KL, 10 Nov 10: Susulan tindakan dua calon mempertikaikan kesahihan, sebanyak 24 cabang menggesa kepimpinan PKR agar menangguhkan segera proses pemilihan pusat sementara menyiasat segala aduan wujudnya kepincangan dan kecacatan dalam proses pengundian.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, kesemua cabang berkenaan yang menggelar Gabungan Cabang PKR meminta agar sistem dan proses pemilihan pimpinan pusat dipastikan bersih, bebas dan adil.
“Adalah tidak wajar jika terdapat mana-mana pihak khususnya ahli jawatankuasa pemilihan pusat dan juga petugas pemilihan dilihat berpihak kepada calon-calon tertentu dan terlibat memanipulasi serta menipu undi.
“Fenomena tersebut telah dikesan berlaku dalam beberapa insiden sebelum ini yang mana turut diadukan oleh Mustaffa Kamil Ayub (calon timbalan presiden) dan juga ahli yang lain kepada jawatankuasa pemilihan pusat dan juga kepada sekretariat parti,” kata beliau.
Oleh itu kata surat tersebut, “amat wajar sekali pucuk pimpinan parti dengan segera mengarahkan siasatan terhadap aduan dan sementara menantikan hasil siasatan dan tindakan susulan, maka proses pemilihan yang sedang dilakukan sekarang ini harus segera ditangguhkan.”
“Kami sebagai pimpinan akar umbi PKR tidak dapat menerima hakikat wujudnya walaupun satu penipuan atau penyelewengan dalam proses pemilihan pimpinan parti, yang akan diberi amanah memimpin parti dan rakyat seluruhnya di masa akan datang,” kata surat tersebut.
Kata surat tersebut, isu manipulasi dan penyelewengan pengurusan pemilihan pimpinan tertinggi PKR yang diadukan kepada Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam oleh Mustaffa harus diambil berat oleh pucuk pimpinan parti demi memastikan kewibawaan parti terus terpelihara.
“Siasatan segera harus dilakukan oleh jawatankuasa pemilihan pusat bagi menjawab aduan yang disampaikan oleh Mustaffa dan juga oleh beberapa pihak yang lain sebelum ini,” katanya.
Cabang-cabang yang membuat gesaan terbaru ini ialah Putrajaya, Teluk Intan, Temerloh, Petaling Jaya Utara, Sembrong, Kuala Pilah, Paya Besar, Bagan Datoh, Bentong, Keningau, Tanjung Malim, Ipoh Barat, Tampin, Rompin, Pensiangan, Sungai Siput, Maran, Tambun, Jerantut, Bagan Serai, Tapah, Kuala Kangsar, Kota Kinabalu dan Seremban.
Dalam pada itu, Ketua PKR Putrajaya Onn Abu Bakar berkata, “sokongan yang kita dapat ini adalah daripada cabang-cabang yang sempat kita jumpa.”
“Kalau hendak diikutkan lebih 80 cabang yang setuju dengan penangguhan,” kata beliau sambil menambah, ini bukan mewakili mana-mana calon, tapi terbuka kepada mana-mana cabang yang hendak menuntut tindakan ibu pejabat.
“Selepas Mustaffa dah bagi tempoh 48 jam, jadi kita mintalah pucuk pimpinan bertindak. Kalau perlu tangguh, tangguhlah.
“Kita hendak minta pihak ibu pejabat bertindak, sebab di bawah kita dengar macam-macam, tapi macam tiada respons,” katanya.
Semalam, Mustaffa menggesa agar pemilihan pusat bersejarah parti itu — menggunakan kaedah langsung — dibatalkan serta-merta dan diadakan semula pengundian dengan menyelesaikan segala aduan yang telah dikemukakan sebelum ini. Mustaffa memberi tempoh 48 jam kepada JPP agar mengambil kedua-dua tindakan itu pada sidang media diadakan oleh Datuk Zaid Ibrahim yang kelmarin memutuskan untuk menarik diri daripada bertanding jawatan nombor dua PKR atas alasan wujud kecacatan dalam proses pemilihan pusat.
Tempoh kata dua beliau akan berakhir petang esok.
“Hasil tindakan ke atas memorandum ini, awal Jumaat ini, saya akan mengumumkan pendirian saya sama ada saya akan terus bersaing ataupun sebaliknya,” kata beliau.
Bagaimanapun Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail berkata, PKR akan meneruskan pemilihan langsung yang diadakan sekarang meskipun menerima kata dua dan dipertikaikan oleh dua calon timbalan presiden ekoran dakwaan wujudnya manipulasi dan kecacatan dalam proses pengundian.
Saifuddin juga menolak dakwaan Zaid bahawa proses pengundian pemilihan pusat telah dimanipulasi. Proses pengundian yang bermula dua minggu lalu akan berakhir 21 November ini. Saifuddin juga menegaskan, daripada 87 bahagian yang telah selesai mengadakan proses pengundian, Datuk Zaid Ibrahim menang di 38 cabang manakala Azmin Ali pula di 37 cabang. Mustaffa menang di sebanyak 11 cabang.
“Jika ada (unsur) manipulasi, beliau (Zaid) tidak akan menang di satu cabang pun,” kata Saifuddin. (Malaysiakini/AK)
Salam, mohon link blog. terima kasih
ReplyDelete