HARAKAH 14 DIS 10: Wacana Islam liberal yang mengetengahkan pluralisme dan pelbagai lagi kebenaran yang direlatifkan menghujani umat Muslim setiap hari pada masa kini. Faham-faham yang tercetus daripada pemikir seperti Fritjof Schoun, John Hick, Wilfred Cantwell Smith ini kemudian diperpanjangkan oleh penggiat-penggiat Islam liberal di seluruh dunia Islam.
Kehadiran faham-faham ini, yang menolak segala ketetapan yang telah disampaikan melalui al-Quran dan Sunnah Rasullullah saw menggugat kehidupan beragama umat Muslim termasuk di negara kita. Dalam pandangan liberal yang dibawa itu, kebenaran menjadi berbilang dan tidak mutlak, dalil-dalil al-Quran menjadi boleh dibahaskan dan pelbagai perkara dipersetujui dalam pelaksanaan syariat dipersoalkan.
Hal ini menggoncang pemahaman-pemahaman yang sudah sedia diterima melalui ilmu para ulama dan ilmuan agama dalam kalangan umat. Lebih parah lagi, ide-ide yang dibawa dalam pakej yang menarik bagi sesetengah pihak termasuk daripada kalangan Muslim sendiri, yang memilih untuk menerima tafsiran-tafsiran baharu itu.
Usaha berterusan golongan liberal ini mempersoal dan meruntuhkan ketetapan-ketetapan sedia ada bukanlah dilakukan dengan niat yang baik melainkan untuk menggugat pemahaman umat Muslim, lebih-lebih lagi yang mudah dipengaruhi. Bentuk wacana yang kelihatan tertumpu pada mencari kebenaran dengan membuat penilaian yang kritikal pada semua perkara sememangnya menarik kepada kalangan akademik dan mereka yang berfikir.
Ini mendedahkan golongan ini kepada wacana liberal ini yang menggunakan pelbagai pendekatan untuk menarik pelbagai golongan mendekati dan kemudian menerima faham-faham baharu itu. Kebijakan mengemukakan wacana dalam pelbagai bentuk itu menjadi satu kekuatan golongan liberal, dengan mengemukakan pelbagai tarikan untuk sasaran berbeza.
Di sinilah satu kelemahan umat yang perlu kita sedari, yakni kurang mengambil bahagian dalam medan-medan aktiviti masyarakat seperti seni budaya dan sebagainya dengan membawa mesej-mesej yang bersifat Islami. Walaupun boleh tewas dalam perbincangan akademik tentang pluralisme agama yang menetapkan kebenaran relatif yang tidak dapat diterima akal, mesej mereka tetap sampai kepada semua termasuk umat Muslim sendiri.
Dalam dunia akademik kita, tidak ada dakwaan-dakwaan atau persoalan-persoalan daripda golongan Islam liberal yang tidak dapat dijawab oleh ulama dan ilmuan Muslim. Jelas bahawa sikap selektif, memperbesarkan isu-isu palsu dan tidak jujur golongan yang menjunjung ide pluralime agama.
Tetapi, medan akademik bukan satu-satunya medan wacana, malah tidak memberi banyak kesan kepada usaha mereka menyebarkan faham pluralisme. Dalam semua medan aktiviti masyarakat, faham seperti pluralisme agama dibawa dan dipersembahkan, sama ada secara halus atau telanjang kepada semua.
Satu contoh jelas yang dapat kita lihat ialah sebuah iklan di televisyen tidak lama dulu yang mencampurkan unsur-unsur dari beberapa agama dan dipersembahkan sebagai satu sambutan agama Islam, yakni Hari Raya Aidilfitri. Dalam televisyen, rancangan kanak-kanak, filem dan sebagainya, mesej-mesej memberi gambaran positif pluralisme agama sentiasa disampaikan.
Pada masa sama, golongan ini juga mampu dan melaksanakan misi mereka dengan pelbagai bentuk tulisan kepada media, terutama yang mesra dengan mereka. Kecenderungan manusia untuk menerima apa-apa perkara yang baik diambil kesempatan oleh golongan ini untuk mendedahkan faham mereka.
Di medan kehidupan seharian inilah penyebaran dan percambahan ide mereka berlaku tanpa banyak wacana balas daripada kita. Filem-filem yang membawa nilai yang pincang, ide-ide liberal di akhbar-akhbar inilah sebahagian barisan hadapan mereka dalam menyebarkan faham pluralisme.
Justeru, umat perlu berhadapan cabaran ini di medan masing-masing, walaupun usaha ini kelihatan terlalu sukar. Ulama, ilmuan agama Islam dan sesiapa sahaja yang berkemampuan wajar terlibat dengan aktif dalam wacana menentang faham-faham yang bertentangan dengan kebenaran yang tunggal agama Islam.
PAS, sebagai pemimpin umat sudah tentu perlu mengambil bahagian secara aktif, sesuai dengan tanggungjawabnya sebagai sebuah gerakan Islam. (Harakahdaily.com)
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Masalah pluralisme agama atau islam liberal bergerak bagaikan api dalam sekam umat Islam, maka PAS disarankan 'perlu mengambil bahagian secara aktif, sesuai dengan tanggungjawabnya sebagai sebuah gerakan Islam. Apalagi, Kalau ianya meresap masuk melalui rakan PAKATAN?
1 comment:
loh... aku dah lama sedar ramai pemimpin2 DAP & PKR tu penyokong kuat pluralisme agama. apa yg PAS buat?????
dolu2 punya cerita, kalau UMNO wat taik, PAS la jadik harapan umat Melayu untuk bangkit, mmandangkn Pemuda UMNO dah tukar dari SInga jadik kucing kurap. sekarang???? UMNO takleh harap, PAS tak leh harap, PKR toksah cerita lah!!!!
mari lah kita semua berpolitik & bermusuh sesama Melayu-Islam sampai kita semua mampus disekeh musuh2 Islam!!!!
Post a Comment