Tuesday, November 09, 2010

Kahwin Perdana: RM100,000 Program Cepat Kahwin

KOTA BHARU, 9 Nov 10: Kelantan sekali lagi mencetus idea baru apabila menaja 100 pasangan yang akan melangsungkan perkahwinan sempena program Kahwin Perdana 2010, 25 Disember ini. Program itu akan diadakan di Dewan Besar Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, Wan Ubaidah Omar berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi membantu belia-beliawanis kurang berkemampuan mendirikan rumahtangga.

”Selain itu kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100,000 lagi untuk majlis kenduri selepas majlis akad nikah diadakan,” katanya pada persidangan media di sini hari ini.

Wan Ubaidah berkata, program itu diharap dapat memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kebaikan dan ganjaran bagi mempercepatkan perkahwinan. Oleh itu beliau berharap program Kahwin Perdana akan menjadi dorongan kepada muda-mudi yang ingin berkahwin tetapi kurang berkemampuan.

Mereka yang berminat boleh hubungi:
Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan
di talian 09 7476568 atau 013-9846913
atau 013 – 6946911.
Tarikh tutup 15 November ini

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Islam adalah agama yang menganjurkan perkahwinan. Malah tiada agama tidak menganjurkan perkahwinan kerana perkahwinan adalah satu-satunya cara untuk membina keluarga dan mengembangbiakkan umat manusia.

Islam melihat perkahwinan sebagai satu daripada fitrah manusia. Itulah sebabnya Allah menjadikan manusia ini berpasangan-pasangan (ar-Rum: 21). Melalui perkahwinan juga, Allah mengurniakan manusia dengan keturunan yang melaluinya umat manusia berkembangbiak (an-Nahl: 72). Selain ayat-ayat ini, Allah juga berfirman di dalam al-Quran tentang kehidupan para Rasul yang juga berumahtangga (ar-Ra'd: 38).

Begitu juga hadis Nabi yang bermaksud, "Perkahwinan adalah salah satu sunnahku. Barangsiapa tidak menyukai sunnahku, maka sesungguhnya ia tidak meyukai aku." Juga, "Seseorang yang menikah telah menenangkan separuh agamanya. Maka hendaklah ia bertakwa kepada Allah dengan menjaga separuh yang lain." Dalam menganalisa hadis ini, Imam al-Ghazali berpendapat, "dengan melangsungkan perkahwinan, seseorang itu akan dapat menjaga dirinya dari kerosakan agama atau akhlaknya. Dapatlah disimpulkan bahawa yang paling merosakkan akhlak seseorang itu ialah perut dan kemaluannya. Oleh sebab itu, dengan berkahwin akan terpeliharalah salah satu penyebab utama kerosakan agamanya. "

Dalam konteks ini, tentulah perkahwinan itu perlu disegerakan. Walau bagaimanapun, ada satu syarat yang perlu dipenuhi sebelum seseorang itu boleh berkahwin iaitu kemampuan. Ini kerana dalam sepotong hadis Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa memiliki kemampuan untuk kahwin, hendaklah ia berkahwin. Hal itu lebih membantu menjaga pandangan serta melindungi kemaluan. Namun, apabila tidak mampu, hendaklah ia berpuasa. Dengan berpuasa, syahwatnya akan lemah." Hadis ini menunjukkan bahawa bila ada kemampuan, kahwinlah. Jangan ditangguhkan lagi. Sebaliknya, bagi yang tidak mampu, ia tidak boleh berkahwin sebaliknya berpuasalah untuk menjaga nafsunya.

Jadi, adalah jelas bahawa Islam adalah satu agama yang menganjurkan perkahwinan dan ia melihat bagi yang mampu, lebih cepat berkahwin adalah lebih baik. Oleh yang demikian, dalam konteks sekarang, kalau sudah berkemampuan, kahwinlah dan jangan tangguh-tangguh lagi. Tambah pula jika penanguhan itu bagi tujuan-tujuan seperti untuk memenuhi kepuasan hidup bujang atau untuk mengelakkan diri dari dikongkong. Ini tentunya bertentangan dengan Islam kerana perkara-perkara ini akan mendedahkan kita kepada perkara-perkara yang tidak baik.

Perkahwinan perlu dipermudah dan diperepatkan. Inisiatif kerajaan Kelantan sekarang menuju ke arah itu. Alhamdulillah.

Satu daripada kesan atau akibat dari fenomena kahwin lewat ini ialah masalah ketidaksuburan. Dilaporkan, kira-kira 690, 000 orang iaitu 6.4 peratus daripada wanita negara ini mengalami masalah ketidaksuburan dan memerlukan rawatan fertiliti (Berita Harian, 27 Julai 2001, ms. 9). Salah satu faktor yang menyumbang kepada angka ini menurut Ketua Pengarah LPPKN dalam laporan tersebut ialah penangguhan umur perkahwinan wanita (hingga 23 tahun) yang menjadi kecenderungan dalam masyarakat negara ini. Itu, hampir 10 tahun lalu, sekarang kita terima akibatnya, seperti seks bebas, lari dari rumah, buang bayi dan lain-lain.

Kesimpulan: Tulisan ini bukan bertujuan untuk menyeru agar semua rakyat Malaysia berkahwin pada usia muda. Ini kerana terbukti bahawa dalam sesetengah keadaan, penangguhan perkahwinan tidak dapat dielakkan. Misalnya, ketika melanjutkan pelajaran atau ketika menanggung keluarga, walaupun ada banyak cara mengatasinya. Sebaliknya, tulisan ini bertujuan untuk menyedarkan beberapa pihak tentang beberapa perkara.

Satu: Kepada individu, kalau sudah berkemampuan, kahwinlah. Janganlah tuntutan agama ini ditangguh-tangguh,konon untuk mendapatkan keseronokan hidup membujang yang tidak akan ada penghujungnya. Ikhtiarkanlah melalui saluran-saluran yang baik dan sopan agar jodoh itu dipertemukan.

Dua: sebagai individu, kita perlu melihat perkahwinan dengan perspektif yang betul. Perkahwinan sebagai satu tuntutan agama perlu menjadi idaman kita dan bukan menjadi kebencian kita. Ingat hadis di atas yang bermaksud, "Barangsiapa tidak menyukai sunnahku, ia tidak termasuk golonganku. Di antara sunnahku ialah perkahwinan, maka barangsiapa mencintaiku hendaklah ia mengikuti sunnahku." Jadi, elakkanlah diri dari membenci perkahwinan.

Walaupun ada banyak kisah sedih dan menakutkan di sebalik perkahwinan tetapi ia bukan kerana perkahwinan itu tidak baik, sebaliknya kerana orang-orang yang berkahwin itu tidak melaksanakan apa yang dituntut dari perkahwinan. Takkanlah kerana nyamuk kita nhak bakar kelambu, kita rasa kelambu itu tiada manfaatnya. Nyamuk akan sentiasa ada tetapi jika kita pastikan bahawa kelambu itu tidak terkoyak dan ia dipasang dengan baik. Insya'Allah kita akan menfaatkan kelambu sebaik-baiknya.

Tiga: Bagi wanita yang merasakan mereka boleh hidup sendiri tanpa suami.. ingatlah bahawa perkahwinan dalam Islam mempunyai banyak tujuan, bukan untuk mendapatkan tempat bergantung semata-mata. Melalui perkahwinan, bukan sahaja nafkah wanita ditanggung, tetapi keselamatannya juga terjaga. Melalui perkahwinan juga, wanita mendapat teman hidup yang melaluinya diperolehi kasih-sayang dan ketenangan.

Melalui perkahwinan juga, seks 'satu naluri manusia' terpenuhi dengan cara yang halal dan dari situ zuriat dilahirkan dan keturunan manusia berkembang biak. Jadi, rasa berdikari yang diperolehi dari gaji itu, tidak sama dengan ketenteraman hati diperolehi dari perkahwinan seperti dijanjikan oleh Tuhan.

Empat: Kepada ibubapa, mainkanlah peranan dalam hal ini, kerana ia juga satu tanggungjawab ibubapa kepada anak-anaknya. Jadi, bila anak-anak itu sudah dewasa dan mampu, suruhlah mereka berkahwin. Tanyakanlah pada mereka apakah mereka mahu kita mencarikan pasangan atau mereka boleh mencarinya sendiri. Kadangkala anak-anak ini malu untuk bersuara. Jadi, dengan ibubapa yang memulakannya dahulu, ianya lebih mudah untuk diteruskam.

Lima: Kerajaan sepatutnya memantau masalah ini, sesuai kehendak agama dan kaum masing-masing. Yang patut dibenci dan ditolak ialah kerajaan yang tidak mahu hidup cara agama, menggunakan agama waktu terdesak sahaja.

Sekian.

No comments:

Post a Comment