Wanita ambil masa tiga minit pilih kekasih
LONDON: Satu kajian di Britain mendapati wanita cuma mengambil masa tiga minit untuk membuat keputusan sama ada seorang lelaki itu sesuai untuk mereka, lapor sebuah akhbar semalam. Kajian tersebut yang melibatkan 3,000 orang dewasa dilakukan sempena pelancaran buku terbaru, Instinct yang dihasilkan oleh penulis Britain, Ben Kay.
Menurut kajian itu, seseorang wanita memerhatikan wajah, bentuk tubuh dan gaya berpakaian selain bau dan loghat apabila memilih bakal teman lelaki. Kajian sama menunjukkan golongan wanita jarang mengubah keputusan mereka selepas membuat penilaian awal selama tiga minit itu.
"Kajian ini mengejutkan kerana wanita membuat keputusan mengenai lelaki dengan begitu cepat," kata Kay.
Para penyelidik mendapati wanita tidak akan memilih seorang lelaki yang dianggap mereka terlalu angkuh dan terdesak untuk mendapatkan teman wanita. Golongan wanita juga didapati enggan menerima seorang lelaki yang dilihat tidak mesra dengan orang ramai, tidak kelihatan berduit dan tidak mempunyai persamaan dengan mereka.
Kajian tersebut membuat penemuan bahawa ramai wanita mempercayai rasa hati mereka. Sebanyak 88 peratus wanita percaya pada rasa hati mereka berhubung penilaian terhadap lelaki. Lelaki dan wanita menyatakan bahawa mereka bergantung pada rasa hati masing-masing semasa membuat keputusan mengenai teman hidup. - Agensi
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Begitu cara wanita-wanita barat yang bukan Islam mencari kekasih, pasangan lelaki atau jodoh dalam kehidupan. Begitu singkatnya masa dan pemikiran yang mereka ambil. Tidak matang, seolah-olah ianya tidak penting dalam kehidupan, membuat sistem kekeluargaan mereka tidak teratur dan porak peranda.
Bagaimana sepatutnya dalam mencari jodoh atau kriteria lelaki yang ideal?
“Dikahwini wanita itu (untuk dijadikan isteri) kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya,
keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka utamakanlah (dalam pemilihanmu itu) wanita yang kuat beragama, nescaya sejahtera hidupmu” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Itulah secara umumnya, ciri-ciri wanita yang biasanya menarik perhatian lelaki untuk dijadikan calon isteri. Wanita yang kaya, berharta, berdarjat tinggi dan cantik jelita adalah pakej lengkap yang meruntun hati kaum lelaki untuk menyuntingnya. Namun yang lebih penting hadith di atas menyarankan kepada kaum lelaki agar memilih bakal isteri yang memiliki ciri “kuat penghayatan agamanya”. Wanita yang melaksanakan segala ajaran agama akan memberikan pengaruh serta kesan yang besar terhadap kebahagiaan hidup berumahtangga.
Bagaimana pula ciri-ciri lelaki yang baik untuk dijadikan suami? Hadith di atas ini juga memberi panduan wanita dalam memilih bakal suami mereka. Memilih jodoh bukanlah perkara yang boleh dipandang mudah. Ia tidak boleh dilakukan dengan terburu-buru atau tanpa
penilitian yang mendalam. Disebabkan perkahwinan melibatkan soal kehidupan, zuriat, hak, tanggungjawab dan kasih sayang yang bakal dijalani bersama.
Wanita perlu menyelidik terlebih dahulu latar belakang bakal suaminya dari segi akhlak serta penghayatan agamanya. Kerana wanitalah yang paling teruk menerima kesan buruk apabila suami mengabaikan hak isteri, tidak mempergauli isteri dengan baik, curang, tidak melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga dan sebagainya. Ibu bapa disuruh kongsi bersama melalui pengalaman lalunya, memberikan panduan yang baik kepada anak-anak perempuan mereka melalui usaha mencari bakal suami dari kalangan lelaki berakhlak mulia dan taat pada agama.
Rasulullah SAW bersabda, “Jika seorang lelaki datang meminang anak perempuanmu dan kamu redha (berpuas hati) tentang agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia (dengan anak perempuan kamu). Jika hal itu tidak kamu lakukan, akan berlakulah fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar”.
Sesungguhnya sifat-sifat inilah (baik akhlak dan agama) yang mesti dijadikan kriteria utama di dalam memilih bakal suami sebelum dilihat atau dipilih pada sudut harta, pangkat dan kedudukan lelaki tersebut. Lelaki yang sederhana kehidupannnya tetapi berakhlak mulia serta taat melaksanakan segala perintah Allah SWT dan rasul-Nya itulah sebenarnya seorang yang kaya. Sebaliknya lelaki fasik (ingkar kepada suruhan Allah SWT ) walaupun hidup kaya
raya, hakikatnya ia adalah miskin.
Mengapa demikian? Kerana kefasikan hidup akan melesapkan harta kekayaan melalui aktiviti perujudian, minuman keras, berkunjung ke tempattempat maksiat, berfoya-foya dan sebagainya. Hak-hak isteri dengan sendirinya hilang dan terabai. Isteri hidup dalam tekanan perasaan kerana tanggungjawab terhadap keluarga dan anak-anak dilupakan. Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis di atas sebagai “fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar”.
Suami yang hidup dalam kefasikan bermakna mengundang murka Allah SWT. Jika Allah SWT sudah murka, bagaimanakah rahmat dan keberkatan hidup berumahtangga akan dapat dinikmati? Diriwayatkan dalam sebuah kisah, seorang lelaki datang menemui Hasan bin Ali RA (cucu Rasulullah SAW) untuk meminta nasihat.
“Anak perempuanku dipinang oleh beberapa orang lelaki. Dengan lelaki yang bagaimanakah yang layak dikahwinkan dengan puteriku?” Katanya,
Hasan menjawab, “Kahwinkanlah dia dengan lelaki yang bertakwa kepada Allah, kerana jika ia
menyukai isterinya ia pasti mengasihinya, tetapi jika ia tidak menyukai isterinya pasti ia tidak akan berlaku zalim terhadapnya (tetap menghormati isterinya)”.
Prof. Dr. Miqdad Yaljan dalam bukunya bertajuk “al-Bayt al-Islami Kama Yanbaghi An Yakun” menulis: Soal perkahwinan adalah persoalan hidup keseluruhannya. Lebih-lebih lagi kaum wanita dalam membuat penelitian terhadap bakal suami. Ini kerana kuasa talak terletak di tangan suami mereka.
Menurut beliau lagi, sekiranya perceraian berlaku, ia akan lebih mendatangkan kemudaratan kepada wanita berbanding lelaki sama ada dari sudut sosial, psikologi dan ekonomi. Tambahan lagi pandangan negatif sesetengah masyarakat kepada wanita bergelar janda menambahkan lagi
tekanan perasaan mereka. Malah perasaan malu akibat perceraian lebih dirasai oleh golongan wanita berbanding lelaki. Rasulullah SAW juga amat benci kepada mana-mana bapa (atau wali)
yang mengahwinkan anak perempuan mereka dengan lelaki yang fasik.
Baginda mengingatkan dalam sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang menikahkan anak perempuannya dengan lelaki fasiq bererti ia telah memutuskan hubungan silaturrahim dengan anaknya sendiri”.
Lihatlah tegasnya Rasulullah SAW dalam menggesa ibu bapa mengahwinkan anak perempuan mereka dengan lelaki yang beriman dan menjauhi dari mengahwinkannya dengan lelaki yang fasik. Apakah fitnah atau malapetaka yang lebih besar selain dari menikahkan anak-anak yang berjiwa bersih, berperibadi mulia dan taat menjalankan suruhan agama dengan lelaki yang tidak menghiraukan perintah Allah SWT dan bergelumang pula dengan maksiat?
Berlaku juga, ramai anak-anak perempuan, ketika berada di bawah naungan keluarganya tidak pernah melakukan maksiat, tetapi bila berkahwin dengan lelaki fasik, mereka terus hanyut dalam arus maksiat yang diterajui oleh suami mereka sendiri. Gadis berperibadi mulia, akhirnya terseret jauh oleh kesesatan suaminya. Memakai pakaian yang mendedahkan aurat, tinggalkan solat atau ibadah lainnya. Maka rugilah dia.
Jadi, amat wajarlah Rasulullah SAW menghukum mana-mana bapa atau wali yang mengahwinkan anak perempuan mereka dengan lelaki fasik, seolah-olah dia memutuskan hubungan silatur rahim dengan anak perempuannya sendiri. Perkahwinan bukanlah kontrak perniagaan yang berorientasikan keuntungan material semata-mata. Tetapi merupakan “ikatan sosial”, merangkumi pelbagai aspek kemanusiaan seperti pertalian jiwa, kasihsayang, ketenangan hati, tuntutan biologi, nasab keturunan, hak, tanggungjawab, toleransi dan sebagainya.
Mari kita renung lagi dan hayati firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki mahupun perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dengan limpah kurniaan-Nya, kerana Allah Maha Luas rahmat-Nya lagi Maha Mengetahui”. (an-Nur: 32).
Sekian, Allah Maha Mengetahui..
Lihat sebelum ini..
No comments:
Post a Comment