Saturday, February 13, 2010

Sibolga-Aceh: Gadai Nyawa Untuk Dakwah..



Maqam Hamzah Fansuri, tempat kulalui

Air terjun

CATATAN PERJALANAN MEDAN-ACEH 3

BANYAK yang boleh diceritakan dalam perjalanan kali ini. Tetapi kerana jadual masa tidak menentu, saya dengan seorang kawan terpaksa pergi ke Sibolga, yang masih dalam Kecamatan Medan atau Sumut (Sumatra Utara). Agak lari sikit dari perjalanan asal ke Mangging, di Tapak Tuan, Aceh selatan.

Sibolga sebuah bandar lama di pinggir laut, berhadapan Lautan Hindi. Didiami oleh ramai oleh kaum Batak, orang Minang, Nias dan lain-lain. Lepas itu kami berangkat ke Subuluusalam di Aceh Selatan pula yang dalam Negeri Aceh.
Tak sempat saya ke internet cafe untuk mencatat parjalanan. Kereta sewa kami melalui pinggir laut yang menarik sepanjang perjalanan. Naik bukit, turun bukit. Terjumpa juga air tejun tinggi dari gunung di pinggir laut.

Di Sibolga jalannya agak sempit dan kurang baik, kadang-kadang tanah merah, atau jalan tar yang sudah usang. Berselisih dua buah kereta pun agak sendat, walau pun masih digelar 'highway'. Tetapi bila sampai di sempadan Aceh, jalan sudah baik dan baru. Seolah-olah menampakkan Aceh lebih cepat membangun dari Sibolga. Masuk terus merentasi Aceh Selatan, tiba-tiba kawan saya itu berkata..

"Di sini, beberapa tahun sebelum berlakunya tsunami aku melalui jalan ini. Malam itu gelap gelita. Kawasan itu disebut kawasan merah atau kawasan hitam. Tempat selalu berlaku pertempuran antara Tentera Indonesia dengan Pasukan GAM atau Gerakan Aceh Merdeka, yang menuntut kemerdekaan. Dari atas bukit amat mudah bagi GAM menyerang hendap tentera Indonesia, yang kurang mengetahui suasana tempatan itu. Tempat itu menjadi sejarah ramai tentera Indonesia yang mati diserang.

Dalam perjalanan malam itu, dari jauh kami nampak sebuah kereta kerajaan yang tayarnya bocor. Kami pun berhenti untuk menolong. Tiba-tiba keluar beberapa tentera Indonesia yang memakai pakaian biasa tidak pakaian tentera, mengacukan senjata M16 ke arah kami.


"Ganti tayar mobil kami ini segera, kalau tidak aku tembak!" Gertak seseorang kepadaku.

Dia fikir aku takut.
"Hey!" Aku jawab. "Aku berhenti kereta untuk menolong orang yang susah. Kalau aku tahu kamu tadi, aku takkan berhenti!"

"Kalau kau tak berhenti kami tembak!!" Tengking tentera itu dalam keadaan mabuk.


Aku terus jadi marah. Ku rapati dia, "Tembak. Tembaklah aku sekarang, kalau berani. Jangan ingat kamu semua boleh keluar dari sini hidup-hidup!" Aku tengking balik. Kalau mereka cuba menembak, aku yakin aku dapat rampas salah satu dari
senjata mereka, dan sekurang-kurangnya 2 atau 3 nyawa mereka aku ambil sebagai tukaran dengan nyawaku."

Kata kawan saya itu, semasa kami dalam mobil merentasi memasuki daerah Aceh menuju Subulus Salam.

Kawan saya ini, dalam memperjuangkan keadilan dia memang mengambil pendekatan keras dan kasar. Hal ini juga berlaku pada malam kelmarin semasa keluar dari Medan di Amplas. Sewaktu saya dan dia menaiki 'bus kota' menuju ke hentian bas untuk ke Sibolga di Amplas. Amplas memang terkenal satu-satu tempat berlaku paling banyak jenayah di Kota Medan. Rompak samun, ragut, penyeluk saku dan sebagainya.

Dalam bas kota yang macam bas mini di KL itu, dia duduk di belakang driver dan saya sebelahnya mengadap pintu arah penumpang masuk. Matanya sentiasa melihat penumpang yang naik turun. Tiba-tiba naik seorang anak muda membawa beg hitam kecil bertopi sodok yang dialihkan ke belakang sodoknya, duduk di sebelah saya. Mata anak muda itu agak liar, sering melihat saya melalui ekor matanya, tiba-tiba bertembung dengan mata kawan saya itu.

"Apa lihat-lihat? Kamu seperti aku juga?" Kata anak muda mencabar kawan saya. Walaupun kawan saya itu memiliki janggut panjang, tebal, berbadan tinggi bukan macam pencopet.

Secepat kilat penumbuk kawan saya itu sudah membelasahi muka anak muda itu, bertalu-talu. "Ini orangnya yang setiasa membuat kacau di sini!" Jeritnya. Anak muda itu ingin melawan, tetapi dia sudah tersandar ke dinding, mukanya berdarah tak sempat menjawab. "Orang ini tidak boleh melihat orang luar masuk daerah ini, seperti bapa ini." sambil jarinya menunjuk ke arah saya.

"Aku sudah mahir dan kenal mata pencopet yang bermain di daerah ini. Mahu dicopet dan dirampoknya, dengan berbagai helah yang akan dilakukan sebentar lagi.." Sambil tangannya meraba beg hitam milik anak muda itu. Tetapi tiada apa-apa. "Kalau ada belati, dengan belati itu akan ku rodok perutmu! Mana kawan-kawanmu? Sebentar lagi mereka akan naik membantu maksudmu!"

Setelah semuanya selesai, orang ramai nampak menyebelahi kawan saya itu, kami pun pergi. "Beginilah cara aku berdakwah. Mesti pantas, cepat, keras dan berkesan. Mencegah sebelum parah!" Katanya kepada saya, seolah baru selesaikan satu tugas mudah.

Dia menyambung lagi kisahnya berdepan dengan tentera Indonesia malam itu..

"Itu cara aku. Cara kawan yang mengikutku malam itu agak lain. Dia bekas 'orang Tabligh'. Selepas tentera itu terperanjat tidak menembak aku, dia pun menawarkan diri untuk menukarkan tayar kereta yang dinaiki tentera itu. "Biar aku yang bantu kamu." Katanya terus bertindak menukar tayar.

"Aku tolong kamu ini bukan kerana aku takut kepada kamu. Tapi aku ingin memberitahu kamu bahawa kemalangan kerosakan ini adalah kerana Allah memberi amaran kepada kamu supaya kembali bertaubat. Kerana malam ini kamu akan pergi berbuat maksiat. Dari botol-botol arak dalam keretamu aku tahu kamu mahu pergi berpoya-poya dengan cewek-cewek di Prapat (Danau Toba) luar Aceh."
Katanya lagi. Tentera-tentera itu terus mendiamkan diri, sambil mendengar.

Selesai menukar tayar sehingga boleh digunakan, dia yang berjanggut tebal berpesan lagi. "Ingat! di depan perjalanan kamu ini ada lagi cabaran dari Allah supaya kamu semua bertaubat. Ingat lagi. Bayangkan cewek-cewek yang kamu maksiati itu adalah anak isterimu sendiri. Apa rasa kamu? Kan kamu juga beragama Islam seperti kami!"


Tiba-tiba terdengar suara komandan tentera itu memanggil rakan-rakannya, dan mengarahkan pembatalan perjalanan mereka dan pulang saja. Maka batallah rancangan maksiat mereka. "Lihat! Itulah cara aku dakwah." Kata kawan aku kepadaku selepas kejadian itu.


Pada saya pula, itulah gaya dua individu yang berdakwah. Berdakwah mengikut kuasa yang ada padanya. Kedua-duanya sanggup bergadai nyawa dalam menyuruh berbuat baik dan mencegah mungkar.

Itu pengalaman dari catatan perjalanan kali ini, yang boleh diambil iktibar. Bersambung.

Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan.
alamat e-mail: ibnuhasyim@gmail.com
Subulussalam, Aceh.
Feb 08, 2010

Isu Disiplin PAS: Mustafa Ali Dipersoal


EXCO Pemuda PAS Abdullah Karim - yang mengecam Naib Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man dalam isu jawatankuasa disiplin - kini bersumpah dengan nama Allah bagi mempertahankan hujahnya.

"Saya bahkan bersumpah dengan nama Allah bahawa apa yang ditulis oleh Tuan Ibrahim itu adalah tidak benar sama sekali," katanya.

Tuan Ibrahim pada 3 Februari, antaranya mendakwa aduan Abdullah - berhubung penglibatan ahli PAS dalam "konspirasi menjatuhkan Pakatan Rakyat" - kepada jawatankuasa disiplin tidak dilayan kerana tidak berasas dan dibuat berdasarkan dengar cakap.

Abdullah yang juga timbalan ketua Pemuda PAS Pahang sebelum itu mempertikaikan kewibawaan jawatankuasa tersebut susulan kontroversi penggantungan jawatan ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad pada 29 Januari lalu.

Abdullah antaranya dilaporkan membayangkan jawatankuasa disiplin PAS berat sebelah apabila memejamkan mata terhadap aduan-aduan tertentu, termasuk yang dilaporkannya kepada jawatankuasa itu dan pejabat agungnya.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini kelmarin, Abdullah menyatakan keraguannya kemungkinan "terdapat sebab-sebab lain" aduannya ditolak.

"Saya menegaskan bahawa saya tidak pernah pada bila-bila masa dimaklumkan oleh Tuan Ibrahim atau mana-mana orang lain bahawa aduan saya tidak boleh diambil tindakan kerana ada bukti, atau kerana ia sekadar dengar cakap sahaja, atau kerana sebab-sebab lain yang menyebabkan aduan ini ditolak," katanya.

Kenyataan tidak dibetulkan

Setelah ditegur Tuan Ibrahim sebelum ini, Abdullah berkata, beliau telah menggunakan "saluran yang betul" dengan menghubungi sendiri naib presiden itu melalui panggilan telefon dan e-mel.

"Namun, selepas seminggu berlalu, Tuan Ibrahim tidak menjawab e-mel saya dan tidak juga memperbetulkan tulisan tersebut yang masih kekal ada di dalam blognya.

"Maka, saya tidak mempunyai pilihan bagi menyatakan kebenaran ini melainkan membuat penjelasan terbuka dan saya berharap hal ini dan perkara-perkara lain yang bersangkutan dengannya dapat diperjelaskan di dalam mesyuarat jawatankuas pusat PAS yang akan datang," katanya.

Jawatankuasa pusat PAS akan dijadual bersidang esok di ibu pejabatnya di ibu negara.

Abdullah juga sekali lagi mempersoalkan kedudukan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang mengelolakan aduan kepada jawatankuasa disiplin kerana ia dilihat memberikan kuasa yang cukup besar kepadanya.

Perkara itu juga, tambahnya, menunjukkan jawatankuasa itu seolah-olah hanya menerima arahan dari setiausaha sgung.

"Jika inilah keadaannya, ianya perlu diperbetulkan bagi mengelakkan konflik kepentingan dan juga angapan-anggapan negatif yang lain. Soal menentukan sesuatu aduan tatatertib itu mempunyai merit atau sebaliknya, tidak sepatutnya diputuskan oleh seorang individu sahaja.

Beliau juga sempat menempelak Mustafa yang tidak langsung memanggilnya berhubung aduannya walaupun telah memberitahu media akan melakukannya segera awal bulan ini.
(Diangkat dari Malaysiakini.com)

Lihat sebelum ini..

Dadah: Perlukan Program Pemulihan Khas Untuk Artis & Aktres

HALAMAN HIBURAN

Sabtu Februari 13, 2010: Pelakon Antara Ditahan Dalam Ops Perayaan Tahun Baru Cina

SEPANG: Seorang pelakon adalah antara yang ditahan dalam satu sekatan jalan raya 'Ops Perayaan Tahun Baru Cina' berhampiran Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), di sini malam tadi.

Pelakon yang pernah membintangi drama seram bertajuk 'Anak Pontianak' itu ditahan setelah mengaku mengambil dadah jenis ketamin ketika diarahkan menjalani ujian saringan air kencing.

Pelakon itu yang sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi ditahan bersama rakannya yang turut mengaku mengambil dadah jenis syabu, dalam operasi yang disertai anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Selangor dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan.

Penolong Pengarah AADK Selangor, Nani Sikin memberitahu pemberita kedua-dua mereka yang masing-masing berusia 24 tahun itu akan dibawa ke pejabat AADK Sepang bagi menjalani ujian air kencing.

"Mereka tidak boleh disahkan lagi positif mengambil dadah sebelum ujian saringan air kencing dihantar ke Jabatan Patalogi untuk pengesahan.

"Sekiranya kedua-dua mereka didapati positif mengambil dadah buat kali pertama, mereka akan diletakkan di bawah pengawasan komuniti oleh AADK," katanya.

Operasi selama kira-kira tiga jam bermula pukul 8 malam itu melibatkan 27 kakitangan AADK dan 20 penguatkuasa JPJ. - BERNAMA

Komen Blog Ibnu Hasyim: Kementerian yang bertanggungjawab, perlu menumpukan program pemulihan khusus untuk artis-aktres yang kini sedang ditonjolkan sebagai cermin dan idola anak muda masa kini. Apakah kerajaan Malaysia pimpinan BN masih tidak sedar?

Perutusan Presiden PAS Sambut Tahun Baru Cina


Oleh
Presiden PAS
Datuk Seri Tuan Gur u Haji Abdul Hadi Awang.

BAGI pihak Parti Islam SeMalaysia (PAS), saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan menyambut Perayaan Tahun Baru Cina kepada seluruh peringkat masyarakat Tionghua di Malaysia.

PAS percaya bahawa masyarakat Tionghua di Malaysia akan terus menerus mempunyai keazaman dan semangat baru ke arah melaksanakan perubahan bersama dalam negara kita ini. Perubahan ini tidak boleh berlaku tanpa persefahaman dan hubungan baik antara kaum-kaum yang ada dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

Kami percaya bahawa masyarakat Tionghua dalam negara kita mampu untuk memainkan peranan yang lebih aktif, terutamanya dalam aspek pembangunan ekonomi yang menjadi asas penting dalam struktur ekonomi negara.

PAS juga berkeyakinan bahawa asas untuk mewujudkan keharmonian yang lebih kukuh di Malaysia adalah semestinya berteraskan kepada keadilan sejagat terhadap semua kaum, terutamanya kepada kelompok masyarakat yang tertinggal akibat dari ketidakadilan yang berlaku sepanjang 50 tahun ini.

Pembentukan Dewan Himpunan Penyokong PAS juga turut menjadi bukti bahawa PAS ingin lebih memahami kehendak dan keperluan pelbagai rumpun masyarakat di Malaysia yang turut sama-sama menyumbang kepada pembentukan negara Malaysia yang lebih sejahtera. Semoga sifat bersefahaman dan saling menghormati ini akan terus diperkasakan.

Akhir kata, semoga tahun baru ini akan membawa kesejahteraan dan keamanan kepada semua, dan mudah-mudahan ia menjadi tahun yang baik, malah lebih baik dari yang terdahulu khasnya dari segi ekonomi dan politik buat negara kita yang tercinta dan seluruh dunia amnya.

Dari:
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS.

Thursday, February 11, 2010

Royalti Minyak: Rakyat K'tan Perlu Berontak Lagi, Bagaimana?


KOTA BHARU, 11 Feb: Majoriti rakyat Kelantan menolak pemberian wang ehsan oleh kerajaan Pusat bagi menggantikan bayaran royalti petroleum terhadap negeri itu.

Dalam satu kaji selidik yang dibuat Pusat Kajian Strategik (PKS) Kelantan berhubung tuntutan royalti negeri itu, 80.8 peratus atau 5,721 dari 7,077 responden tidak bersetuju menerima wang ehsan berbanding royalti.

Manakala 1,023 atau 15.5 peratus sahaja bersetuju dengan tindakan kerajaan pusat tersebut.

Berhubung tindakan kerajaan negeri menuntut royalti pula, 95.1 peratus dari jumlah keseluruhan responden menyokong tindakan kerajaan negeri dan hanya dua peratus tidak bersetuju manakala 2.8 peratus lagi memberikan jawapan tidak pasti.

Sekiranya, tuntutan royalti tidak mampu diselesaikan melalui meja rundingan, 83.2 peratus atau 5,886 dari responden bersetuju tuntutan tersebut dipanjangkan ke mahkamah.

Ketua Pegawai Penyelidik PKS, Zainal Abidin Hussin ketika merumuskan hasil kajian itu berkata, rakyat Kelantan sememangnya menyokong dan bersama kerajaan negeri dalam menuntut hak royalti tersebut.

"Rakyat Kelantan bersama kerajaan negeri dalam usaha menuntut hak royalti seperti termaktub dalam Akta Pembangunan Petroleum (1974).

"Ini juga satu referendum rakyat negeri dan mereka menolak kaedah kerajaan pusat yang menukar royalti kepada wang ehsan," katanya.

Kaji selidik tersebut dibuat merangkumi sepuluh jajahan iaitu Kota Bharu, Bachok, Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah, Jeli, Machang, Pasir Puteh, Kuala Krai dan Gua Musang.

Responden pula adalah berumur 21 tahun ke atas mewakili pelbagai latar belakang kerjaya termasuk kakitangan kerajaan pusat, kerajaan negeri, swasta dan bekerja sendiri.

Kerajaan pusat sebelum ini mengumumkan akan memberi wang ehsan RM20 juta kepada Kelantan berbanding RM 2 bilion royalti yang dituntut kerajaan negeri itu.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Apakah pemerintah pusat mahu rakyat Kelantan memberontak menuntuk hak mereka? Apakah rakyat Malaysia yang cintakan keadilan, bukan Kelantan sahaja perlu turut campurtangan? Apakah langkah dalam pemberontakan menuntuk hak seterusnya selain dipanjangkan ke mahkamah.. Bagaimana sikap rakyat Kelantan majoriti menentang kerajaan pusat yang biadap itu, jika hak mereka masih tidak dipenuhi sewajarnya? (AK)

Sujud Syukur Atlet Di Padang Tidak Sah, Fatwa Lawak?

SUKAN

SALAH seorang ulama yang juga mufti emirat Dubai, Emirat Arab Berstu, Syaikh Dr. Ahmad Abdul Aziz al-Haddad mengatakan bahawa perkara sujud syukur yang dilakukan oleh beberapa pemain bola dalam bentuknya sekarang ini adalah batil (tidak sah) hukumnya.

"Tindakan bersujud yang katanya adalah sujud syukur yang dilakukan oleh pemain bola dan marak masa kini adalah batil hukumnya, tidak sah," demikian dikatakan al-Haddad (9/2).

Al-Haddad mengeluarkan fatwanya setelah kemenangan pasukan bola Mesir yang menjuarai Piala Afrika 2010' beberapa hari lalu. Selepas mencipta gol, pemain pasukan Mesir kerap melakukan "sujud syukur" berjemaah di arena lapangan. Atas hal inilah, pasukan bola Mesir juga dijuluki pasukan pesujud (muntakhab as-sajidin).

Al-Haddad berkata , sebaiknya pemain tidak perlu melakukan tindakan "sujud syukur" di padang itu, kecuali jika mereka telah memenuhi syarat-syaratnya, iaitu suci, menutup aurat, dan menghadap kiblat. "Sujud syukur adalah ibadah yang memiliki syarat-syarat pelaksanaan, misalnya suci badan dan tempat, menutup aurat, dan menghadap kiblat," terang al-Haddad.

Sementara itu, lanjut al-Haddad, pemain bola itu tidak memenuhi syarat, tidak tertutupnya aurat mereka dan tidak menghadap kiblat ketika mereka melakukan sujud syukur. "Jika memang hendak mensyukuri gol, cukuplah dengan mengucap al-hamdulillah," kata al-Haddad.

"Macam Tu Pun Sibuk?" Riaksi ulama Mesir

Fatwa Mufti Dubai yang menyinggung masalah pasukan sepak bola Mesir itu terus mendapat tanggapan dari ulama Mesir, salah satunya dari Syeikh Dr. Umar Hashim yang juga mantan Rektor Universiti Al-Azhar.

Hashim menjelaskan, secara syar'i, tindakan sujud syukur yang dilakukan pasukan bola Mesir sah hukumnya, tidak batil sebagaimana yang dinyatakan Mufti Dubai. "Tindakah tersebut merupakan bentuk ungkapan syukur dan kekhusyu'an kepada Allah," jelas Hashim.

Tambah Hashim, memang benar sujud syukur disyaratkan untuk suci, menutup aurat, dan menghadap kiblat. "Namun jika niat pemain melakukan hal tersebut adalah untuk mengungkapkan kesyukuran dan kekhusyu'an kepada Allah, maka itu tidak batil," imbuhnya.

Berkait masalah aurat pula, kata Hashim, setiap madzhab fikih memiliki pandangan dan standard masing-masing. "Madzhab Maliki memandang aurat lelaki adalah kemaluan dan duburnya," katanya.

Pandngan ulama Mesir mengenai fatwa ulama Dubai itu, se0lah-olah lawak, '.. wealah, begitu saja pun sibuk?. (Era Muslim/2MA)

Sunday, February 07, 2010

2 Perkara Muqaddimah Usahawan. Ole-Ole Dari Malaysia

CATATAN PERJALANAN, MEDAN 2

Kota Sibolga dilihat dari jalan kelok-kelok yang menuju kota Tarutung.

Ayam penyek

SETELAH tahu saya ada di Medan, beberapa pembaca blog Ibnu Hasyim di Medan ingin menemui saya. Akhirnya pertemuan dirancang semalam.

"As-salamu'alaikum?" Masing-masing perkenalkan diri. Seorang anak muda, bersama pimpinan ustaznya dan kawan saya. Bertemu disebuah kedai makan yang cukup selesa, lapang, boleh duduk berlunjur kaki, tiada muzik bising, bahkan sesuai untuk berbincang panjang.

"Ayuh, minta minum dan mahu cuba 'bebek penyet' (atau nasi berlaukkan itek)?". Masing-masing bersetuju.

Setelah memulakan perbualan saya bertanya kawan-kawan itu, "Sepanjang penelitian anda membaca blog saya, anda anggap saya bagaimana? Di mana kelemahan saya? Maaf hanya untuk koreksi dan muhasabah diri."

"Oh... Mulanya dari gambaran lahir tuan sebagai blogger biasa. Tetapi bila diteliti, anda seorang tokoh agama dan politik, tetapi tidak menonjokan diri. Bahkan seorang ahli agama yang banyak wang dan terus menyampaikan Islam melalui gaya semasa dan agak tersendiri.." Kata anak muda itu. Tidak dibantah oleh yang lain.

Saya cuma tersenyum dalam hati, no komen. "Baiklah. Marilah kita cari dan cuba cetuskan apa manfaat bersama yang boleh kita dapat, pada perjumpaan malam ini?"

"Saya baca blog tuan, dan rangkaian dari blog tuan. Saya lihat, ramai yang telah berjaya jadi wiraswasta (usahawan) dari kumpulan tuan. Seperti penulis blog Shahabudeen Jalil, contohnya. Saya amat tertarik motivasinya. Jadi, itu yang ingin saya belajar, dan kalau boleh nak masuk bersama-sama rangkaian tuan." Jelas anak muda itu. "

"Al-hamdulillah!" kata ustaz yang bersamanya.

"Teruskan beri panduan, sebagai ole-ole dari Malaysia." sambut kawan saya itu pula.

"Mula-mula kita perlu persiapkan dalam diri kita pengkalan tempat bertolak...

Pertama: Betulkan pengkalan tempat kita bertolak. Islam bertolak dari 'La ialaha Illallah' sebesar-besarnya, hingga sekecil-kecilnya 'buang duri dijalan', yakni jaga kemaslahatan orang ramai, seperti yang disebut dalam hadis nabi. Al-Quran adalah risalah Islam. Bermula dengan Al-Fatihah, berakhir dengan Surah An-Nas, iaitu sebanyak 313 surah dan 6,666 ayat menurut sesetengah pendapat.

Ringkasan dari Al-Quran ialah kandungan Al-Fatihah. Al-Fatihah yang wajib kita baca sekurang-kurang 17 kali sehari semalam melalui sembahyang. Intipati Al-Fatihah ialah Bismillahi Rahmanir Rahim, ertinya 'Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyanyang', wajib kita baca pada tiap kali kita memulakan pekerjaan yang baik.

Tegasnya pengkalan tempat bertolak ialah Bismillah atau Dengan nama Allah. Hendaklah, 'Niat Kerana Allah'. Perlu dipahat dalam dada kita, 'Allah matlamat kami, rasul pemimpin kami. Alquran perundangan kami, jihad jalan kami dan syahid cita-cita kami. Seperti yang pernah disarankan oleh tokoh gerakan Ikhwanul Muslimin As-syahid Hassan Al-Banna.

Kedua: Ciri kedua langkah menjadi usahawan, ialah 'memada dengan yang ada'. Ramai yang salah anggap, kata-kata inilah kononnya penyebab kemunduran umat, kerana yang dah ada, cukup tak perlu usaha lagi. Itu silap. Yang betulnya, bersyukur dengan yang ada, tak kira kecil atau besar. Bersyukur juga bermakna, dengan yang ada itu, kita akan mulakan keusahawanan. Yang ada itulah modal. Samada berupa modal wang, pengalaman, persekitaran termasuk alam atau kekeluargaan dan lain-lain. Mustahil seseorang, tiada modal itu.

Jadi langkah awal memulakan keusahawanan, ialah sinaraikan apa-apa modal yang ada pada kita. Wang, harta walaupun kecil seperti basikal, alat kerja, tanah, pengalaman apa, kaum keluarga ada apa, jamaah, kawan, guru dan sebagainya. Semua itu modal, yang perlu disyukuri, dengan meng'kreatif'kan dan mengembangnya. Ini langkah awal. Langkah lanjut, kita akan bincang terus, samada perjumpaan, e-mail, telefon melalui soal jawab di blog dan lain-lain. Baru ditentukan apa usaha yang sesuai.

Cukup setakat ini.. Bertemu pada masa yang lain. "

Selepas itu banyak yang kami perbincangkan. Dan akan terus diperbincangkan sehingga berjaya, walaupun baru meletakkan dua asas tersebut dalam kegiatan usahawan adalah suatu kejayaan. Mati dalam keadaan kedudukan perjuangan seperti di atas pun, sudah boleh digolongkan sebagai mati syahid.

Anak muda yang bersama-sama ustaznya itu, nampak bersungguh-sungguh nak jadi regu bersama-sama. Al-hamdulillah! Saya dan kawan-kwan akan memantaunya terus.

Besok catatan perjalanan saya ke Sibolga, Tapanuli.

Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan.
alamat e-mail: ibnuhasyim@gmail.com
Jermal, Medan
Feb 06, 2010.

Catatan Perjalanan Medan 1..
Kota Medan Kini Aman, Raja Mafianya Tinggal Sejarah..

2 Perkara Pelawa Bincang Dgn UMNO -Nik Aziz..


KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan kenyataannya mempelawa Umno untuk duduk semeja berbincang dengan PAS, adalah semata-mata untuk menyelesaikan isu agama Islam yang diperjuangkan parti pembangkang itu.

Menurut Menteri Besar Kelantan itu, perkara berkenaan bukannya baru dan pernah disarankan sejak berpuluh tahun lalu.

"Dalam perbincangan itu, kita menumpukan kepada dua perkara utama saja, iaitu kenapa Umno tidak boleh terima Islam sebagai dasar parti itu, dan apakah salahnya Islam yang diperjuangkan oleh PAS," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau tidak mahu ada pihak yang menyalahtafsirkan pelawaannya hingga menimbulkan salah faham di kalangan pimpinan Umno dan PAS sendiri.

"Saya memang nak berunding atau bermuzakarah lama dah, malah surat yang saya hantar (untuk tujuan itu) kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak)tiga bulan lepas, belum terjawab," katanya.

PAS sebelum ini pernah dilanda polemik apabila Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan disokong beberapa pimpinan tertinggi parti itu, termasuk Timbalannya, Nasarudin Mat Isa dan Setiausaha agungnya Datuk Mustafa Ali, menyarankan untuk bekerjasama dengan Umno ke arah mewujudkan kerajaan perpaduan di negara ini.

Tindakan pemimpin itu dikecam hebat oleh Nik Aziz yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut dan menyarankan supaya diadakan muktamar agung khas bagi menjernihkan kemelut dalaman PAS.

Bagaimanapun, beliau berterima kasih kepada beberapa pemimpin Umno yang menyambut baik pelawaannya dan rata-rata menyifatkan sebagai perkembangan positif. BERNAMA

Kenyataan Palsu DPMMPP, Malulah Sikit UMNO PP..


Feb 6 10. KERAJAAN negeri membuat laporan polis terhadap Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang (DPMMPP) yang didakwa membuat kenyataan palsu mengenai kerajaan negeri. ADUN Datuk Keramat Jagdeep Singh Deo yang mewakili kerajaan negeri berkata DPMMPP menuduh kerajaan negeri mengamalkan diskriminasi dengan menganiaya peniaga-peniaga Melayu.

"Kenyataan oleh DPMMPP adalah fitnah dan berniat mencetuskan sentimen perkauman kerana Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan tempatan, Pengurusan Lalulintas Chow Kon Yeow telah menjelaskan perkara ini berdasarkan statistik daripada pihak berkuasa tempatan," katanya kepada pemberita hari ini, lapor Bernama.

Beliau turut meminta polis untuk menyiasat sama ada kenyataan yang dikemukakan DPMMPP sebelum ini merupakan kenyataan palsu atau fitnah jenayah terhadap kerajaan negeri dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Semalam sebanyak 50 badan bukan kerajaan Melayu yang dikenali sebagai 'Gabungan Sedaq' telah mengadakan perhimpunan bagi menyerahkan memorandum kepada Ketua Menteri bagi menyampaikan rasa kurang senang terhadap layanan yang diberikan kepada peniaga Melayu.

Antara mereka yang bercakap sewaktu protes tersebut ialah presiden DPMMPP Rizal Faris Mohideen yang mendakwa pihak berkuasa telah merobohkan premis peniaga Melayu. Perhimpunan yang dihadiri 300 orang itu, yang diketuai oleh presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, gagal menyerahkan memorandum terus kepada Guan Eng.

Marah kerana hanya ditemui setiausaha politik ketua menteri - Ng Wei Aik, mereka bertindak membakar memorandum tersebut sebelum turut membakar patung Guan Eng.

Sementara itu, menurut Harakahdaily.net ketua penerangan PAS, Idris Ahmad menyebutkan, peruntukan untuk hal-ehwal Islam yang disediakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang bagi tahun ini adalah yang tertinggi pernah dinikmati oleh institusi Islam di negeri itu selama ini, kata ketua penerangan PAS, Idris Ahmad.

Menurutnya, pada 2008, peruntukan untuk hal-ehwal Islam oleh Kerajaan BN hanya RM12.5 juta. “Namun dalam pembentangan belanjawan tahun 2008 kerajaan Pakatan telah menambahnya kepada RM20.5 juta untuk peruntukan 2009.

“Pada pembentangan belanjawan 2009, peruntukan meningkat lagi kepada RM24.3 juta untuk 2010... Jumlah ini adalah peruntukan tertinggi yang pernah dinikmati oleh intistusi Islam di Pulau Pinang selama ini,” katanya.

Di samping itu, katanya, kerajaan Pakatan juga memberi pengiktirafan kepada para huffaz dengan memberikan peruntukan RM1.5 juta setiap tahun kepada sekolah-sekolah agama rakyat.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Tahniah Kerajaan Pulau Pinang. BN mensasarkan belanjawan 2008 mengalami defisit RM35 juta tetapi sebaik sahaja kerajaan bertukar kepada Pakatan, belanjawan itu mengalami lebihan RM88 juta, iaitu lebihan paling tinggi dalam sejarah Pulau Pinang. Bagi belanjawan 2009 pula, anggaran defisit dibuat sebanyak RM40 juta tetapi pemerintahan Pakatan sekali lagi memberikan hasil dengan lebihan RM77 juta.

Dakwaan Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang yang dikuasai Umno bahawa Melayu dipinggirkan dalam agihan projek dinegeri itu adalah tidak benar. Pada 2008, (seramai) 78 Kontraktor Melayu, berbanding 35 kontraktor bukan Melayu, telah menerima projek melalui sebut harga. Satu kontraktor Melayu dan satu kontraktor bukan Melayu masing-masing telah menerima projek melalui tender terbuka.

Pada 2009, 89 kontraktor Melayu diterima untuk projek melalui sebut harga dan bilangan kontraktor bukan Melayu yang diterima berkurangan kepada 19 syarikat sahaja. Pada tahun yang sama, tambahnya, projek yang diberi kepada kontraktor Melayu melalui tender terbuka bertambah kepada 45 syarikat dan bukan Melayu 6 Syarikat.

Malulah sikit UMNO Pulau Pinang!