KL, 14 Dis 10: Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mencadangkan Raja-raja Melayu agar perkenan mencari jalan penyelesaian terbaik sekiranya mengambil berat tentang nasib orang Melayu di negara ini.
Dalam kenyataan terbaru menyentuh polemik ungkapan Ketuanan Melayu, Mursyidul Am PAS berkata, Raja-raja Melayu yang memperlihatkan kebimbangan mengenai kedudukan orang Melayu sejak kebelakangan ini, perlu tampil mencari jalan penyelesaian menggunakan lunas al-Quran.
“Apabila terdapat beberapa orang Raja-raja Melayu yang menyuarakan kebimbangan berkenaan nasib orang Melayu, saya sarankan supaya marilah kita merujuk kepada al-Quran.
“Pada saya, Raja-raja Melayu berhak bimbang jika benar orang-orang Melayu terancam, tetapi marilah kita mencari penawar yang betul untuk penyakit yang berlaku,” kata beliau yang masih dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Dalam hal ini, kata Menteri Besar Kelantan, ungkapan Ketuanan Melayu merupakan ubat yang salah bahkan ia sebenarnya racun yang bisa.
“Justeru, bolehkah kiranya saya meletakkan harapan kepada pihak Raja-raja Melayu agar membawa rakyat kembali kepada Islam sebagai penyelesaian terhadap masalah yang berlaku? Yakinlah, dengan Islam, Melayu akan terbela,” katanya lagi.
Sejak bulan lalu, pendebatan isu konsep Ketuanan Melayu ini begitu hebat diperkatakan selepas Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam ucapan dasar Kongres Naional PKR meminta supaya “Ketuanan Melayu” ditinggalkan.
Malah Perkasa juga mengkritik dengan menyifatkan Dr Wan Azizah sebagai “pelacur politik” dan kacang melupakan kulit kerana meminta ungkapan “Ketuanan Melayu” diketepikan bagi memajukan orang Melayu.
Dalam kenyataan hari ini juga, Nik Aziz mendakwa Umno tidak mengutamakan kepentingan soal agama Islam tetapi mengagung-agungkan ungkapan Ketuanan Melayu yang dilihat tidak memberikan sebarang faedah kepada negara terutamanya orang Melayu.
Beliau berkata jika bercakap tentang ketuanan ia mesti kembali kepada Islam, bukannya Melayu yang selama ini menjadi modal perjuangan Umno.
“Ketuanan hendaklah kembali kepada Islam. Tidak dinafikan bahawa di negara ini majoriti umat Islam ialah berbangsa Melayu, ini sepatutnya menjadi satu kebanggaan bangsa Melayu sendiri yang sudah menerima Islam beratus-ratus tahun yang lampau.
“Bukankah Islam itu anugerah daripada Allah? Tidakkah hanya orang yang bertuah sahaja yang akan menerima anugerah daripada Allah s.w.t,” soal Nik Aziz.
Beliau juga melahirkan rasa kecewa apabila ada di kalangan orang Melayu di negara ini menolak Islam.
“Namun, dukacita sekali apabila ada orang Melayu sendiri yang menolak Islam, menolak Islam bererti menolak ketuanan Islam dan bila menolak Islam ertinya menolak anugerah Allah.
“Seolah-olah Islam ini bahan buangan yang tidak layak untuk diterima, demikianlah barangkali tanggapan mereka yang mengetepikan Islam sebagai perundangan hidup mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata slogan “Ketuanan Melayu” yang dilaungkan pemimpin Umno langsung tidak menggambarkan konsep Islam apabila bergelumang dengan pelbagai tuduhan rasuah dan pecah amanah.
“Hari ini, seruan Islam yang menjadi tonggak orang Melayu ini diganti dengan nasionalis. Dengan slogan Ketuanan Melayu, mereka beria-ia menjulang keris tumpul itu kononnya merekalah pendekar sejati mempertahankan hak Melayu.
“Apa yang peliknya, di samping menjulang ketuanan Melayu itulah, mereka telah terpalit dengan pelbagai tuduhan rasuah dan pecah amanah. Halalkah pelakuan rasuah ini di sisi mazhab ketuanan Melayu? Melaungkan Ketuanan Melayu dengan mengetepikan Islam hanya akan menjadikan bangsa Melayu lebih hina, bukannya lebih mulia,” katanya.
Oleh yang demikian, Nik Aziz mahu rakyat di negara ini berfikir secara matang sekiranya masih mahu Umno-Barisan Nasional (BN) memerintah negara.
“Bolehkah pimpinan sebegini menjadi tempat bergantung rakyat? Bukan sahaja orang bukan Melayu, bahkan orang Melayu sendiri akan disembelih dengan slogan seperti ini.
“Buktinya, di Kelantan yang majoritinya bangsa Melayu, dinafikan peruntukan pembangunan dan royalti minyak oleh ketuanan Melayu. Orang Melayu tidak terjaga, Islam pun terlepas dari genggaman.
“Hakikatnya, perjuangan ketuanan Melayu ini hanyalah perjuangan sia-sia. Demi menyedarkan rakyat tentang hakikat inilah, saya gagahi diri saya untuk terus berjuang memberikan kefahaman agar rakyat menerima Islam sebagai addin (din dan daulah),” katanya. (AK)
3 comments:
cadangan tok guru nik aziz ada kebenaranya, kerana orang melayu di negara ini tidak akan dapat disatukan di bawah UMNO atau PAS, majoriti umat melayu Islam di negara ini hanya akan dapat disatukan di bawah ISLAM. justeru, sebagai PENAUNG kepada kesucian agama islam, raja-raja melayu mestilah memainkan peranan dalam menyatukan melayu di bawah islam sekali gus ketuanan melayu dapat kembali diperkasakan. kekuatan ketuanan melayu hanya dapat dipertahankan sekiranya penyatuan umat melayu di bawah ISLAM itu dapat dikekalkan dan dijadikan landasan hidup. dengan kata lain, UTAMAKAN ISLAM BARULAH KETUANAN MELAYU DAPAT DIPERTAHANKAN.
setuju ngan pandangan Tok Guru. tapi saya pun takdelah bangkang sepenuhnya Ketuanan Melayu...
Ketuanan Melayu tu tak salah, yg salahnya UMNO yang gunakan benda tu untuk kepentingan politik depa...
jangan kerana marahkan UMNO, ketuanan Melayu dibakarnya. Negeri apa paling banyak tanah rezab Melayu? KELANTAN!!!! kalau dah menyampah sangat ngan ketuanan Melayu, aku cabar PAS Kelantan hapuskan sepenuhnya tanah rezab Melayu kat Kelantan. cukup la satu tu aku bagi cabaran. tengok berani ke tak.
pastu, rasa la bila Cina Penang or Selangor ramai2 duduk kat Kelantan. baru hangpa tau perangai sebenar depa nih..
ni tak, dok dalam kepompong kat Kelantan. pusing2 jumpa Melayu, ada la sikit jumpa Cina & Siam. tu pun serupa Melayu. Cuba jumpa Cina Singapore kalau nak paham perangai puak2 ultra-kiasu nih!
Kalau balik pada Islam, ketuanan melayu terjagalah. Kenapa pening sangat. Mana ada dalam hati orang melayu yang tidak mahu kepada ketuanan melayu. Tapi jangan lebih dari Islam. Sebabnya hanya Islam yang boleh jaga melayu tapi melayu tak boleh jaga Islam walaupun sampai kiamat.
Post a Comment