Saturday, May 22, 2010

Pondok Pelancongan, Ekoran Konsep Pelancongan Berilmu?

Kuliah pengajian Tok Guru Nik Aziz

KOTA BHARU, 22 Mei: Kelantan akan membina sebuah 'pondok pelancongan' bagi memudahkan pelancong yang berkunjung ke negeri ini mempelajari ilmu agama.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pondok tersebut dicadang dibina di Kampung Kandis, Bachok.

Cadangan tersebut katanya telah diusulkan kepada mesyuarat khas semalam. "Orang luar yang nak duduk di sini atau waktu tertentu datang untuk mendengar kuliah agama, belajar atau sebagainya boleh berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan majlis Hari Guru Pasti Peringkat Negeri Kelantan, 2010, di Balai Islam, Lundang, di sini pagi tadi.

Jelasnya, melalui kaedah ini orang ramai termasuk masyarakat luar boleh membeli rumah pondok tersebut, bagaimanapun tidak boleh dijadikan harta pusaka. Sistem pembelajaran pula katanya akan dibentuk sama seperti sistem pendidikan pondok yang ada di negeri itu.

Jelasnya, Kelantan tidak ketandusan tenaga pengajar kerana sejak awal lagi rakyat negeri ini meminati pengajian agama. Pondok Pelancongan juga jelasnya, hanyalah sebahagian penambahan kepada pondok-pondok yang sedia ada.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Ekoran dari konsep pelancongan berilmu? (2MA)

Ada kaitan dengan cadangan pelancongan Islam...

Friday, May 21, 2010

Teroris Jahat Makan Rasuah, Bunuh Orang Tak Berdosa..

CATATAN PERJALANAN MEDAN-ACEH 11
HARI ini saya berada di Medan lagi. Malam tadi di sebuah kedai makan, hujung Jalan Laksana, di Kota Medan, saya sedang duduk-duduk sambil minum-minum ringan. Di depan saya mengadap seorang anak gadis, pelajar sebuah sekolah agama di Medan.

Sebelah petang dan malamnya, dia berkerja di kedai makan itu, untuk menampung kehidupan keluarga, paginya ke sekolah. Kerana dia anak sulung, siapa lagi yang diharapkan untuk membantu keluarga. Ayahnya, seorang penarik beca.

Setelah ada kesempatan bercakap-cakap dan bercerita agak lama, dia bertanya, "Aku nak tanya sikit Pak?". Saya angguk. Katanya, "Guru aku kata, teroris itu jahat.. makan rasuah dan bunuh orang tak berdosa. Betul Pak?"

"Oh. Orang makan rasuah memang jahat, pengkhianat negara. Biasanya mereka adalah pemimpin dan pentadbir negara." Kata saya. "..tapi bunuh orang tak berdosa itu siapa? Siapa bunuh siapa? Ramai orang kata, orang Palestin jahat. Tidak mahu damai. Bunuh sana, bunuh sini. Tak kira, kanak-kanak sekolah pun terbunuh!"

Dia nampak macam tak puas hati. Saya jelaskan lagi.

"Contohnya, sekumpulan manusia masuk ke rumah kamu, rampas semua harta dan rumah kamu sekali, rogol keluarga kamu depan mata kamu. Ayah kamu lawan, dia ditangkap dan diikat. Sambil dia diseret keluar, dibawa ke muka pengadilan mereka. Orang-orang itu berkata kepada ayah kamu, 'Kami tidak apa-apakan kamu dan akan bebaskan kamu jika kamu terima damai dan jangan lawan kami!' Saya nak tanya awak balik, adilkah mereka jika ayah kamu terima damai sedang segala yang dirompak tidak dikembalikan?"

"Memang tidak adil!" Jawabnya. "Tapi, itu di Palestin. Baru sebulan lebih, 6 orang termasuk 2 ustaz di sekolah aku ditangkap. Itu yang aku sedih. Benarkah mereka terlibat dalam keganasan seperti bom di Bali? Sedang mereka orang baik-baik, suka tolong orang dan kuat beribadat? Orang baik takkan buat begitu!"

"Baiklah. Saya sambung lagi cerita tadi. kamu kata tidak adil. Tetapi nak lawan, logik kata takkan boleh menang, kerana tiada kekuatan zahir. Kekuatan senjata tak setanding. Yang tidak lawan mereka, itulah yang dianggap baik sebagai hero. Yang melawan dianggap pengganas atau teroris, seperti kumpulan 'HAMAS' di Palestin, 'Taliban' di Afghanistan, Osama Laden, dan lain-lain. Konon 'bunuh kanak-kanak', sedangkan mereka bunuh dengan melanggar negeri orang tak apa-apa?"

"Tapi, di Indonesia, tidak ada negeri orang Islam yang ditawan atau diserang?" Dia memotong.

"Betul! Tetapi hak kebebasan melaksanakan agama sendiri itu adalah hak asasi manusia. Orang Islam wajib laksanakan syariat, hukum dan perundangan Islam, samada individu, keluarga hingga ke negara. Itu yang golongan-golongan penguasa samada penguasa negara atau penguasa dunia tidak mahu beri! Ada ulama mengatakan 'tidak sempurna iman seseorang itu selagi negaranya masih belum menjadi negara Islam yang sebenarnya.' Itu.. 'tidak sempurna iman'... itu bukan main-main!"

"Nak lawan bagaimana, kita tidak ada kekuatan?" Tanya anak gadis itu lagi.

"Nabi SAW lahir ke dunia bermula dengan seorang diri berdakwah. Memang dia Nabi, Allah tolong... Kita pun Allah janji dalam Al-Quran akan tolong orang yang menolong agamaNya. Kita wajib teruskan dakwah agamaNya. Kan kita sama-sama dengan Nabi, Allah yang itu juga menolong! Dakwah asalnya lembut. Tetapi jadi keras kalau tekanan ke atasnya keras. Itu sebab pendakwah atau pejuang jadi keras. "

"Oh. Begitu!" Mungkin dia mulai faham.

Itulah antara isu yang melanda Medan-Aceh atau Indonesia sekarang. 'Teroris atau pengganas' dijadikan alat meng'kambing hitam'kan lawan. Teroris dipuja jadi sesuatu yang menakutkan, hingga ke sekolah-sekolah dan media. Apakah ini juga perancangan kuasa besar 'bapak syaitan' untuk menggempurkan Islam?

Tapi, "Maaf Pak, sudah jam 11. Ayah aku datang jemput, esok sekolah. Mari aku kenalkan dengan ayahku!"

Saya pun berkenalan dengan ayahnya. Ayahnya seorang anggota Tariqat Naqsyahbandi. Keturunan Batak. Ibunya asal India di Kampung India, Medan, dari agama Hindu berhijrah kepada Islam. Patutlah, nampak ramai anak-anak muda berminat menghampiri dengar kami bercakap. Mungkin kerana rupanya lawa, hidung mancung macam bintang filem Hindusan!

Sekian.

Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan
alamat e-mail: ibnuhasyim@gmail.com
Medan, Indonesia.
Mei 21, 10.

Catatan perjalanan sebelum ini siri Medan-Aceh...

Catatan Perjalanan dari Menado ke Aceh..

Lulus Judi: Doa Buka Pintu Hati Atau Mati.. -Nik Aziz


Memprotes di Masjid Jamek di Kuala Lumpur hari ini — Gambar oleh Jack Ooi

KOTA BHARU, 21 Mei — Di sebalik tindakan Pemuda PAS mengadakan protes di seluruh negara hari ini, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta umat Islam mengadakan sembahyang hajat memohon supaya langkah kerajaan mahu mengeluarkan lesen pertaruhan sempena Piala Dunia tidak menjadi kenyataan.

Sehubungan itu, Mursyidul Am PAS menyelar anggota Kabinet Umno yang meluluskan lesen judi dengan berkata “orang macam ini sama ada kita pakat sembahyang hajat minta Tuhan buka pintu hati atau minta mati... mati diri atau mati karier politik.”

Menteri Besar Kelantan ini berkata demikian dalam kuliah mingguannya di Dataran Ilmu di sini hari ini — beberapa jam sebelum Dewan Pemuda PAS menganjurkan demonstrasi membantah langkah kerajaan itu.

Nik Aziz berkata, jika kerajaan menghalalkan amalan pertaruhan dengan memberi lesen tidak salah sekiranya pihak berkuasa memberikan lesen untuk perbuatan-perbuatan jenayah yang lain.

“Kalau macam tu tak salahlah perbuatan mencuri, merompak, menyamun kalau diberi lesen atas alasan bagi mengelakkan daripada berlakunya mencuri, merompak, menyamun secara haram.

“Maknanya mengikut teori ini, sikit lagi perbuatan curi, merompak, menyamun pun tidak haram asalkan ada lesen,” kata beliau.

Nik Aziz pernah menimbulkan kontroversi dengan meminta penyokongnya agar berdoa sehingga orang yang enggan memberi royalti minyak kepada negeri Kelantan itu ‘pecah perut’.

Sebelum itu, Nik Aziz pernah mengatakan bahawa mana-mana wakil rakyat daripada Pas yang bertindak keluar parti untuk menyertai Umno selepas pilihan raya umum akan dibakar hidup-hidup dalam neraka kerana mungkir janji.

Nik Aziz berhujah berasaskan nas al-Quran dan hadis bahawa perbuatan judi diumpamakan sebagai najis dan hukumnya adalah haram tidak boleh dibenarkan dengan apa jua alasan.

“Dalam ajaran Islam judi, arak, tikam nombor Allah kata najis, tidak ada sebab yang boleh menghalalkan perbuatan itu di sisi hukum agama Islam sama ada dengan cara berlesen atau sebagainya.

“Tapi kalau ada orang nak bagi lesen maknanya pandai manusialah dari Tuhan,” kata beliau kesal kerana keputusan meluluskan lesen judi diumumkan oleh seorang menteri Melayu dan beragama Islam.

Pada 6 Mei lalu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussein membuat kenyataan bahawa kerajaan sedang empertimbang kemungkinan mengeluarkan lesen pertaruhan judi sempena kejohanan bola sepak Piala Dunia atas alasan mengelak pertaruhan haram.

Dalam pada itu, Nik Aziz membidas seorang guru pondok di sini yang dikatakan telah menuduhnya sebagai seorang pengamal aliran Wahabi ketika berceramah di Tumpat bulan lalu.

“Ambo (saya) ada (hidup) lagi sekarang ini, sepatutnya mari jumpa ambo dulu sebelum nak tuduh, kata ambo wahabi.

“Kalau zaman dulu, orang macam ini kita boleh pegang selam dalam kolah, macam takde kerja tuduh-menuduh orang tanpa usul periksa, mari jumpa empunya diri dulu,” katanya tetapi tidak menyebut individu berkenaan.(AK)

Kerjasama PAS-DAP, Tidak UMNO Mengapa? -Nik Aziz,


Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kerjasama parti itu dengan DAP telah banyak membantu masyarakat Cina di negara ini memahami Islam.

Katanya, masyarakat Cina juga kini bukan sahaja memahami Islam tetapi mereka juga tidak lagi beranggapan masyarakat Islam sebagai golongan ekstremis.

PAS, menurut beliau tidak akan bekerjasama dengan Umno kerana parti lawan itu lebih kuat daripadanya.

Mengenai kerjasama dengan Barisan Nasional, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata pengalaman lalu juga mengajar PAS agar tidak mengulangi kesilapan bekerjasama dengan Umno sebelum disingkir.

"...kita ditendang begitu sahaja apabila kita tidak diperlukan. Pengalaman itu sudah cukup memberi pengajaran kepada kita, kita tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang lebih kuat daripada kita," kata Nik Aziz pada kuliah mingguannya, di Kota Bharu hari ini.

Nik Aziz berkata PAS mempertimbangkan faktor kekuatan setara itu berasaskan prinsip 'menang-menang' yang hanya boleh dicapai jika kedudukan kedua-dua parti sama kuat.

"Islam mengajar supaya kita bekerjasama dengan pihak lawan, jika kedudukan kita sama kuat barulah kerjasama itu mencapai matlamat, kalau tidak kita mudah ditindas," katanya. (AK)

Bukti PWTC Dibina Dengan Dana Awam - Barry Wain


Wain: 'Penyelewengan RM100b Dr M disokong bukti.
KL. MEI 21, 10: Barry Wain yakin 100 peratus dengan ketepatan fakta dalam bukunya Malaysian Maverick: Mahathir in Turbulent Times yang merekodkan kepincangan pentadbiran mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Wain berkata, semua maklumat tersebut, termasuk dakwaan penyelewengan berjumlah RM100 bilion oleh Dr Mahathir itu disokong oleh bukti. Beliau juga mengarang buku itu dengan memasukkan pandangan Dr Mahathir bagi menyeimbangkan dakwaan yang dikemukakan.

Antaranya adalah kerugian melalui Perwaja Steel, yang didakwa Dr Mahathir "hanya RM1 hingga RM2 bilion," bukannya antara RM15 hingga RM20 bilion seperti ditulis oleh Wain.

"Dr Mahathir mempunyai memori singkat. Menteri kewangannya sendiri mengemukakan satu laporan audit oleh Pricewaterhouse (Cooper) di Parlimen pada pertengahan 1990-an. Kerugian pada masa itu, saya rasa berjumlah RM9.5 bilion dan ianya makin bertambah selepas itu.

"Dia tidak akan senang hati apabila diingatkan tentang perkara ini, tapi itulah kehidupan... Selagi saya (menulis dengan) seimbang kepada dia, dan saya telah terbitkan pandangan dia," kata Wain dalam satu wawancara khas dengan Malaysiakini semalam.

Dr Mahathir juga sebelum ini menafikan dakwaan Wain bahawa bangunan ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dibina dengan dana awam.

"Saya ada satu salinan akaun Umno yang diaudit, termasuk dana politik rahsia dan ia menunjukkan dengan jelas, mereka ada berpuluh juta di dalam akaun ketika (Daim Zainuddin) mengambil alih," katanya lagi.

Tambahnya, beliau juga menemuramah banyak sumber untuk buku tersebut bagaimanapun tidak memasukkan kesemuanya sekali.

"100 peratus (yakin), kesemua fakta adalah benar. Tidak ada satu pun kesalahan dalam buku tersebut.

"Sehingga hari ini, ia telah diulas boleh ahli ekonomi di Australia, Hong Kong dan (ahli ekonomi) di rantau ini termasuk Thailand.

"Ada satu ulasan di Malaysia, dalam talian, yang menulis satu fakta salah yang saya terpaksa ulas, untuk jelaskan bahawa orang yang menulis ulasan tersebut telah membuat kesalahan fakta berhubung kesan pilihan raya 1969, antara lainnya," katanya lagi.
.
Wain berada di negara ini sehingga minggu depan untuk mempromosikan bukunya itu yang bakal diulang cetak kali keenam dan diterjemahkan ke bahasa Melayu dan Cina. (AK)

PAS & 4 Prinsip Negara -Dr Mujahid

BUKIT MERTAJAM, 21 Mei: Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan bahawa PAS akan tetap mempertahan dan mendaulatkan empat prinsip utama dalam negara iaitu..

1. Islam agama rasmi,
2. hak istimewa orang Melayu,
3. bahasa kebangsaan dan
4. kedudukan Raja-raja Melayu.

Menurut beliau yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, empat prinsip tersebut akan dipertahankan oleh PAS dalam apa jua cara dan situasi. Tegasnya, Islam akan tetap dipertahankan sebagai agama rasmi negara yang harus dimartabat dan didaulatkan, begitu juga hak keistimewaan orang-orang Melayu sepertimana termaktub dalam Perlembagaan.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat menambah, Bahasa Kebangsaan yang menjadi penyatuan utama semua rakyat dalam negara ini akan tetap dimartabatkan.

“Hak Sultan-Sultan Melayu jua akan tetap dipertahankan supaya ia tidak diperkotak-katikkan dan menjadi payung kepada semua rakyat yang berada dalam negara ini," katanya.

Ke empat asas ini juga telah dipersetujui oleh semua parti dalam Pakatan Rakyat untuk dipertahankan kerana ia telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Persetujuan ini telah termaktub dalam satu dokumen yang ditandatangani oleh pemimpin ke tiga-tiga parti dalam Pakatan.

Mujahid yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang turut mencabar Perkasa yang sebelum ini lantang menguar-uarkan bahawa mereka adalah sebuah pertubuhan yang memperjuangkan hak agama Islam dan bangsa Melayu supaya turun padang bersama-sama untuk berdemonstrasi bagi membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen perjudian sempena bola sepak Piala Dunia tidak lama lagi.

"Kita mahu melihat Perkasa dan juga para mufti seluruh seluruh negara supaya tunjukkan keberanian mereka untuk menyatakan yang benar bahawa judi itu adalah haram.

“Kelulusan lesen perjudian oleh kerajaan itu juga adalah haram. Oleh kerana itu kita ingin lihat setakat mana keberanian mereka untuk menegakkan hukum Allah tersebut dalam isu ini," ujarnya lagi.

Mujahid berkata demikian dalam ceramah anjuran PAS Kawasan Bukit Mertajam dengan kerjasama Lajnah Penerangan Pemuda PAS Pulau Pinang di Bukit Teh, Seberang Perai Tengah malam tadi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Tan Hock Leong. (AK)

Judi Bola: Gugat Stabil Sosial, Batalkan! -Wira Perkasa



KL MEI 21: “Batalkan lesen judi Piala Dunia 2010 atau mansuhkan Akta Pertaruhan Pool dan Akta Perjudian Rumah Terbuka!” desak Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Wira Perkasa) berikutan pemberian lesen konsesi berbilion ringgit itu kepada Kumpulan Berjaya Corporation bagi mengendalikan pertaruhan judi bola sepak sempena temasya sukan itu Jun ini.

Ketua Wira Perkasa, Arman Azha Abu Hanifah, berkata isu ini bukan sekadar ‘halal atau haram’, tapi ia dilihat satu tindakan yang boleh menggugat kestabilan sosial.

“Parti pemerintah dan parti pembangkang boleh menggunakan kuasa yang diberi rakyat untuk membuat tindakan dengan mengusulkannya di Parlimen.

“Sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Wira Perkasa hanya mampu mendesak pihak terbabit untuk memansuhkan akta itu kerana kuasa terletak di tangan Ahli Parlimen,” katanya.

Arman ditemui pada sidang media anjuran Wira Perkasa mengenai bantahan pelaksanaan pemberian lesen judi Piala Dunia 2010 di ibu pejabat pertubuhan itu di sini, semalam. Beliau turut meminta isu itu tidak dipolitikkan melalui bantahan jalanan dan demonstrasi kerana ia akan lebih memburukkan keadaan.

Beliau mencabar Pakatan Rakyat (PR) terutama Pas dengan sokongan DAP untuk membahas bantahan pelaksanaan pemberian lesen judi terbabit di Parlimen. Menurutnya, sebelum ini DAP pernah difahamkan turut tidak bersetuju pemberian lesen judi itu.

“Jika mereka tidak bersetuju, gunakan saluran betul dan sekiranya benar mereka membangkang pemberian lesen judi itu, ini bermakna mereka mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara Islam,” katanya.

Atas desakan itu, Wira Perkasa kini mengambil inisiatif mengumpul 40 ribu tanda tangan orang ramai yang bersetuju membantah pelaksanaan lesen judi Piala Dunia untuk diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelang minggu hadapan. Pertubuhan itu juga memohon badan NGO lain yang bersetuju dengan bantahan itu untuk turut serta memperjuangkan tindakan mereka itu.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung berkata Kementerian Kewangan sudah memberi lesen kepada sebuah syarikat tempatan untuk menjalankan kegiatan pertaruhan judi bola sepak pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010. (AK)

Ada Kaitan..

'Ayam den lapeh' Naikkan Elly Kassim, Tetapi...

HALAMAN HIBURAN

JAKARTA MEI 21: SELAIN lagu 'Bengawan Solo' (Lihat halaman Hiburan sebelum ini Perginya Meastro 'B/Solo', Sumbang Pada Islam? ) , lagu 'klasik Ayam Den Lapeh' juga agak terkenal. Bukan saja mengangkat nama Elly Kassim, 66, sebagai penyanyi malah membawanya menjelajah pelusuk dunia mengalunkan lagu berbahasa Minang itu.

Anak Minang kelahiran Tiku, Kabupaten Agam, Sumatera Barat pada 27 September 1944 ini baru pulang dari jelajah beberapa negara Eropah termasuk Perancis dan Poland selama 20 hari. Baru-baru ini dia diundang ke Kuala Lumpur bersama seorang lagi penyanyi Indonesia, Eddy Silitonga untuk menjayakan teater Teratak Minang. Elly berkata, apabila ke Barat, dia akan ditemani rakan baiknya, Biduanita Titiek Puspa dan mereka menghiburkan penonton di sana dengan lagu-lagu Minang dan Batak.

Selain itu kumpulan penarinya, Sang Rima Bunda yang sudah bersamanya sejak 1975, juga akan sama mengelilingi dunia. Tentunya lagu Ayam Den Lapeh tidak pernah ketinggalan untuk disampaikan mereka.

"Sebenarnya saya bukanlah penyanyi asal lagu ciptaan Pak Hamid itu sebaliknya mula dirakamkan Orkes Gumarang pada 1950-an. Saya rakamkan lagu itu pada 1964 dan ia terus jadi top. Sebelum dikenali dengan lagu itu, saya popular dengan lagu Kudaku Lari yang dirakamkan pada 1963.

"Ayam Den Lapeh dirakamkan di Singapura ketika saya menjayakan persembahan selama sebulan bersama Diah Iskandar dan Ernie Djohan. Ternyata lagu itu membawa tuah kepada saya hingga dikenali sehingga kini. "Apabila menjayakan persembahan di Kuala Lumpur 1970-an, ramai di sini mula mengenali saya dengan lagu itu. Malah syarikat rakaman tawarkan saya rakam album dan saya pernah merakamkan lagu duet dengan Jeffrydin pada 1971.

"Banyak sekali kenangan saya di Malaysia dan saya juga pernah mendapat anugerah seperti Anugerah Bintang Seniman iaitu Penghargaan Khas Penyanyi Tradisional pada Jun 2007. Saya juga sering diundang menyanyi di sini.

"Jadi peluang menjayakan teater Teratak Minang satu penghargaan besar buat saya kerana pementasan ini menggabungkan penyanyi dari dunia negara. Semoga hubungan baik ini tambah mesra dengan adanya jalinan kerjasama ini," katanya.

Sejak menyanyi pada 1961, Elly merakamkan lebih 1,000 lagu dan mempunyai lebih 100 album. Atas sumbangan besarnya pada seni, Elly menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat (A Lifetime Achiefment Award) sebagai tokoh kebudayaan dan pelancongan Sumatera Barat 2008 sempena West Sumatera Tourism Award 2008.

Kata Elly, dia tidak menetap lama di kampung kelahirannya kerana berpindah ke Bukit Tinggi dan Pekanbaru ketika di sekolah rendah dan kini menetap di Jakarta.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Selain Ayam Den Lapeh, Elly juga popular dengan lagu Kaparinyo, Mudiak Arau, Kelok Sembilan, Baralek Gadang, Sansaro Badan, Bapisah Bukan Bacarai, Usah Di Ratok, Roda Padati dan Bareh Solok. Elly juga boleh menyanyi lagu bahasa Batak, Kalimantan dan Kerinci.

Sayangnya artis ini seorang wanita, maka amat sukar untuk diselaraskan aktivitinya dengan kehendak Islam. Hal ini amat penting, bagaimana mengawal aurat dan sebagainya..

Inilah sarikata lagunya...

AYAM DEN LAPEH
Luruihlah jalan Payakumbuah
Babelok jalan ka Andaleh
Dima hati indak karasuah
Ayam den lapeh
Oi oi ayam den lapeh

Mandaki jalan pandai sikek
Manurun jalan ka palupuah
Dima hati indak kamaupek
Awak takicuah
Oi oi ayam den lapeh

Siku capang siku capeh
Saikua tabang sikua lapeh
Lapehlah juo nan karimbo
Oi lah malang juo

Pagaruyuang hai Batu Sangkar
Tampek bajalan urang basor
Duduak tamanuang tiok sabantar
Oi takanang juo

Oi oi ayam den lapeh
oi oi ayam den lapeh

Oslan Hussein : Ayam Den Lapeh (HQ Audio)

<div id="" class="yt-alert yt-alert-error yt-alert-player yt-rounded"> <div class="yt-alert-icon master-sprite"></div> <div id="" class="yt-alert-content"> You need Adobe Flash Player to watch this video. <br> <a href="http://get.adobe.com/flashplayer/">Download it from Adobe.</a> </div> <div class="clear"></div> </div>

Perginya Meastro 'B/Solo', Sumbang Pada Islam?

HALAMAN HIBURAN

SURABAYA MEI 21: Gesang Martohartono, maestro muzik keroncong dan penggubah lagu tersohor "Bengawan Solo" meninggal dunia petang semalam di Rumah Sakit PKU Muhammadiyah Solo, tempat beliau menjalani rawatan sejak 12 Mei lalu.

Gesang, 92, meninggal dunia pada jam 6.10 petang semalam, menurut pasukan doktor yang merawatnya. Jenazahnya akan dikebumikan hari ini namun belum ditentukan di mana jenazahnya akan disemadikan.

Akhir Januari lalu, Gesang menjalani pembedahan prostat di hospital yang sama. Gesang yang dilahirkan pada 1 Okt 1917, dikenali sebagai maestro keroncong Indonesia yang terkenal di Asia, terutama di Jepun.

Lagu Bengawan Solo telah diterjemahkan ke dalam 13 bahasa termasuk bahasa Inggeris, Cina dan Jepun serta pernah digunakan dalam sebuah filem Jepun. Lagu yang menceritakan tentang sungai terpanjang di Pulau Jawa itu dicipta pada tahun 1940 ketika Gesang berusia 23 tahun dan mengambil enam bulan untuk dihasilkan.

Sebelum menjadi pencipta lagu, beliau merupakan penyanyi keroncong di pesta perkahwinan. Gesang yang tidak mempunyai anak, tinggal bersama keluarganya di Serengan, Solo setelah berpisah dengan isterinya pada 1962.

Sebagai menghargai jasanya terhadap perkembangan muzik keroncong, pada tahun 1983 Jepun mendirikan Taman Gesang dekat Bengawan Solo. Taman itu dibiayai oleh Dana Gesang, sebuah pertubuhan yang ditubuhkan di Jepun.

Antara anugerah yang diterima Gesang ialah Bintang Penghargaan dari Maharaja Jepun, Maharaja Akihito pada 1992 dan Tanda Kehormatan Bintang Budaya Parama Dharma dari Presiden Indonesia. - Bernama
Komen Blog Ibnu Hasyim: Begiu besar pengaruh lagu dalam kehidupan manusia. Apakah sumbangan lagu 'Begawan Solo' kepada agama Islam.. Sumbangan atau sumbang?

Original Bengawan Solo



<div id="" class="yt-alert yt-alert-error yt-alert-player yt-rounded"> <div class="yt-alert-icon master-sprite"></div> <div id="" class="yt-alert-content"> You need Adobe Flash Player to watch this video. <br> <a href="http://get.adobe.com/flashplayer/">Download it from Adobe.</a> </div> <div class="clear"></div> </div>


Thursday, May 20, 2010

Sokong Dr. Toh. Islam Benarkan Siswa Berpolitik


KL, 20 Mei 10: Pengerusi Pusat Perkembangan Budaya LLG, Datuk Dr. Toh Kin Woon berkata, tindakan empat mahasiswa Sains Politik UKM yang terlibat dalam kempen Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor seharusnya digalakkan dan bukan diambil tindakan oleh pihak Universiti.

Beliau dalam satu kenyataan memberitahu, tindakan empat pelajar tersebut sebenarnya selari dengan Seksyen 119(1a) dalam Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan semua warganegara yang mencapai umur 21 tahun berhak menyertai politik dan layak mengundi dalam pilihanraya.

"Oleh itu, penyertaan politik ialah satu hak yang sah menurut perlembagaan, tiada sesiapa orang termasuk menteri berkuasa mencabuli hak mereka," katanya.

Empat mahasiswa jurusan Sains Politik UKM iaitu Hilman Idham, Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Adzha dan Woon King Chai akan didakwa di Mahkamah Universiti UKM atas pertuduhan melakukan kesalahan menyalahi undang-undang seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 ekoran terlibat pada PRK Hulu Selangor.

Selain itu, Kin Woon berkata tindakan keempat-empat mereka juga wajar dipuji kerana berani mempraktikkan hak demokrasi mereka dikala mendapat tekanan dari Kementerian Pengajian Tinggi dan juga Akta Universiti dan Kolej Universiti (auku).

Menurutnya, kekurangan ruang demokrasi di universiti telah menjadikan ramai mahasiswa tidak prihatin terhadap masyarakat. Namun empat pelajar UKM tersebut telah membuktikan keprihatinan mereka terhadap Masyarakat.

"Dengan suasana intimidasi dan amaran Menteri Pengajian Tinggi Khaled Nordin, 4 orang mahasiswa yang mengikuti kursus politik masih berani mempraktikkan hak demokrasi mereka, tindakan ini harus digalakkan dan mendapat sokongan masyarakat.

"Sebab tindakan mereka menunjukkan pemikiran yang matang, rasa tanggungjawab dan keprihatinan terhadap masyarakat dan pembangunan negara, ” katanya lagi.

Justeru, beliau menggesa Timbalan Canselor UKM Profesor Tan Sri Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin menggugurkan dakwaan terhadap ke empat-empat yang dituduh dan menghentikan prosiding yang dijadual 4 Jun hadapan..

Pusat Perkembangan Budaya LLG juga katanya menyarankan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menghormati hak demokrasi mahasiswa yang termaktub di dalam perlembagaan, mengusulkan pemansuhan Auku serta merta.

Khaled katanya juga perlu merancang pelan pembaharuan pendidikan pengajian tinggi jangka masa panjang untuk menunjukkan janji ikhlas beliau dalam peningkatan kualiti IPTA.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Sokong kenyataan di atas. Islam juga tidak menghalang anak-anak muda berpolitik. Dalam Al-Quran sendiri penuh dengan adengan-adengan politik. Lebih tinggi dan hebat dari politik kedaerahan dan perkauman sempit UMNO. (2MA)

Bung Mokhtar: Komen Dr Mohd Asri & PKR.. PAS?

Membendung ketidakadilan poligami dengan menghalang poligami.

MEI 20 10: Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan perasaan simpatinya terhadap Datuk Bung Mokhtar dan isterinya Zizie Izette A Samad yang didapati bersalah menikah tanpa kebenaran oleh mahkamah rendah syariah.

Menurut Dr Mohd Asri (kiri), kedua-dua pasangan sensasi itu terpaksa menerima hukuman "hanya kerana berpoligami".

"Dalam masa yang sama, kita boleh melihat berbagai filem dan aktiviti seni yang berpelukan dan bermesraan atas pentas, ditonton ramai tidak pernah diambil tindakan.

"Jika pun pihak jabatan agama ingin membendung salah laku atau salah guna poligami, buatlah peruntukan undang-undang yang tegas kepada suami yang berpoligami tetapi tidak menjalankan tanggungjawab," katanya.

Semalam, selain dijatuhi penjara sebulan, Bung Mokhtar - ahli parlimen Kinabatangan - didenda RM1,000 bagi satu lagi kesalahan bernikah tanpa kebenaran dan berhadapan dengan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Isteri keduanya, Zizie - seorang pelakon - pula didenda RM1,000 bagi setiap dua kesalahan. Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur bagaimanapun membenarkan permohonan Bung Moktar untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sebulan terhadapnya.

Dalam satu kenyataan semalam, Dr Mohd Asri berpendapat, bagi membendung ketidakadilan poligami dengan menghalang poligami hanyalah meningkatkan maksiat semata-mata.

"Malanglah, jika yang berkahwin diambil tindakan, tetapi 'ada yang ternama tidak berkahwin' bebas dengan pasangannya yang ternama," kata Pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM) itu.

Sementara itu Wanita PKR Selangor pula mempunyai pandangan berbeza dengan tokoh agama yang terkenal dengan kelantangannya itu.

Seragamkan undang-undang, elak kekeliruan

Dalam kenyataannya semalam, sayap wanita PKR negeri itu "mengucapkan tahniah kepada Hakim Wan Mahyuddin Wan Muhammad kerana tegas menangani isu berkaitan poligami."

"Wanita Keadilan Selangor memandang serius isu poligami tanpa izin. Perkara ini boleh menjelaskan keharmonian keluarga sekiranya tidak ditangani. Dengan kadar penceraian yang sangat tinggi di Selangor hal ini perlu dipandang serius.

"Pandangan isteri pertama harus diambil kira, kerana jika isteri pertama tidak memahami keperluan poligami bagi suami mereka ia akan menjejaskan institusi keluarga," kata ketuanya Haniza Talha (kiri).

Dalam satu kenyataan semalam, Haniza yang juga timbalan speaker Selangor turut mencadangkan supaya undang-undang berkaitan poligami diseragamkan bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat.

"Jika seorang ahli parlimen (Seperti Bung Mokhtar) boleh melakukan pelanggaran terhadap undang-undang berkaitan poligami mungkin kerana keliru, apa lagi masyarakat biasa yang mungkin tidak jelas dengan undang-undang yang ada," kata ADUN Kampung Medan itu.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Itu pendpat Dr Mohd Asri & Keadilan. Apa kata PAS pula?

Sebelum ini...

Wednesday, May 19, 2010

Peguam Syarie B/Islam: Pandangan Ust Zaharuddin

MARI kita lihat ulasan Zaharuddin Abd Rahman mengenai perlantikan Peguam Syari'e dari kalangan bukan Islam. Apakah terdapat larangan khusus atau keharusan tentangnya di dalam Islam?

Jawapan beliau...

Saya kira isu ini memerlukan perbincangan lanjut dengan lebih terperinci khususnya yang melibatkan peruntukan undang-undang dan yang berkait dengannya.

Selain itu, perkara berkait nas syarak dan juga kesan positif serta negatifnya juga perlu diteliti. Semua perlu didiskusikan bagi memperolehi satu keputusan paling konkrit dan wajar. Artikel yang saya tulis ini hanyalah sekelumit perbincangan yang berkaitan, ia ditulis dalam bentuk agak ringan untuk pembacaan awam. Ia tentunya tidak cukup untuk menetapkan pendirian terbaik namun saya kira cukup untuk memberikan sedikit jawapan dan rujukan untuk perbincangan yang lebih mendalam dan ilmiah.

Jika kita menelusuri khazanah ilmu Islam terdapat beberapa perkara boleh dijadikan rujukan iaitu:-

1. Firman Allah swt :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلّهِ شُهَدَاء بِالْقِسْطِ وَلاَ يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلاَّ تَعْدِلُواْ اعْدِلُواْ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُواْ اللّهَ إِنَّ اللّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al-Maidah : 8)

Ayat ini secara jelas mengarah umat Islam mengenakkan keadilan dan kebenaran dalam apa jua penilaian dan hukuman yang dijatuhkan. Justeru menjadi objektif Shariah, apa sahaja perkara harus (yang tiada larangan khusus) boleh mendekatkan kepada keadilan akan turut dibenarkan.

Dalam konteks ini, demi menegakkan keadilan dalam pemutusan hukum Shariah di mahkamah, tentunya Hakim mestilah seorang Muslim, malah mempunyai syarat tertentu tambahan pula. Saya kira, adalah jelas hakim di Mahkamah Syariah MESTILAH dan WAJIB seorang MUSLIM.

Namun status peguam, bagi saya mereka HANYALAH pelaksana atau bidang kuasanya terhad seperti pegawai eksekutif sahaja, bukan pemutus. Malah semua hujjahnya dalam dakwaan atau pembelaan terhadap anak guamnya belum tentu diterima oleh Hakim Syarie. Perbicaraan pula boleh dibuat secara tertutup. Justeru tidak timbul persoalan, peguam terbabit akan menyelewengkan nas Al-Quran atau hadis, kerana sebarang penyelewengan akan ditolak oleh hakim dan peguam lain. Maka dalam konteks tersebut, saya melihat tiada masalah bagi seorang peguam Syarie walau dari kalangan bukan Muslim.

Ia hampir sama dengan situasi perbankan dan kewangan Islam hari ini yang dipenuhi dengan CEO, pengurusan tertinggi serta eksekutif yang bukan beragama Islam. Namun tentunya, mereka diperlukan mempunyai beberapa kriteria dan kelayakan tertentu untuk menduduki jawatan di sektor kewangan Islam. Khususnya ilmu dan pengetahuan di dalam hal ehwal hukum Shariah di dalam bidang Fiqh Mu'amalat.

Apa yang tidak wajar atau TIDAK DIBOLEHKAN adalah bukan Muslim menjadi ahli Majlis Penasihat Shariah di mana-mana institusi kewangan Islam. Ini kerana jawatan tersebut memerlukan kriteria seperti hakim di mahkamah Shariah yang perlu menghayati Islam dalam ilmu, kehidupan dan keimanan di hati. Alhamdulillah setakat ini, masih belum ada mana-mana individu atau ilmuan bukan Islam yang dilantik menjadi ahli penasihat Shariah.

2) Allah juga mengingatkan :-

سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ فَإِن جَآؤُوكَ فَاحْكُم بَيْنَهُم أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ وَإِن تُعْرِضْ عَنْهُمْ فَلَن يَضُرُّوكَ شَيْئًا وَإِنْ حَكَمْتَ فَاحْكُم بَيْنَهُمْ بِالْقِسْطِ إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Ertinya : Mereka itu adalah orang-orang yang suka mendengar berita bohong, banyak memakan yang haram. Jika mereka (orang Yahudi) datang kepadamu (untuk meminta putusan), maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka, atau berpalinglah dari mereka; jika kamu berpaling dari mereka maka mereka tidak akan memberi mudarat kepadamu sedikit pun. Dan jika kamu memutuskan perkara mereka, maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka dengan adil, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang adil ( Al-Maidah : 42)

Ayat ini menunjukkan mahkamah Islam sentiasa sedia menerima mana-mana individu bukan Islam untuk mencari keadilan atau mendapatkan hukuman terbaik di atas pertikaiannya berdasarkan ketentuan hukum Shariah. Justeru, dalam konteks memberikan pembuktian, mengemukan hujjah, sudah tentulah individu bukan Islam tersebut BEBAS untuk berhujah di mahkamah (jika dia tidak diwakili oleh mana-mana peguam). Keadaan ini secara langsung menjelaskan bahawa mahkamah Islam menerima hujah dari individu bukan Islam sama ada atas nama pendakwa, tertuduh dan sekaligus peguam yang mewakili anak guamnya.

3. Allah swt berfirman :

إنَّا أَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللّهُ وَلاَ تَكُن لِّلْخَآئِنِينَ خَصِيمًا

Ertinya : Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu, dan janganlah kamu menjadi penentang (orang yang tidak bersalah), kerana (membela) orang-orang yang khianat...(An-Nisa : 105)

Menurut para ulama, ayat ini sangat PERLU DAN WAJIB diHAYATI OLEH SEMUA PEGUAM MUSLIM, amat bertepatan dengan kerjaya peguam yang bertugas di mahkamah keadilan. Menurut mufassirin, ayat ini diturunkan ke atas kes seorang Munafiq bernama Tu'mah Ibn Abiraq.

Hasil daripada ayat tersebut, Rasulullah menarik semula hukuman ke atas Yahudi yang dituduh oleh seorang Munafiq bernama Tu'mah ibn Abiraq mencuri baju besi perang kepunyaan Qatadah Bin Nu'man. Padahal Tu'mah yang mencurinya dan menyembunyikannya di rumah lelaki Yahudi yang juga merupakan jirannya. Kes ini berakhir dengan hukuman dikenakan ke atas Yahudi, namun Allah menurunkan satu ayat menunjukkan Yahudi terbabit tidak bersalah iaitu surah An-Nisa ayat 105-109. (Tafsir Ibn Kathir, 1/552 ; Al-Durru Al-Manthur, As-Sayuti, 2/673 ;)

Imam Al-Razi berkata ketika menghuraikan ayat 105 surah an-Nisa di atas:

وكان الغرض من هذا النهي تنبيه النبي عليه الصلاة والسلام على أن طعمة كذاب وأن اليهودي برىء عن ذلك الجرم

Ertinya : Tujuan dari larangan (janganlah kamu menjadi penentang (orang yang tidak bersalah) adalah peringatan kepada Nabi s.a.w bahawa sesungguhnya Tu'mah berbohong dan Yahudi tersebut tidak bersalah atas dakwaan jenayah mencuri tersebut.(Tafsir al-Kabir, 11/28)

Ayat ini juga menjelaskan secara terang bagaimana seorang bukan Islam dari kalangan Yahudi diadili di Mahkamah Islam di zaman Rasulullah. Sebagaimana di atas, tentunya Yahudi terbabit telah diberikan peluang oleh Rasulullah untuk membela dirinya. Namun pembelaannya gagal. Pembelaan bermaksud menjalan tugas seperti peguam. Namun jelas keadilan sentiasa dijamin pemutusan hukuman dalam kes di atas ini telah dipandu oleh Allah ta'ala.

4. Athar

Kisah perbicaraan antara Khalifah Ali k.w selaku Amirul Mukminin ketika itu dengan seorang Yahudi perihal baju besi wajar dijadikan rujukan.

Asalnya khalifah Ali kehilangan baju besinya. Tiba-tiba terlihat ia dalam barang jualan seorang Yahudi, lelaki tersebut kelihatan sedang menjualnya di pasar. Apabila dituntut oleh khalifah Ali dengan mengatakan ia adalah baju besinya yang jatuh dari untanya di malam hari, lelaki Yahudi tersebut enggan mengaku dan menegaskan ia adalah miliknya. Ali terus menuntut membawa pertikaian mereka mereka ke penghakiman hakim Muslim.

Hasil dari itu, kes mereka berdua yang berselisih dalam menentukan pemilikan terhadap baju besi tersebut dibawa ke pengadilan Qadhi Syuraih Ibn Harith Al-Kindi r.a (wafat 78 H). Lalu Syuraih bertanya kepada Ali, apakah kisahmu?

Khalifah Ali : aku mendapati baju besi milikku yang jatuh tercicir pada malam hari berada di dalam barang jualan lelaki ini.

Qadhi Syuraih : bagaimana pula kamu wahai lelaki?

Lelaki Yahudi : Ia adalah milikku dan berada dalam simpananku, aku tidak pula menuduh Ali berbohong.

Qadhi Syuraih : Wahai Ali, aku tidak syak atas kejujuranmu namun kamu mesti mempunyai dua orang saksi. Adakah kamu mempunyai bukti ia milikmu?

Jawab Khalifah Ali : Ya, kedua anakku, Hasan dan Husain menjadi saksi bahawa ia kepunyaanku.

Qadhi Syuraih :Sesungguhnya penyaksian anak terhadap bapanya dalam kes ini tidak diterima.

Khalifah Ali : Subhanallah!. Adakah lelaki yang dijamin syurga tidak diterima penyaksiannya ( merujuk kepada Hasan dan Hussain yang disebut oleh nabi akan menjadi pemuda Syurga)

Qadhi Syuraih : bahkan wahai Amirul Mukminin, namun aku tidak boleh membenarkan penyaksian anak menyokong bapanya dalam kes ini.

Qadhi Syuraih : Wahai lelaki, ambillah, baju besi itu adalah milikmu.

Lelaki Yahudi berkata :

أمير المؤمنين قدمني إلى قاضيه! وقاضيه يقضي عليه! أشهد أن هذا الدين على الحق، وأشهد أن لا إله إلا الله، وأن محمداً عبده ورسوله، وأن الدرع درعك يا أمير المؤمنين، سقطت منك ليلاً.

Ertinya : Amirul Mukminin Ali membawaku untuk diputuskan hukuman melalui mahkamahnya (islam) dan Qadhi pilihannya. Qadhi pilihannya memutuskan sebaliknya.! Aku bersaksi sesungguhnya agama ini adalah BENAR, lalu beliau terus mengucap dua kalimah shahadah. Kemudian, berkata : Sesungguhnya baju besi tersebut adalah milikmu wahai Amirul Mukminin, tercicir darimu di malam hari. (Hilyatul Awliya, Abu Nu'aim Al-Esfahani, 4/140 ; Tarikh al-Khulafa, As-Sayuti, 1/185 ; Akhbar Al-Qudhah, Waki', 2/200)

Namun kemudiannya Ali terus menghadiahkannya kepada lelaki tersebut.

Jelas sekali lagi dalam kisah di atas bagaimana lelaki bukan Islam Yahudi ini dibenarkan berhujjah untuk dirinya sendiri. Menggunakan peguam adalah sama seperti berhujjah kepada diri sendiri, kerana peguam hanyalah wakil yang mewakili anak guamannya disebabkan kredibiliti, pengalaman dan pengetahuan undang-undang yang lebih baik berbanding anak guamannya.

KESIMPULAN

Hasil dari ringkasan dalil di atas, buat masa ini saya berpandangan, secara ilmiah, logik dan asalnya, tiada salah mana-mana peguam sama ada dalam kes yang melibatkan harta seperti di atas atau kes kekeluargaan dan sebagainya bertindak selaku peguam bagi anak guamannya. Tanpa mengira agama anutannya, apa yang asas adalah hujahnya mestilah menepati displin ilmu Islam yang ‘valid'.

Namun demikian, perlu saya ingatkan sekali lagi, artikel ini hanyalah ulasan ringkas menjawab soalan yang diutarakan. Justeru, beberapa persoalan lain juga perlu diambil kira khususnya dari sudut undang-undang dan pentadbiran.

Sebagaimana isu penggunaan nama Allah, pemerintah mempunyai kuasa ekslusif untuk menyekat jika diyakini ia boleh membawa mudarat tertentu. Malah jika tiada mudarat sekalipun, Allah memberikan kebebasan. Ini jelas dari ayat kedua yang saya bawakan di atas juga iaitu :

فَإِن جَآؤُوكَ فَاحْكُم بَيْنَهُم أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ

Ertinya : Sekiranya mereka datang kepadamu, jalankanlah proses hukuman di antara mereka atau kamu boleh berpaling

Imam Al-Baidhawi dan lain-lain mufassirin menjelaskan:

تخيير لرسول الله صلى الله عليه وسلم إذا تحاكموا إليه بين الحكم والإعراض

Ertinya : Ia merupakan pemberian pilihan kepada Rasulullah s.a.w apabila mereka datang meminta hukuman darinya, sama ada untuk menerima atau menolak ( Tafsir Al-Baidhawi, 2/326)

Justeru itu, pendirian Islam dalam hal ini terbuka kepada pemerintah dan hakim Syar'ie. Mereka boleh menerima kes yang melibatkan bukan Islam di dalam mahkamah mereka, atau menolak. Jika demikian, ini bermakna, menurut peruntukan yang jelas dari Allah ta'ala, Mahkamah Islam juga bebas sama ada untuk menerima peguam Syari'e bukan Islam atau menolaknya sebagaimana halnya penerimaan untuk membicarakan kes mereka atau menolaknya. Kedua-duanya dibenarkan oleh Allah ta'ala

Selain itu, pemerintah sama ada atas nama jabatan Agama Islam negeri berkenaan atau lainnya, mereka mempunyai hak untuk menyusun atur kelayakan khusus untuk sesuatu posisi dan jawatan di dalam perkhidmatan. Justeru, jika telah ditetapkan oleh mana-mana negeri, peguam syarie di negeri mereka mestilah dari kalangan mereka yang beragama Islam sahaja, maka hal tersebut adalah ‘valid' dan wajar dipatuhi.

Pada hemat saya, ia adalah undang-undang yang bersifat administrative dan bukan tegahan atas nama ‘agama' atau dari hujah agama' (kerana kelihatan tiada halangan dari sudut agama), ia adalah syarat pentadbiran, seperti mesti menjalani peperiksaan PTK untuk kenaikan pangkat, menghadiri majlis konvokesyen universiti dengan jubah khas. Memasuki sebahagian kawasan hospital dengan pakaian khas dan sebagainya. Jika kita mampu untuk memahami sedemikian, isu pentadbiran seperti itu, tidaklah wajar diperbesarkan.

PRAKTIKALNYA

Secara praktikalnya saya juga kurang setuju bukan Muslim menjadi Peguam Syari'e, namun apa yang saya bicarakan dalam artikel di atas adalah sebahgain aspek dari sudut hukum. Persoalan peguam ini termasuk dalam bab ‘Al-Wakalah bil Khusumah' atau ‘Al-Wakalah Fi Al-Da'wa'.

Ertinya, perlantikan seseorang terhadap peguam untuk mewakili dirinya dalam perbicaraan. Disebutkan dengan jelas oleh para ulama keharusan bukan Islam untuk mewakili orang Islam dalam apa juga kes melibatkan harta, keluarga, hak pusaka dan sebagainya.

Imam Ibn Qudamah mengatakan :


وإن وكل مسلم كافرا فيما يصح تصرفه فيه صح توكيله سواء كان ذميا‏,‏ أو مستأمنا لأن العدالة غير مشترطة فيه

Ertinya : sesungguhnya jika seorang Muslim melantik wakilnya seorang akfir dalam apa jua perkara yang sah untuknya bertindak, mak sah perlantikannya sebagai wakil (dalam konteks perbincangan kita wakil bil khusumah = wakil pembela atau pendakwa), sama ada kafir itu dari kalangan kafir dzimmi, musta'min kerana keadilan itu tidak disyaratkan (berkait) padanya' ( Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah , Bab Wakalah)

Kerana itu saya katakan, dari sudut hukum Islam, bukan Islam dibenarkan mewakili muslim di mahkamah sama ada mahkamah civil atau mahkamah Syariah (dalam konteks Malaysia). Cuma ia terikat kepada undang-undang administrative yang memerlukan muslim sahaja di mahkamah syariah. Cuma artikel saya lebih kepada mengajak pembaca mendapat info hukum asal, bukan terlalu specific dan menjawab persoalan dalam konteks Malaysia secara khusus.

Adapun hal-hal dan isu seperti ‘kebenaran itu akan menutup peluang kerja muslim', ‘peguam muslim masih ramai', ‘agenda kuffar', ‘aqidah umat islam sedang lemah', ‘agenda murtad bertambah', ‘bagi betis nak peha', ‘kelak nanti memohon menjadi hakim syarie pula' dan sebagainya.

Semua itu adalah faktor-faktor mendatang (li ghayrihi), maka ia memerlukan perbincangan berasingan dan memerlukan berbukti. Maka terbukti, pemeirntah smemeangnya boleh melarang, namun larangan itu bukan atas dari larangan asal yang bersifat (li zatihi) tetapi larangan yang bersifat mendatang. (li ghayiri).

Kita perlu faham satu demi satu dimulakan dengan perspektif hukum Fiqh yang asal terlebih dahulu Sekian.

Zaharuddin Abd Rahman www.zaharuddin.net 18 Mei 2010

Sebuah persembahan awal dari Blog Ibnu Hasyim. Forum ini akan dilanjutkan..

Sebelum ini...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails