IBNU HASYIM CATATAN SANTAI
YB Ustaz Salleh Man,Pesuruhjaya PAS P.Pg
'MONYET UMNO', Siapa 'Monyet UMNO'? Seorang anak PulauPinang menelefon saya sebentar tadi menyuruh baca berita Sinar Harian hari ini 'Ariff kurang yakin pada Pas'. Kesah Ariff Ibrahim, 38, di George Town Pulau Pinang. Dia bukan wakil rakyat namun hal dirinya disebut-sebut pada sidang Dewan Undangan Negeri PulauPinang DUN semalam.
Ini berikutan tindakannya memanjat dan merantai diri pada pintu pagar DUN ketika berlangsung tunjuk perasaan pada hari kedua sidang DUN minggu lalu. Semalam, ADUN Seri Delima, RSN Rayer menggelar Ariff sebagai 'monyet UMNO' kerana tindakannya itu.
Tidak lama selepas tuduhan itu dilemparkan, Ariff tampil menjelaskan, "saya bukan ahli UMNO tapi ahli Pas." Ariff bagaimanapun berkata, dia kini tidak lagi meyakini parti itu di peringkat negeri seperti dahulu, kerana pemimpinnya dilihat tidak mampu membelas nasib orang Melayu dan Islam.
“Walaupun begitu, saya belum keluar parti, masih ahli Pas di kawasan Tanjung. Apabila ada orang menuduh saya ahli UMNO, itu tak betul. Saya tidak ada kena mengena dengan UMNO. Saya lebih selesa berjuang bersama NGO, bukan parti politik. Saya ada prinsip dalam perjuangan menegakkan Islam dan orang Melayu, saya tidak ada kepentingan politik,” katanya.
Ariff berkata, suatu ketika dahulu, dia memang meyakini perjuangan Pas untuk membela nasib Melayu dan Islam namun apabila diberi peluang berkuasa bersama Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini, parti itu ternyata tidak mampu membawa sebarang perubahan. “Saya anggap Kerajaan Negeri diperintah secara diktator. Sebab itu, Pas tidak mampu buat apa-apa. Ini amat menyedihkan,” katanya.
Ariff berkata, insiden di DUN minggu lalu bukan demonstrasi pertama disertainya. “Saya pernah melompat ke atas kereta Lim Guan Eng pada bulan Ramadan lalu berhampiran Masjid Kampung Rawa bagi meluahkan sendiri perasaan kecewa terhadap Kerajaan Negeri DAP,” katanya.
Meskipun pernah bertindak demikian, Ariff berkata, dia tidak pernah dikenakan sebarang tindakan oleh parti. “Pembelaan untuk orang Melayu dan Islam di negeri ini kurang memberangsangkan. Saya tak nampak nasib kita lebih terbela di bawah pimpinan kerajaan ini. Melalui NGO yang tidak terikat oleh kepentingan politik, saya harap mampu jadi pendesak untuk mendapatkan hak sebagai rakyat negeri ini,” katanya.
Pada saya, itu suatu contoh, sebuah kelompok pemikiran Orang Melayu Pulau Pinang. Tidak kira samada PAS, PKR, atau UMNO. Memang UMNO sudah memperjuangkan bangsa Melayu sejak merdeka lagi. Orang Melayu dibuai mimpi indah oleh pemerintah PERIKATAN dan Barisan Nasional. Bagai monyet-monyet dan kera-kera di hutan bakau, belakang rumah saya di BalikPulau, Pulau Pinang, semasa saya kecil-kecil dulu. Bila datang angin kencang-kuat, dia lebih erat berpegang kepada dahan kayu.
Tetapi dia akan jatuh 'terkejut beruk', terpinga-pinga bila terlalai dengan angin sepoi-sepoi bahasa. Itulah terjadi bila tsunami politik PRU 12 yang baru lalu. Kini pemikiran terkejut beruk itulah yang sedang melanda kelompok tersebut. Mereka seolah-olah patah dahan untuk bergantung, walaupun sebenarnya tidak patah, cuma tangan kera itu sahaja yang terlalai dan terlepas dari pegangan.
Di sinilah perlunya peranan PAS atau keadilan untuk membangunkan kembali semangat dan harapan kelompok itu. Mari kita lihat kelompok pemikiran itu lagi.
Ditanya Ariff Ibrahim seperti di dalam akhbar itu lagi, andai dikenakan tindakan oleh Pas atas tindak-tanduknya yang mencemarkan imej PR, Ariff berkata, dia hanya berpegang pada prinsip dalam memperjuangkan hak orang Melayu dan agama Islam.
“Berpolitik tidak penting. Lebih penting adalah perjuangan untuk agama dan bangsa. Kalau mereka nak ambil tindakan, mereka mempunya hak mengikut dan perlembagaan parti untuk berbuat demikian. Apa yang saya lakukan adalah berlandaskan hak saya sebagai orang Melayu dan orang Islam.
“Matlamat saya bersama Pas bukan untuk kebendaan tetapi adalah untuk agama dan bangsa,” katanya.
Ditanya jika UMNO pernah mendekatinya berhubung isu yang dibangkitkan, Ariff berkata, apa yang dilakukan berlandas prinsip dan perjuangan.
“Saya tidak didalangi dengan mana-mana parti politik. Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa UMNO atau mana-mana parti politik berada di belakang saya. Saya lakukan semua ini atas prinsip perjuangan saya sendiri.
“Banyak isu yang saya bangkitkan dan ia bukan daripada sumber ahli politik mahupun media. Saya dan beberapa lagi aktivis turun dan mendengar sendiri masalah rakyat. Tindakan mereka menuduh saya orang UMNO adalah untuk menegakkan benang basah,” katanya.
Ariff menyertai Pas sejak 1998 dan mula membangkitkan isu-isu Melayu dan penindasan terhadap hak kaum itu ketika bersama Pas Jelutong . Menurutnya, sewaktu pemerintahan Barisan Nasionan (BN), dia pernah terlibat membangkitkan isu perkuburan Kampung Kolam yang tercemar dengan membawa batu nesan ke pejabat Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang ketika itu, Shabudin Yahya.
Selain itu, Ariff bersama rakan aktivis yang lain pernah melakukan demonstasi membela nasib peniaga Melayu di negeri ini seperti Restoran Doremi di Batu Feringghi dan beberapa peniaga Melayu lain. Minggu lalu, Ariff terlibat dalam tunjuk perasaan di depan DUN berhubung isu tanah perkuburan Islam Lot 21 dan 22 .
Bila lihat kepada Blog yang disarankan oleh penelefon saya tadi, 'Orang Kata Pas Pulau Pinang Lembab ! Betoi Ka? (Blog Warta Shubhi) Antaranya menyebutkan...
"Pas Pulau Pinang dikatakan lembab dan tidak tahu mengambil kesempatan atas pemerintahan kerajaan PR yang diterajui oleh DAP di sana sedangkan ketua menteri Pulau Pinang sentiasa tertunggu-tunggu sebarang usaha atau cadangan dari pimpinan Pas di sana untuk membantu umat Islam atau bangsa Melayu agar sama-sama dapat menikmati arus pembangunan di Pulau Pinang.
Cadangan Blog tersebut...
"Sudahkah Pas menubuhkan satu badan atau biro aduan yang mengambil semua aduan atau keluhan masalah orang Melayu di Pulau Pinang seterusnya mengutarakan jalan penyelesaiannya kepada kerajaan negeri Pulau Pinang. Sepatutnya semua cawangan Pas di Pulau Pinang telah membentuk biro aduan ini yang berjalan setiap hari bagi menjadi agen atau wakil atau orang tengah di antara orang Melayu Pulau Pinang dengan kerajaan negeri DAP.."
Rumusan:
Satu: Saya setuju dengan cadangan di atas, PAS kena tubuh Bahagian Penerimaan Pengaduan Orang Melayu Pulau Pinang, dan aktifkan kalau sudah ada. Perlu diambil tindakan segera dan dipanjangkan kepada pihak berwajib, samada Kerajaan Negeri atau Pusat.
Dua: Banyakkan majlis penerangan, motivasi dan perlaksanaan dengan kerjasama Kerajaan Negeri.
Tiga: Perlu diingat, pemimpin-pemimpin negeri perlu berhati-hati jangan menyinggung kaum dan puak-puak tertentu, supaya tidak boleh diekploit oleh musuh-musuh Kerajaan Pakatan. Contohnya seperti kenyataan di atas...
"Semalam, ADUN Seri Delima, RSN Rayer menggelar Ariff sebagai 'monyet UMNO' kerana tindakannya itu...."
Kalau betul apa yang dilaporkan, ADUN Seri Delima perlu tarik balik dan mohon maaf. Jangan mengulangi lagi perbuatan biadap yang menghina rakyat bawahan begitu. Kalau mengkritik pihak atasan begitu tak apa-apa. Itu pandangan saya.. sekian.
Ibnu Hasyim Catatan Santai
alamat e-mail: ibnuhasyim@gmail.com
Nov 12, 2010
KL
1 comment:
Saya cadangkan kepimpinan PAS yang ada mesti turun padang berdialog dengan akar umbi dan rakyat dikelilingnya untuk mencari menyelesaian dari apa-apa perkara yang menjadi isue yang mendapat perhatian pihak berkuasa.Jangan tunggu masaalah sudah terjadi.
Saya kira ia tidak rugi,perkara ini pernah dibuat oleh Allahyarham Dato' Mohd. Hamdan Abdul Rahman DUN Permatang Pasir,biasa dengan rutinnya menjelajah luar kawasan ADUNnya mengambil tahu akan masaalah-masaalah dikelilingnya.AlFatehah Untuk Allahyarham.
Post a Comment