Saturday, December 18, 2010

Jadikan Islam Sebagai Asas PAKATAN -Nik Aziz


GEORGE TOWN, 18 Dis 10: Pakatan Rakyat yang sedang membuat persediaan untuk mengadakan konvensyen keduanya digesa meletakkan “keagamaan sebagai asas” dalam menguruskan kesepakatan politik perikatan itu, kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dalam perutusan sempena konvensyen perikatan tiga parti itu yang akan berlangsung di Kepala Batas, Pulau Pinang esok, Nik Aziz berkata, pendekatan itu juga bersesuaian dengan keutamaan ajaran Islam sebagai agama perpaduan.

“..., maka Konvensyen Pakatan Rakyat perlu meletakkan keagamaan sebagai asas dalam menguruskan kesepakatan politik,” kata beliau yang juga Menteri Besar Kelantan.

Pakatan Rakyat ditubuhkan April 2008 oleh DAP-PAS-PKR tetapi pemimpin veteran itu menerajui Kelantan sejak PAS menjatuhkan Barisan Nasional pada pilihan raya umum 1990.

Nik Aziz (gambar) yang dilihat sebagai "penasihat tertinggi" PAS dan dihormati kalangan semua pemimpin Pakatan Rakyat menambah, bersempena dengan Konvensyen Pakatan Rakyat kedua kali ini, semua pimpinan dan perwakilan hendaklah mengambil pedoman dari falsafah kesepakatan menurut Islam iaitu mengutamakan peri pentingnya menjaga “hubungan sesama anggota” dalam Pakatan Rakyat.

Justeru katanya, pimpinan dan perwakilan parti komponen Pakatan Rakyat yang menghadiri konvensyen esok perlu mengambil pedoman daripada maksud al-Quran yang sewajarnya dijadikan rujukan dan penghubung dalam penyelesaian permasalahan ummah.

“Justeru ajaran Islam dan asas-asas keagamaan dapat dijadikan rujukan utama dalam menguruskan kesepakatan hubungan antara parti-parti Pakatan Rakyat,” katanya.

Bagi PAS katanya, amat meyakini bahawa Allah telah menciptakan manusia dalam sifat yang berbeza-beza. Misalnya, sepuluh manusia yang diciptakan Allah, didapati sepuluh kepala (pemikiran) yang bebeza.

“Bagaimanapun, perbezaan itu tidak akan memberi masalah sekiranya ia berpandukan ajaran Islam dan menjadikan al-Quran sebagai panduan, kerana Islam itu untuk semua kaum,” katanya.

“Sewajarnya juga kita mengambil pengajaran dari sabda Nabi Muhammad s.a.w. Maksudnya, ‘janganlah saling benci-membenci, saling iri hati dan saling membuat keracunan.

“Jadilah hamba-hamba Allah yang saling bersaudara, dan tidak boleh seorang Muslim menghindari saudaranya lebih dari tiga hari,” kata Nik Aziz.

Oleh itu menurut Nik Aziz, atas nama kesepakatan politik yang berpandukan hubungan antara parti dalam Pakatan Rakyat yang mengutamakan asas-asas keagamaan hendaklah bersetuju dan bekerjasama di dalam setiap perkara yang memberi manfaat bersama untuk ummah di Malaysia hari ini.

“Sehubungan itu, saya yakin manusia akan selamat sepanjang hidup mereka di dunia dan sejahtera di akhirat kelak sekiranya mengikut kehendak Islam yang syumul,” kata beliau.

Pakatan Rakyat dibentuk beberapa minggu selepas pilihan raya umum 2008 dan ia mengadakan konvensyen sulung 19 Disember 2009 di Shah Alam. Berikut kenyataan rasmi beliau..

KENYATAAN RASMI TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT

Harapan Konvensyen PR ke-2: Islam sebagai asas

Bersempena dengan Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-2 pada 19 di Kepala Batas, Pulau Pinang ini, semua pimpinan dan perwakilan hendaklah mengambil pedoman dari falsafah kesepakatan menurut Islam, iaitu mengutamakan peri pentingnya menjaga hubungan sesama anggota di dalam Pakatan Rakyat.

Ia juga bersesuaian dengan keutamaan ajaran Islam sebagai agama perpaduan, maka Konvensyen Pakatan Rakyat perlu meletakkan keagamaan sebagai asas dalam menguruskan kesepakatan politik.

Pimpinan dan perwakilan parti-parti Pakatan Rakyat––PAS, KEADILan dan DAP––yang menghadiri konvensyen itu nanti perlulah mengambil pedoman daripada maksud al-Quran yang sewajarnya dijadikan rujukan dan penghubung di dalam penyelesaian permasalahan ummah. Justeru ajaran Islam dan asas-asas keagamaan dapat dijadikan rujukan utama dalam menguruskan kesepakatan hubungan antara parti-parti Pakatan Rakyat.

Bagi PAS, amat meyakini bahawa Allah telah menciptakan manusia dalam sifat yang berbeza-beza. Misalnya, sepuluh manusia yang diciptakan Allah, didapati sepuluh kepala (pemikiran) yang bebeza. Bagaimanapun, perbezaan itu tidak akan memberi masalah sekiranya ia berpandukan ajaran Islam dan menjadikan al-Quran sebagai panduan, kerana Islam itu untuk semua kaum. Firman Allah SWT (surah Ali-Imran ayat 103):

Bermaksud: “...dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara...”

Sewajarnya juga kita mengambil pengajaran dari sabda Nabi Muhammad SAW:

Maksudnya: “Janganlah saling benci membenci, saling iri hati dan saling membuat keracunan. Jadilah hamba-hamba Allah yang saling bersaudara, dan tidak boleh seorang Muslim menghindari saudaranya lebih dari tiga hari.”

Demikian lagi, firman Allah SWT (surah al-Maidah ayat 48):

Maksudnya: “Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing) dan kalau Allah menghendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya”

Oleh itu, atas nama kesepakatan politik yang berpandukan hubungan antara parti di dalam Pakatan Rakyat yang mengutamakan asas-asas keagamaan hendaklah bersetuju dan bekerjasama di dalam setiap perkara yang memberi manfaat bersama untuk ummah di Malaysia hari ini. Sehubungan itu, saya yakin manusia akan selamat sepanjang hidup mereka di dunia dan sejahtera di akhirat kelak sekiranya mengikut kehendak Islam yang syumul.

Selamat berkonvensyen, semoga berjalanlah ia dengan keberkatan Allah SWT.

TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT,
Al-Mursyidul Am PAS.
Kota Baharu, Kelantan.
12 Muharam 1432H/18 Disember 2010M.

1 comment:

usop said...

Ya salam Selamat jaya PR dan terus kukuh dalam ikatan persaudaraan semoga dapat menubuhkan sebuah kerajaan yang berlandaskan islam.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails