Monday, November 01, 2010

PKR: Zaid Depan, Tian Chua Dahului N/Presiden

Tian Chua

KL, 1 Nov 10: Keputusan rasmi tiga hari pertama pengundian pucuk kepimpinan pusat PKR menunjukkan Datuk Zaid Ibrahim dan Pengarah Strategi Tian Chua berada di depan dalam saingan jawatan timbalan presiden dan naib presiden.

Keputusan yang dikeluarkan ibu pejabat PKR pagi ini menunjukkan Zaid, Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan memperoleh 3,683 undi manakala Naib Presiden Azmin Ali mendapat 3,051 undi. Seorang lagi calon jawatan itu Mustaffa Kamil Ayub, yang juga naib presiden semasa, mengumpulkan 1,241 undi.

Bagi pemilihan sayap pemuda — Angkatan Muda Keadilan — muka baru Badrul Hisham Shaharin berada di depan dan sebagaimana diramalkan, Ketua Wanita Zuraida Kamaruddin mendahului saingan dengan selesa. Sebanyak 68 cabang selesai mengadakan pengundian sehingga semalam. Ia bermula Jumaat lalu.

Pengundian akan diadakan di cabang-cabang lain sepanjang tujuh hari lagi secara berperingkat-peringkat. Pengundian cabang Pasir Mas yang sepatutnya diadakan Jumaat lalu juga telah ditangguhkan sehingga 6 November.

Chua, Ahli Parlimen Batu menerima 3,621 manakala Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar memperoleh 3,543 undi dan Pengarah Pilihan Raya Fuziah Salleh dengan 2,895 undi. Nurul Izzah mendahului saingan hari pertama yang menyaksikan sembilan cabang melangsungkan pengundian. (AK)

No comments:

Post a Comment