Komponen BN MCA timbang beli Tanjong, terokai bisnes judi
KL, 10 Nov 10: MCA dikatakan menyertai usaha membida bisnes perjudian Tanjong Plc yang bernilai sekitar RM2.5 bilion, syarikat yang turut menjadi tumpuan keluarga Cheng bersama ahli perniagaan Filipina Roberto ‘Bobby’ Ongpin Jr dan beberapa firma ekuiti swasta antarabangsa.
Usaha parti komponen Barisan Nasional (BN) itu menjadi perhatian susulan langkahnya menjual pegangan dalam sayap pelaburan Huaren Holdings Sdn Bhd, yang melepaskan 42.4 peratus pegangannya dalam Star Publications (M) Bhd, yang menerbitkan The Star, pada nilai RM1.28 bilion baru-baru ini.
Dengan penjualan itu syarikat tersebut dijangka akan menggunakan dana tersebut untuk membeli Tanjong dengan kombinasi pembiayaan. The Malaysian Insider difahamkan MCA telah dinasihatkan untuk membida mendapatkan unit perjudian memandangkan operasi itu menawarkan pulangan baik, sebagaimana disumbangkan oleh perniagaan akhbar harian The Star.
“MCA sedang dalam usaha memburu Tanjong,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.
Difahamkan, pemegang utama saham Tanjong T. Ananda Krishnan akan memutuskan seawal hari ini sama ada mahu memutuskan penjualan syarikatnya. Malah difahamkan, jualan syarikat itu juga sebahagian daripada langkah pematuhan elemen syariah dan juga untuk menerokai peluang pasaran di Timur Tengah dan Utara Afrika di samping usaha di Asia Tenggara dan Selatan bagi memperluaskan bisnes penjanaan tenaga.
Seorang pemain utama dalam soal perundingan ialah Ongpin, menteri perdagangan ketika era Marcos, yang membangunkan hartanah yang agar besar, bisnes telekomunikasi dan perniagaan perjudian atas talian di Filipina. Difahamkan beliau akan menjadi rakan dalam bidaan itu sama ada oleh sayap pelaburan MCA ataupun keluarga Cheng, yang terlibat dalam perniagaan mesin slot perjudian, kebanyakannya bertumpu di Lembah Klang.
Keluarga itu diterajui oleh Datuk David Cheng, yang anaknya Datuk Douglas Cheng bergandingan dengan Datuk Vincent Tan Ting Wong dan Henry Yip mengadakan rangkaian restoran Cina popular Dragon-I pada 2004.
“Ada jurang kecil dalam soal penilaian antara apa yang ditawarkan dan yang diminta,” kata sumber itu lagi.
The Malaysian Insider difahamkan perbezaan dimaksudkan itu dalam lingkungan RM100 juta. Bisnes perjudian Tanjong termasuk operator nombor ramalan dan cabutan loteri Big Sweep dan lumba kuda. Sayap perjudian Tanjong, Pan Malaysian Pools Sdn Bhd kini menguasai 24 peratus pasaran tempatan manakala Berjaya Sports Toto Bhd yang dimiliki Tan Sri Vincent mempunyai 40 peratus manakala Magnum Corp Bhd pula 36 peratus.
Sementara perniagaan cabutan nombor ramalan dan loteri menghasilkan aliran tunai yang baik, Tanjong dikatakan berhadapan dengan kerugian dalam operasi lumba kuda. Kerugian daripada aktiviti lumba kuda dianggarkan RM80 juta pada tahun kewangan semasa. Difahamkan pemilik baru Tanjong akan menawarkan produk perjudian baru bagi memastikan pulangan yang lebih baik selain meminta pengurangan cukai kerajaan.
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Ada orang tanya, "MCA rakan UMNO main judi, UMNO dapat saham dosanya tak?". Kena tanya mufti kerajaan atau ulama UMNO.. (AK)
No comments:
Post a Comment