Wednesday, November 03, 2010

SPR Jamin Tiada Penipuan -Datuk Noordin




GUA MUSANG, 3 Nov 10
: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan kepada PAS bahawa tiada penipuan akan berlaku ketika proses pengiraan undi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas membabitkan empat kawasan Orang Asli yang didakwa PAS semalam.

Sambil menasihatkan mana-mana pihak tidak bimbang, Timbalan Setiausaha SPR Datuk Noordin Che Ngah berkata, langkah sedemikian diambil dalam keadaan cuaca tidak menentu.

“SPR mempunyai kuasa untuk tentukan macam mana nak kira kertas undi.

“Dalam isu Orang Asli ini, kita bawa balik ke pusat penjumlahan kertas undi selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk cuaca.

“Kalau cuaca sekarang yang tidak menentu dan hujan, kalau kira di sana, bila masa baru kita akan balik ke sini. Bukankah ia akan lebih melambatkan?” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider malam tadi.

Petang semalam, PAS menggesa SPR mengkaji semula keputusannya mahu membawa peti undi dari empat kawasan Orang Asli — yang mempunyai 924 pengundi — tanpa dikira terlebih dahulu di pusat pengundian terbabit.

PAS akan memfailkan bantahannya berhubung keputusan SPR itu hari ini — sehari sebelum pengundian diadakan.

Empat kawasan tersebut adalah Belatim, Balar, Bihai dan Hau yang mana SPR akan menggunakan khidmat helikopter untuk mengangkut kertas undi sebelum dikira di pusat penjumlahan undi di sini.

Noordin berkata, PAS boleh memfailkan bantahan sekiranya merasakan perlu.

“SPR ada cara untuk mengira undi, kalau sesuatu proses itu melambatkan kita akan bawa ke pusat pengumpulan kertas undi.

“Kalau PAS nak failkan bantahan tiada masalah. Lagipun ini bukan kali pertama kita bawa balik kertas undi dan kira di pusat penjumlahan undi.

“PAS nak risau buat apa? Kita bawa naik helikopter. Dalam helikopter itu nanti ada polis yang bertugas, tidak akan berlaku penipuan,” katanya lagi.

Justeru, Noordin meminta PAS supaya tidak terlalu risau dengan perkara itu kerana pihaknya akan menjalankan tugas dengan baik.

“Tidak perlu risau, kita akan jalankan tugas dengan baik.

“Kita cuma bawa balik dengan helikopter nanti ketika buat pengiraan ejen calon pun ada bersama, tiada masalah pun,” katanya.

Menurut Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan Abdul Fatah Harun semalam, bantahan itu akan dibuat hari melalui peguam partinya.

“Kita tidak mahu ia dibawa ke pusat pengumpulan kertas undi (Dewan Pusat Sivik Gua Musang), kita mahu ia dikira di sana terlebih dahulu,” katanya.

Menurut Abdul Fatah, SPR tidak memaklumkan perkara itu kepada pihaknya terlebih dahulu.

Tambah Noordin, sekiranya selepas pilihan raya kecil selesai dan PAS masih tidak berpuas hati mereka boleh memfailkan petisyen di mahkamah.

Kerusi DUN Galas menyaksikan pertarungan satu lawan satu di mana Barisan Nasional (BN) meletakkan Setiausaha Umno Gua Musang Abdul Aziz Yusoff manakala PAS, yang mewakili Pakatan Rakyat, meletakkan Dr Zulkefli Mohamad yang juga pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang.

Seramai 11,553 pengundi layak untuk mengundi pada pilihan raya kecil kali ini iaitu Melayu 7,125 orang atau 61.7 peratus, kaum Cina 2,317 atau 20.06 peratus, India 185, Bumiputera Siam 10 orang dan Orang Asli 1,889 orang. (AK)

PRK DUN GALAS

1 comment:

otaklunyai said...

Khuaaaaa...khuaaaa...

"apabila datang sesuatu berita dari orang2 fasik hendaklah kamu selidiki dan berhati2 agar kamu tidak tertipu dan bersubahat menjadi zalim dan supaya kamu tidak menyesal"...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails