang wartawan wanita Islam direjam sampai mati.

Polis semalam menyoal siasat Gareth Compton, 38, seorang anggota Parti Konservatif dalam Majlis Bandar Raya Birmingham, tengah England, selepas membuat kenyataan mengenai kolumnis akhbar, Yasmin Alibhai-Brown, kelmarin.

"Boleh sesiapa merejam Yasmin Alibhai-Brown sampai mati? Saya tidak akan memberitahu Amnesty jika awak merahsiakannya. Perbuatan itu satu rahmat sebenarnya," menurut maksud mesej yang dipaparkan dan kemudian dikeluarkan dari laman mikroblog tersebut.

Compton memohon maaf dalam mesejnya di Twitter semalam, dengan berkata, kenyataan awalnya itu 'adalah satu percubaan yang kurang bijak untuk bergurau'.

Mesej awalnya itu dipaparkan selepas Alibhai-Brown dalam satu rancangan di radio berkata, ahli politik tidak berhak untuk mengulas mengenai pencabulan hak asasi manusia temasuk tindakan merejam wanita.

Jurucakap Polis West Midlands mengesahkan seorang lelaki berusia 38 tahun ditangkap 'kerana disyaki mengirim mesej yang menyinggung perasaan dan tidak senonoh' dan telah dibebaskan dengan ikat jamin sementara siasatan lanjut dilakukan.

Alibhai-Brown yang menulis untuk The Independent dan Evening Standard berkata, beliau terkejut dengan mesej Compton itu.

"Mesej itu benar-benar membimbangkan saya dan anak perempuan remaja saya. Kami benar-benar takut," katanya kepada akhbar Guardian.

Parti Konservatif yang memerintah Britain berkata, keanggotaan Compton dalam parti telah digantung sementara menunggu hasil siasatan polis. - AFP

No comments:

Post a Comment