Thursday, December 02, 2010

Kit Siang Boleh Jadi TPM. Siapa Pengkhianat? -Nik Aziz


KL 2 NOV 10: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan rakyat di negara ini, khususnya orang Melayu supaya tidak melupakan sejarah tanah air dan mengenali siapa pengkhianat bangsa dan agama sebenarnya.

“Hari ini, isu perlantikan timbalan perdana menteri ini diolah sekali lagi oleh media milik Umno dengan begitu hebat. Lalu dijemputlah segala pemimpin-pemimpin Umno segenap lapisan untuk memberikan ulasan.

“Seolah-olah Umno satu-satunya parti yang mempertahankan Melayu, seolah-olah bangsa Melayu ini hanya akan berdaulat melalui keris tumpul Umno dan seolah-olah rebah Umno bererti rebahlah Melayu. Hanyir dan busuk sekali dakwaan-dakwaan sampah yang disebar luas ke dalam minda masyarakat pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Umno serah kerusi Ketua Menteri

Nik Aziz mengulas laporan media yang membidas kenyataan ketua pembangkang bahawa jawatan timbalan perdana menteri diserahkan kepada bukan Melayu jika Pakatan Rakyat berkuasa pada pilihan raya umum ke-13 menjejaskan konsep ketuanan Melayu di negara ini.

“Lupakah kita bahawa Umno pernah menyerahkan kerusi ketua menteri Pulau Pinang kepada Gerakan sekalipun Umno yang mempunyai majoriti di Dewan Undangan Negeri? Di waktu itu, ke mana perginya ketuanan Melayu? Tersorok di dalam songkok tinggi Umno? Ketika itu, ke mana perginya professor-profesor bertaraf cendikiawan yang sibuk mengulas isu ketuanan Melayu pada hari ini?

“Peliknya apabila Tun Dr Mahathir (Mohammed) sendiri menggesa supaya dilupakan asal usul keturunan demi menjayakan 1Malaysia, tidak pula didesak untuk diusir keluar negara? Bukankah melupakan asal usul keturunan ertinya melupakan Ketuanan Melayu?” soalnya.

Menurut Menteri Besar Kelantan itu, isu perlantikan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang selaku timbalan perdana menteri sebenarnya dimanipulasikan oleh media milik Umno untuk kepentingan politik mereka.

“Sukalah untuk saya menyatakan bahawa Pakatan Rakyat tidak pernah membuat apa-apa keputusan dan tidak pernah mengadakan apa-apa perbincangan tentang hal ini.

Salah lapor budaya media Umno

“Syak saya teramat kuat bahawa permainan media telah digunakan dengan amat dahsyat di dalam memanipulasi kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apa yang peliknya dengan budaya media milik Umno?” soalnya.

Nik Aziz berkata salah lapor dan salah dengar adalah satu budaya di kalangan petugas media milik Umno.

“'Islam plastik' yang pernah saya tuturkan satu ketika dahulu pun pernah dilaporkan sebagai 'Islam Palestin'. Menurut mursyidul am PAS itu lagi, pendiriannya dari dahulu hingga sekarang tidak pernah berubah bahawa bangsa tidak mempunyai sebarang nilai di dalam Islam.

“Melayu, Cina atau India tidak pernah mempunyai sebarang nilai tambah di sisi Allah SWT melainkan dengan taqwa. Seorang yang berbangsa Cina tetapi bertaqwa kepada Allah SWT jauh lebih mulia dari seorang yang berbangsa Melayu tetapi hidup dengan rasuah, menindas, mengkhianat dan sebagainya.

Songkok tiga jengkal

“Sekalipun songkok setinggi tiga jengkal di kepala, tanpa taqwa kepada Allah SWT, ia tidak mempunyai sebarang nilai,” katanya.

Menurut Nik Aziz yang penting ialah dasar dan jika dasar Islam, sesiapapun boleh menjadi pemimpin. “Di Kelantan saya pernah mengeluarkan kenyataan berkali-kali bahawa menteri besar Kelantan boleh terdiri daripada seorang yang berbangsa Cina dengan syarat merupakan seorang muslim yang soleh.

“YB Lim Kit Siang atau sesiapapun boleh menjadi Timbalan Perdana Menteri bahkan Perdana Menteri sekalipun tidak mempunyai apa-apa halangan, syaratnya merupakan seorang Muslim yang soleh. Seorang Muslim yang soleh sekalipun bukan Melayu jauh lebih bermanfaat untuk negara ini dari seorang Melayu yang korup!” katanya mengakhir kenyataan akhbar berkenaan.
(Malaysiakini/AK)

2 comments:

Anonymous said...

Asalamualaikum,
Persatuan Sejarah Kedah telah mengusulkan cadangan agar Pulau Pinang diserahkan kembali kepada Kedah kerana tidak guna isu ufti dibangkitkan dan dinaikkan kerana secara sejarah, Pulau Pinan dipajak kepada Inggeris dan terpakai sehingga Malaya mencapai kemerdekaan sahaja.
Bagaimana pula dengan Perlis?
Apa pandangan Ibnu Hasyim yang mempunya pertalian erat dengan negeri2 ini?

Ibnu Hasyim said...

Rinkasnya, tidak perlu tuntut P.Pg atau mana-mana negeri di M'sia. Yang penting turunkan pemimpin yang menghalang wujudnya negara Islam yang adil bagi semua kaum, agama dan daerah.

Naikkan pemimpin yang menjirus ke arah itu, tidak kira juga tidak kira enegeri, kaum dan agama. Itu yang perlu diperjuangkan.

Kan dalam perjanjian Kedah-P.Pg dulu, ada disebut 'selagi ada matahari dan bulan'. Simboliknya, bulan (Islam) mesti di atas..

Ibnu Hasyim.. Jakarta.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails