Saturday, December 25, 2010

Misteri H/P Ku Yang Hilang..

CATATAN PERJALANAN: INDO 10 SURABAYA-MEDAN
SMS yang meminta mangsa menambah nilai prabayar


HARI ini aku berada di Malaysia. Aku terbaca berita Kosmo! Online bertajuk 'SMS tipu minta tambah prabayar'...

KL- "Tolong belikan ayah 'top up' (tambah nilai) RM50. Ini nombor baru ayah 017*******, ayah ada masalah di balai polis. Tak payah dulu telefon, nanti ayah telefon, cepat sikit."

Demikian taktik terbaru sindiket penipuan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang giat menipu mangsa.
Seorang penerima SMS tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Zirman, 30, memberitahu, dia terkejut selepas membaca SMS yang menunjukkan seolah-olah bapanya berada dalam kecemasan.
"Mula-mula baca SMS tersebut, saya panik kerana bimbang sesuatu berlaku pada ayah. Saya pun terus ke kedai dan membuat tambah nilai pada nombor diberikan.
"Namun, selepas membuat tambah nilai ayah saya masih tidak telefon seperti dijanjikan," katanya.
Menyedari sesuatu yang pelik, dia akhirnya menghubungi nombor yang diberikan dalam SMS tersebut namun, tidak ada jawapan.
"Saya hubungi pula nombor asal ayah saya, bila saya tanya apa yang berlaku di balai polis tadi, ayah kata tiada apa-apa yang berlaku," katanya.
Begitu kira-kira beritanya..
Hal ini mengingatkan aku mengenai perjalananku dari Surabaya ke Medan, kira-kira hujung bulan lepas. Empat hari, empat malam, melalui bas. Perjalanan melintasi kebun-kebun, ladang, sawah padi, tepi laut, melalui kampung-kampung dan kota. Sesuatu yang menarik.
Gambar-gambar sepanjang perjalalnan


Rupanya ditakdirkan pada suatu malam bas yang ku tumpangi itu rosak. Dari tengah malam sampai ke subuh. Hingga solat subuh di tepi jalan. Buang air di semak-semak. Ada dua kemalangan kecil menimpaku. Satu, telefon bimbit (hp) ku terjatuh dan hilang. Dua aku tertinggal bas. Betapa terduganya aku, apabila tiada telefon, hubunganku terputus beberapa hari dengan kenalan, kawan-kawan dan keluarga.
Belum sampai ke Medan, aku turun di Simpang Kawat singgah di Tanjung Balai. Aku beli telefon baru, hantar e-mail kepada Blog kenalanku 'Warta Shubhi', dialah yang menguruskan, hingga hubunganku menjadi seperti biasa semula. Aku pergi ke Medan dengan menaiki keretapi. Sampai di Medan telefon bimbitku hilang lagi. Aku beli telefon terpakai, kadang-kadang penggunaannya agak terganggu, maklum barang yang pernah rosak.
Al-hamdulillah, semuanya selamat, apa salahnya terduga sedikit puluhan tahun aku guna hp, baru kali ini bermasalah sekali. Kalau ada kawan-kawan yang hilang hubungan denganku, sila dapatkan kembali nombor telefon baru aku.

Gambar di atas: Melihat dari dalam bas.
Di bawah: Gelagat dalam keretapi dari Tanjung Balai Ke Medan..




Demikian gelagat dalam keretapi. Mereka mengutip derma sambil menghibur. Kebanyakannya anak-anak muda. Ada yang menjual makanan, menjunjung, berkilik dan segala macam. Meriah..
Setelah dapat berhubung dengan kawan-kawan seperti biasa, tiba-tiba pembantu Weblog Ibnu Hasyim, saudara Asyok Kumar memberi tahuku melalui telefon, katanya..
"Bang! Setelah aku tak dapat hubungi beberapa hari kerana telefon abang hilang, tiba-tiba aku dapat SMS mengatakan, 'Tolong belikan Pakcik 'top up' (tambah nilai) RM30. Ini nombor baru Pakcik 019*******, Pakcik ada masalah di balai polis. Tak payah dulu telefon, nanti Pakcik telefon, cepat sikit!'
Aku cemas. apa jadi dengan abang... nak tahu segera. Aku telefon mengesahkan. Orang itu mengakui. Aku masukkan 'to up' RM30. Aku telefon balik mengesahkan.. Tapi sudah tak berjawab lagi."
Itu penipuan melalui hp. Apakah penipuan itu tidak mampu dihapuskan oleh pihak berwajib? Atau pihak berkepentingan mengenai bisnes itu yang melaksanakan? Itulah antara kisah misteri hp ku yang hilang untuk catatan perjalanan kali ini.
Wallahu aklam.

Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan
alamat e-mail: ibnuhasyim@gmail.com
24 Dis, 2010

Tanjung Balai Asahan.


Siri catatan perjalanan ini...

No comments:

Post a Comment