Thursday, November 04, 2010

Terus Ke Batu Sapi..

Batu Sapi: 41.06 peratus sudah mengundi
Masa pengundian: 8 hingga 5 petang
Pengiraan undi: Bermula 6.30 petang
Keputusan: Menjelang 8 malam

1.45pm Jumlah pengundi yang keluar dalam pilihan raya kecil parlimen Batu Sapi setakat jam 1 tengahari ialah 41.06 peratus atau 10,505 orang.

12.40pm: Lebih kurang 100 penyokong BN di luar sebuah lagi pusat pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Sapi - kawasan yang majoriti pengundinya bumiputera - masih lagi menunggu.

Mereka membawa sepanduk Tsen dan Najib sambil melaungkan “Hidup BN!” Namun penyokong PKR yang diketuai oleh exco Wanita Felicia Ling yang membawa sepanduk Ansari tidak memberi tindakbalas dan suasana dilaporkan tenang. Tiada ketegangan di antara kedua-dua kumpulan.

12.00pm: Seramai 9,261 pemilih atau 36.2 peratus telah keluar mengundi pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Batu Sapi, kata Suruhanjaya Pilihan Raya.

11.10am: Datuk Yong Teck Lee tiba dan bersalaman dengan pekerja SPR dan juga pengundi.

Bekas ketua menteri itu juga kelihatan tenang dan ceria.

Katanya, jumlah yang keluar undi sebanyak 23 peratus setakat jam 10 pagi tadi dianggap perkara biasa.

"Jumlah peratus yang tinggi akan beri saya keutamaan yang lebih.”

Menurut Yong lebih ramai pengundi yang berusia keluar melaksanakan tanggungjawab mereka berbanding pengundi muda.

Yong berjumpa dengan ketua MCA Sabah, Edward Khoo. Mereka kelihatan mengadakan perbualan yang mesra dalam dialek Hakka.

11.00am: Jumlah yang keluar mengundi setakat ini adalah 28.59 peratus atau 7,313 orang.

10.55am: Hujan renyai-renyai di sekitar pusat pengundian SMK Agama - pekerja dan penyokong parti masing-masing berlari mencari tempat teduh.

Hujan berhenti kira-kira 10 minit kemudian tetapi awan gelas masih kelihatan menunjukkkan tanda-tanda hujan lebat tidak lama lagi.

10.24am: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula tiba dengan diiringi oleh Ketua Menteri, Sabah, Datuk Seri Musa Aman, di SMK Agama.

Beliau bergegas meninggalkan pusat itu dan dijadual mengadakan sidang media di ibu pejabat polis di Sandakan pada jam 1 petang nanti.

10.29am: Jumlah keluar mengundi sehingga jam 10 pagi adalah 23.05 peratus atau 5,897 orang.

10.03am: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof tiba di SMK Agama di Taman Mawar dengan pegawainya untuk memantau perkembangan di pusat pengundian.

Beliau berkata proses pengundian dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi dan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Galas agak "perlahan" dalam tempoh satu jam pertama.

Bagaimanapun, katanya, beliau berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian setakat ini dan berharap jumlah mereka yang keluar mengundi meningkat pada tengah hari dan petang.

9.56am: Calon BN Datin Linda Tsen Thau Lin tiba di perhentian pertamanya diSMK Agama di Taman Mawar, dengan diiringi naib presiden PBS, Dr Yee Moh Chai dan ADUN Sekong Samsudin Yahya.

Dengan tenang, Tsen yang dikerumuni wartawan berkata dia berpuas hati dengan jumlah pengundi yang keluar.

"Ini membawa balik kenangan lama apabila saya mengiringi mendiang suami saya melawat pusat pengundian,” katanya.

9.47am: Menurut SPR, peratus yang telah keluar mengundi setakat jam 9 pagi adalah 14.68 peratus (3,756 undi).

9.36am: Di SJK(C) Cheng Min dan SK Bandar Sandakan, dua pusat pengundian majoriti masyarakat Cina yang terletak bersebelahan di atas bukit di bandar Sandakan, jumlah yang keluar mengundi dilaporkan amat memberangsangkan.

Bas mini tidak putus-putus datang menghantar pengundi ke pusat pengundian di khaki bukit berkenaan. Kira-kira 30 pekerja BN terus berada di sana sambil disaksikan oleh sekumpulan kecil penyokong PKR. Tiada lagi perlumbaan menjerit slogan ke arah satu sama lain.

9.24am: Presiden Sapp yang juga calon Batu Sapi, Datuk Yong Teck Lee berkata beliau optimistik dengan peluangnya pada pilihan raya hari ini.

"Keputusan dijangka sengit tapi saya yakin (akan menang).”

Yong membidas BN dan Pakatan Rakyat yang didakwanya menakut-nakutkan pengundi dengan jerita slogan mereka serta kibaran bendera parti.

"Ini bukan budaya di sini. Jika pengundi dijerit, ini akan menakutkan mereka,” katanya.

9.06am: Penyokong BN dan Pakatan Rakyat mula melaungkan slogan masing-masing sambil mengibarkan bendera parti serta sepanduk calon masing-masing di sepanjang jalan menuju ke pusat pengundian di SMK Agama di kawasan majoriti Cina, Taman Mawar.

Laungan "Hidup Rakyat!" oleh penyokong PKR ditenggelamkan oleh penyokong BN yang membalas dengan teriakan "Hidup BN!" dan "Siapa yang bawa pembangunan? BN!".

8.55am: Berlaku kesesakan jalan raya di sepanjang Jalan Batu Sapi, menuju ke pusat pengundian. Ia akibat kenderaan termasuk bas mini yang digunakan bagi menurunkan pengundi. Pihak polis sibuk mengarahkan lalu lintas di beberapa persimpangan tetapi keadaan masih belum pulih.

8.41am: Yong Teck Lee tiba kawasan pengundian pertama di SMK Agama Taman Mawar. Beliau, seperti pencabarnya Linda Tsen Thau Lin dan and Ansari Abdullah, bukan pemilih di kawasan tersebut.

8.15am: Di SMK Agama Sandakan di Taman Mawar - salah satu pusat pengundian terbesar - hanya beberapa orang sahaja yang turun mengundi. Ia merupakan kawasan majoriti Cina.

8.00am: Cuaca baik mengiringi pemilih bagi membuat keputusan di 12 pusat pembuangan undi DUN bawah parlimen Sandakan, Sabah.

Kesesakan jalan raya mula berlaku di depan pusat pengundian SMK agama di Taman Mawar apabila pemilih bula bergerak.

Bagi DUN ini, berlaku pertembungan tiga penjuru antara calob Linda Tsen Thau Lin (BN), Yong Teck Lee (SAPP) dan Ansari Abdullah (PKR)

Daripada 12 pusat pengundian, dua akan ditutup lebih awal - satu pada jam 3 petang dan satu lagi pada jam 4 petang - disebabkan jumlah pemilih yang kecil di kawasan tersebut. Semua peti undi lain ditutup pada jam 5 petang.

Sebelas sekolah dipilih sebagai tempat pengundian manakala sebuah lagi perpustakaan daerah digunakan.
Seramai 24,047 pemilih biasa dijangka mengundi hari ini setelah pengundian pos diadakan pada Selasa dan semalam.SPR dijangka mengumumkan keputusan pilihan raya kecil Batu Sapi pada jam 8 malam dengan penjumlahan undi dilakukan di Dewan Masyarakat Sandakan.

Batu Sapi mempunyai 25,582 pengundi, di mana 15,099 atau 59.02 peratus adalah Bumiputera Islam, 689 atau 2.69 peratus adalah Bumiputera bukan Islam, 9,737 atau 38.06 peratus ialah pengundi Cina dan 57 atau 0.22 pengundi kaum lain.

Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Edmund Chong Ket Wah dalam kemalangan jalan raya pada 9 Oktober lalu.

Ikuti kisah PRK dari mula dan seterusnya.
PRK DUN GALAS

No comments:

Post a Comment