Saturday, November 13, 2010
MB S'ngor: Penjelasan Kelulusan Kuil & R/Ibadat
SHAH ALAM 12 NOV 10: Pejabat Menteri Besar Selangor menjelaskan bahawa laporan yang mendakwa kerajaan Pakatan Rakyat tidak mengambil kira kuil dan rumah ibadat lain ketika meluluskan projek pembangunan adalah tidak tepat.
Sebaliknya, dalam satu kenyataan petang ini, ia menegaskan bahawa kerajaan negeri prihatin keperluan membina tempat-tempat ibadat secara terperancang.
Berikut adalah kenyataan sekretariat akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor:
Terdapat beberapa versi laporan berhubung jawapan yang diberikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengenai isu pembinaan kuil ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Ibrahim Sani pada sesi sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), semalam. Kerajaan Negeri Selangor ingin menjelaskan pendirian mengenai pembinaan kuil dan rumah ibadat lain iaitu
- Pembinaan tempat-tempat beribadat harus dibuat secara terancang dan mengikut garis panduan kerajaan demi memastikan kepuasan semua pihak yang terlibat.
- Projek perumahan baru yang bakal dibina di Selangor diwajibkan mengambil kira kewujudan kuil dan rumah ibadat lain yang sudah wujud di kawasan tapak atau kawasan berdekatan tapak pembinaan.
Sekiranya pihak pemaju gagal mengambil kira rumah-rumah ibadat yang sudah wujud berdekatan dengan tapak pembangunan atau sekurang-kurangnya menyediakan rancangan rapi untuk pemindahan rumah ibadat tersebut yang dipersetujui semua pihak terlibat, kelulusan untuk membina tidak akan diberi.
Sejak Julai 2008, Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan 30 geran tanah kepada kuil Hindu manakala 15 lagi masih menunggu kelulusan Exco untuk diwartakan. Permohonan bagi membina rumah ibadat perlu diperhalusi melalui kajian mendalam dan setiap kelulusan yang dibuat tertakluk kepada kekosongan tanah, kesesuaian lokasi dan keperluan penduduk setempat.
Laporan media yang mendakwa Kerajaan Pakatan Rakyat tidak mengambil kira kuil dan rumah ibadat lain ketika meluluskan projek pembangunan adalah tidak tepat. Pegawai Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar bertugas sepanjang DNS berlangsung dan sedia memberi penjelasan jika terdapat sebarang kekeliruan. (AK)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Apa saja pembangunan perlu ada perancangan dan penelitian.
Post a Comment