Friday, November 05, 2010

Kalah Di Galas Tidak Jejaskan Tok Guru -Ilham Centre,

KL, 5 Nov 10: Ilham Centre, firma penyelidik bebas merumuskan, kegagalan PAS menggunakan pendekatan agama sebagai strategi menghadapi Umno-BN, antara lain telah mengakibatkan parti itu hilang keistimewaan dan momentum di Galas.

Menurut pengarah eksekutifnya Muhamad Hisommudin Bakar, tinjauan Selasa lalu mendapati Umno lebih agresif memenangi hati majoriti pengundi yang masih belum membuat pendirian sama ada mengundi PAS atau Umno pada pilihan raya kecil DUN Galas yang berakhir semalam. Barisan Nasional (BN ) merampas kembali kerusi DUN Galas dengan majoriti undi 1,190 selain mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi di Sabah dengan majoriti besar iaitu 6,369 undi.

Di Galas, calon BN Abdul Aziz Yusoff menewaskan pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang Dr Zulkefli Mohamad. Menurut Hisommudin, sepatutnya dapatan Ilham Centre iaitu 62.4 peratus pengundi khususnya pemilih di atas pagar dan Orang Asli, yang setakat awal minggu ini masih belum menentukan calon pilihan mereka, membantu PAS menyusun strategi akhirnya.

“Kehadiran PAS di Galas dilihat hilang momentum dan keistimewaan, kehadiran PAS pada pengamatan pengundi sama seperti BN.

“Pendekatan agama PAS dalam beberapa pilihan raya kecil lepas (dengan membangkitkan) isu syurga neraka, dosa pahala, keberkatan serta pertolongan daripada Tuhan lebih memperlihatkan PAS berbeza dengan yang lain (termasuk Umno).

“Sepatutnya PAS berkata, siapa undi PAS akan dapat pahala kerana itu galur PAS,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Menurut beliau, tinjauan Ilham Centre mendapati tawaran terbuka PAS untuk memberi tambang balik RM250 kepada pengundi luar dipersoal oleh akar umbi parti dan pengundi tradisi yang pada pilihan raya umum ke-12 menyokong kepimpinan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) merangkap Mursyidul Am parti. Mereka, menurut tinjauan Ilham Centre itu lagi, turut mempersoal tindakan Nik Aziz di depan media menyampaikan wang zakat kepada tiga Orang Asli setelah upacara pengislaman mereka dilangsungkan.

“Ini bukan soal siapa betul siapa salah, orang ramai tidak kisah kalau pengislaman sahaja yang dilakukan tetapi apabila strategi beri duit zakat (kepada tiga Orang Asli) di depan media dilakukan, maka umum melihat PAS sebenarnya tidak ada bezanya dengan Umno dalam menggunakan duit untuk memenangi hati pengundi,” ujarnya.

Paling memberi tamparan hebat, katanya lagi, apabila pengundi yang masih belum membulatkan pendirian ini memberi perhatian pada tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegur aksi Nik Aziz serta kerajaan Kelantan tersebut.

“Memang menjadi tamparan yang cukup hebat apabila Tuan Guru Nik Aziz serta kerajaan negeri ditegur oleh SPR sendiri, memang ada kesannya pada pengundi yang sebelum ini tidak menyokong mana-mana pihak,” ujarnya.

Dari segi yang lain, tinjauan Ilham Centre juga mendapati jentera PAS dan Pakatan Rakyat negeri agak lambat mengakses Orang Asli berbanding jentera BN.

“PAS sebenarnya terlalu lambat untuk memenangi pengundi atas pakar dan Orang Asli, menurut maklumat jentera, PAS sebenarnya ada strateginya cuma menunggu saat-saat akhir,” ujar beliau.

Tambahnya lagi, beberapa pemimpin PAS negeri yang ditemui Ilham Centre memberitahu bahawa tanggungjawab memenangi hati Orang Asli diserahkan sepenuhnya kepada agensi kerajaan negeri sejak sehari sebelum hari penamaan calon.

“Peringkat awal kita difahamkan PAS menyerahkan (kempen) Orang Asli kepada jentera kerajaan (negeri) seperti Tabung Amanah Tok Kenali dan PMBK Sawit,” ujarnya.

Strategi “damai” PAS untuk menghadapi jentera BN yang dipimpin oleh veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah juga sedikit sebanyak menjejaskan fokus jentera bawahan PAS dan Pakatan Rakyat.

“Syarat-syarat PAS seperti tidak terlalu menjaga hubungan politik Ku Li (Tengku Razaleigh) nampak seperti mengelirukan serta menyukarkan jentera-jentera yang di bawah menggunakan strategi-strategi tradisi untuk menghadapi jentera Umno.

“Kita (Ilham Centre) tengok strategik kali ini lari jauh dari strategi-strategi tradisi seperti yang PAS bawa sebelum ini,” ujarnya.

Tambah beliau, tinjauan Ilham Centre mendapati umum melihat jentera Ku Li lebih sederhana walaupun Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS pusat Datuk Abdul Halim Abdul Rahman mengaku bahawa PAS turun ke Galas sebagai “underdog”.

“Umno lebih ‘underdog’ kerana BN nampaknya tidak mobilisasi jenteranya secara besar-besaran seperti dalam beberapa pilihan raya lalu mungkin kerana Ku Li tidak ada keistimewaan untuk memberi habuan politik kepada sesiapa sahaja yang membantunya.

“Tetapi dalam keadaan begitu, jenteranya (BN) menghadapi jentera negeri yang dipimpin oleh seorang yang dianggap tokoh penyusun strategik seperti Ustaz Halim,” kata beliau.

Malah kata beliau lagi, tinjauan Ilham Centre turut melihat jentera-jentera PAS yang datang dari luar seakan tidak selesa dengan beberapa pemimpin utama di markas induk PAS. Bercakap soal calon pula, katanya, pengundi lebih selesa dengan pendekatan sederhana BN berbanding PAS.

“Calon Umno walaupun tahap kelulusannya dipertikai oleh PAS, tetapi pengundi-pengundi tidak termakan dengan serangan-serangan sebegitu kerana dia (Abdul Aziz) adalah calon BN dari (kalangan) anak tempatan.

“Nampaknya, dalam hal ini PAS terperangkap walaupun PAS mempunyai pengalaman mempertaruh seorang ‘Tok Peraih Ikan’ (tauke ikan) sahaja pada pilihan raya kecil Manik Urai (tahun lalu),” ujar beliau.

Tinjauan Ilham Centre juga berpendapat bahawa sepatutnya PAS mempunyai lebih banyak kelebihan kerana calon taruhannya Dr Zulkefli pernah bertanding di kerusi Parlimen Gua Musang sebanyak dua kali.

“Dua kali Dr Zul bertanding di Gua Musang, tetapi nampak kehadirannya masih gagal menyaingi Ku Li dan calon ‘underdog’ BN (Abdul Aziz),” ujarnya.

“Popularti Dr Zulkefli kalau dalam kajian kita sebelum ini 60 peratus pun, sebenarnya ia secara umum tidak menumpu pada soal positif atau negatif,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa pengundi-pengundi yang ditemui memberi maklum balas positif tentang Dr Zulkefli. Beliau turut mengaku, tinjauan Ilham Centre turut merumuskan bahawa kekalahan kali ini tidak menjejaskan populariti positif Nik Aziz.

“Sebenarnya Tuan Guru ‘OK’ tetapi rakyat nampaknya tidak puas hati kenapa adik-beradik Tok Penguhulu tertentu saja yang dapat habuan daripada kerajaan negeri.

“Sehingga hari-hari akhir, isu pentadbiran kerajaan negeri seperti Ladang Rakyat, kifalah, pemberian tanah masih gagal diselesaikan,” ujarnya. (Sumber The Malaysian Inwider)

kuti kisah PRK dari mula dan seterusnya.
PRK DUN GALAS

No comments:

Post a Comment