Tuesday, November 09, 2010

Tahniah Mahyidin, Iklan Deepavali Menarik.

HALAMAN HIBURAN


Finas: Iklan Deepavali tiada kaitan dengan tukar agama


KL 9 NOV 10: Iklan Deepavali terbitan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) tidak ada kaitan dengan penukaran agama mana-mana masyarakat dan tidak seharusnya dilihat dari luar konteksnya, kata ketua pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim.

Katanya, iklan berkenaan bertujuan memupuk semangat 1Malaysia di kalangan masyarakat majmuk dan keluarga mereka yang meraikan pelbagai perayaan di Malaysia.

“Ikan ini adalah susulan iklan yang diterbitkan semasa Hari Raya apabila Muthu berkahwin campur dengan seorang rakyat tempatan Sarawak, Rina.

“Jadi, kami cuba memaparkan bagaimana rakyat Malaysia yang berlainan latar menyambut perayaan masing-masing. Kami juga ada iklan susulan semasa Krismas dan Tahun Baru Cina.

Menurut Mahyidin iklan itu adalah kerja kreativiti dan tidak seharusnya dicampurkan dengan politik.“Iklan itu langsung tidak bertujuan merendahkan mana-mana bangsa dan sudah tentu idea menukar agama langsung tidak terlintas di minda kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Mahyidin merujuk kepada ulasan senator S Ramakrishnan yang mempersoalkan mesej pada iklan itu yang cuba dibawa oleh penerbit iklan berkenaan.

Katanya, jalan cerita iklan ini, hampir sama dengan drama Bollywood bila mana terdapat konflik pada permulaan tetapi semuanya berakhir dengan baik. Apabila iklan itu berakhir, ia memaparkan suasan kegembiran dan kebahagiaan di kalangan kedua-dua keluarga itu.

Iklan 30 saat (klik.. lihat iklan) yang didakwa disiarkan di RTM dan Astro - menunjukkan seorang lelaki dari keluarga beragama Hindu menghadapi masalah dengan keluarganya setelah dia berkahwin dengan seorang perempuan Islam.

Perempuan Islam itu pula keberatan memakan makanan yang disajikan oleh keluarga suaminya. Dia akhirnya menjamah makanan berkenaan setelah diyakinkan oleh seorang rakan keluarga itu bahawa makanan itu adalah halal.

Hanya setelah perempuan Islam itu melahirkan anak, keluarga berkenaan menerimanya dan anak itu.

Menurut Ramakrishnan, iklan Finas itu memaparkan sikap bermusuhan keluarga Hindu dan gagal menangani isu soal pemaksaan penukaran agama sebelum seseorang boleh berkahwin dengan orang Islam.

Mahyidin sebaliknya berkata iklan itu cuba memaparkan tolak ansur dan perasaan kasih sayang di kalangan masyarakat pelbagai bangsa. Ia menunjukkan rasa hormat di antara berlainan bangsa di mana makanan halal disediakan untuk tetamu mereka yang beragama Islam.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Soalnya, bolehkah lelaki Hindu berkahwin dengan wanita Islam? Mungkin tidak pernah berlaku di Malaysia. Tetapi disebutkan di atas 'seorang lelaki dari keluarga beragama Hindu', sudah tentu dia Islam, kalau tidak tentu perkahwinan itu tidak akan berlaku. Jadi, mereka adalah sepasang suami isteri Islam yang ziarah keluarganya yang belum Islam. Biasalah, agama Islam pun menuntut begitu. Itulah istimewanya masyarakat Malaysia.

Kesimpulan, iklan ini baik, tiada kena mengena dengan tukar agama atau melanggar hak kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia.
Tahniah, ketua pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim. Al-hamdulillah.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails