Saturday, December 04, 2010

Melayu Hanya Hamba...


Dr Mohd Zuhdi Marzuk

Dis 4, 10: Kehambaan Melayu dan ketuanan Allah

SEHARI dua ini sibuk dibicarakan perihal Ketuanan Melayu ekoran kenyataan Datuk Seri Dr Wan Azizah tentang hasrat PKR menghapuskan ketuanan tersebut. Isu ini sangat berkait rapat dengan permasalahan perkauman yang masih belum selesai bahkan menjadi nadi bagi parti politik perkauman seperti Umno.

Prinsip ajaran Islam begitu jelas, bahawa seluruh manusia ini adalah hamba Allah yang diberi amanah untuk memikul tugas Khalifah di atas muka bumi. Berdasarkan prinsip tersebut para pencinta Islam berebut-rebut untuk menjadi hamba Allah bukannya berlagak tuan kepada mana-mana makhluk di dalam alam semesta ini.

Dalam surah al-Isra', Allah memanggil makhluk yang paling dikasihinya Nabi Muhammad SAW dengan gelaran hambaNya. Demikian juga, ketika Tawus al-Yamani menghadap Hisham bin Abdul Malik beliau hanya memanggil nama "Ya! Hisham", bukannya dengan gelarannya sebagai pemerintah agung atau ketua kerajaan.

Hisham yang begitu marah lalu bertanya kepada Tawus, mengapa beliau tidak memanggilnya dengan gelaran itu? Lalu Tawus menyatakan bahawa Allah memanggil mereka yang dikasihinya seperti yang termaktub dalam al-Quran dengan nama masing-masing seperti Dawud a.s. dan Isa a.s, malah menyebut dengan gelaran hamba seperti dalam surah al-Isra' tersebut.

Berebut-rebut menjadi hamba

Sebaliknya Dia memanggil golongan yang dimurkainya dengan gelaran. Dengan sebab itu, seharusnya kita berebut-rebut menjadi hamba kepada Allah. Namun demikian manusia sangat gemar meninggi-niggikan kedudukan mereka menjadi tuan kepada yang lain. Semasa zaman feudal sama ada di Eropah dan sebahagian dunia yang lain, kuasa mutlak terletak kepada seseorang individu, manakala jiwa memperhambakan diri seharusnya ada pada setiap rakyat.

Lalu tercetusnya Revolusi Perancis yang membebaskan jiwa manusia di Eropah dari kehambaan, yang melihat semua manusia adalah mempunyai hak dan suara yang sama. Malangnya manusia yang telah bebas dari jiwa kehambaan ini kemudiannya memperhambakan manusia di bahagian dunia yang lain atas nama 'tanggungjawab manusia berkulit putih'. Kemudian mereka memperhambakan manusia bukan berkulit putih. Berikutan itu, manusia bukan berkulit putih berjuang pula untuk menuntut hak dan suara mereka sebagai seorang menusia.

Antara kejayaan golongan ini yang terakhir, ialah di Afrika Selatan dengan menghapuskan Dasar Apartheid. Dalam dasar ini mereka yang bukan berkulit putih dianggap lebih rendah dan mendapat layanan kelas kedua dalam negara. Dasar ini telah berjaya dihapuskan pada tahun 1994 melalui perjuangan yang begitu lama diketuai oleh Nelson Mandela. Semua pihak mengutuk dasar Apartheid ini termasuklah mereka yang bergantung kepada politik rasisme seperti Umno, seolah-olah mereka tidak menyedari mereka memperlakukan perkara yang hampir sama semasa di tampuk kuasa.

Setelah masyarakat global menyedari sepatutnya tiada segolongan kecil manusia yang menjadi tuan lalu memperhambakan segolongan besar manusia yang lain, tiba-tiba masyarakat manusia yang sedar ini pula bertindak mencabuli hak-hak makhluk Allah yang lain. Masyarakat manusia telah menjadikan haiwan sebagai bahan-bahan mentah atas nama kemajuan sektor penternakan. Haiwan-haiwan yang diternak ini dinafikan hak mereka untuk bervariasi (kepelbagaian) melalui teknik-teknik reproduksi moden yang melahirkan haiwan yang mempunyai hanya ciri-ciri yang dikehendaki.

Animal Right

Haiwan-haiwan ini juga dinafikan daripada tabiat semulajadi mereka seperti bersosial dan mendiami habitat yang sesuai. Hak dan suara haiwan-haiwan ini kemudiannya diperjuangkan oleh sekumpulan manusia yang menggelarkan kumpulan mereka dengan Animal Right. Kemudian datang pula sekumpulan manusia yang menyatakan bahawa perjuangan kumpulan Animal Right ini sempit kerana hanya memperjuangkan hak dan suara komponen-komponen alam yang hidup (living being), sedangkan melupai hak dan suara komponen-komponen alam yang tidak hidup.

Mereka ini berinspirasikan Aldo Leopold yang telah menulis pandangannya dalam "The Land Ethics". Menurut Leopold, semasa zaman Greek silam, Oddeyseus menganggap hamba itu bukan manusia sebaliknya harta, sedangkan hari ini masyarakat manusia telah memberi hak manusia kepada sesiapa yang berbiologikan manusia. Lalu Leopold menyatakan, kita seharusnya memanjang perkara yang sama kepada seluruh komponen alam yang hidup atau bukan hidup, yang sebelum ini manusia menganggapnya juga sebagai harta.

Demikianlah manusia, dengan naluri kemanusiaannya menuntut hak dan suara masing-masing. Bagi menusia yang sempit kemanusiaannya dan tinggi kepentingan dirinya, menuntut hak dan suara itu bagi sekumpulan yang sempit seperti pejuang Ketuanan Melayu. Bagi menusia yang luas kemanusiaanya dan tinggi toleransinya, menuntut hak dan suara untuk sekumpulan yang lebih besar malah merangkumi hak dan suara bagi komponen bukan manusia seperti pejuang Animal Right dan Deep Ecology.

Bagi manusia yang sederhana kemanusiaannya dan di peringkat pertengahan kepentingan diri dan toleransinya, menuntut hak itu bagi sekumpulan yang sederhana seperti pejuang hak asasi manusia. Masing-masing mentakrifkan hak dan suara itu mengikut takrifan masing-masing. Golongan feudal mentakrifkan hak dan suara itu mengikut takrifan feudalisme mereka. Golongan kulit putih mentakrifkan hak dan suara itu mengikut rasisme mereka.

Golongan pejuang hak asasi manusia mentakrifkan hak dan suara itu mengikut takrifan humanisme mereka. Golongan Individualisme mentakrifkan hak dan suara itu mengikut takrifan Libertarianisme mereka. Golongan Animal Right dan Deep Ecology mentakrifkan hak dan suara itu mengikut takrifan environmentalism mereka.

Kita semuannya hamba

Mereka semua lupa bahawa Tuhan bukan mereka yang menciptakan alam semesta ini. Mereka tidak berhak menentukan hak siapa yang mesti lebih dan hak siapa yang mesti kurang, atau suara siapa yang didahulukan dan suara siapa yang dikemudiankan. Bukankah yang berhak menentukan hak siapa yang lebih dan suara siapa yang didahulukan adalah Tuhan yang Maha Adil. Tuhan yang Maha Adil itulah menentukan siapa yang berhak dan siapa yang tidak berhak, atau siapa yang didahulukan suaranya dan siapa yang dikemudiankan suaranya.

Tuhan yang Maha Adil itu bebas dari pergantungan kepada makhluknya, justeru ketentuannya adalah semata-mata atas sifatNya yang Maha Adil. Allah yang Maha Adil itulah Tuan seluruh makhluk, manakala kita ini semuanya adalah hamba. Bagi mengetahui siapakah yang berhak dan suara siapakan yang didahulukan, maka Tuhan yang Maha Adil itu menurunkan wahyuNya dan mengutuskan pesuruhNya.

Melalui wahyu dan pesuruhNya itu kita mengetahui adakalanya pemimpin lebih berhak, adakalanya rakyat lebih berhak, adakalanya satu kaum lebih berhak, adakalanya manusia lebih berhak, adakalanya haiwan lebih berhak dan adakalanya komponen alam yang tidak hidup lebih berhak. Melalui wahyu dan pesuruhNya juga kita mengetahui adakalanya suara pemerintah didahulukan, adakala suara rakyat didahulukan, adakalanya suara sesuatu kaum didahulukan, adakalanya suara manusia didahulukan, adakalanya suara haiwan didahulukan dan adakalanya suara komponen alam yang tidak hidup didahulukan.

Semua perkara tentang yang berhak dan tidak berhak, atau yang mempunyai suara dan tidak mempunyai suara ini termaktub secara terang dan panjang dalam ajaran Islam. Pada pandangan saya inilah konsep sebenar Ketuanan Islam iaitu ketuanan Allah secara mutlak ke atas hamba-hambaNya. (diangkat dari Malaysiakini.com)

1 comment:

  1. jadilah hamba kepada tuan segala tuan - Allah swt, jika tidak automatik menjadi hamba kepada tuan yang paling jelek - Nafsu manusia yang bergelora

    ReplyDelete