Saturday, June 12, 2010

Pertingkat Kebajikan Pemandu Teksi -Husam Musa

KOTA BHARU, 12 Jun 10: Kerajaan Negeri Kelantan bertanggungjawab memastikan kebajikan pemandu-pemandu teksi untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi Kewangan dan Kebajikan Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, pihaknya komited memastikan perkhidmatan untuk rakyat di pertingkatkan dari masa ke semasa.

Menurut beliau, kerajaan negeri berusaha membangunkan prasarana lebih baik termasuk melebarkan dan membaik pulih jalan raya untuk kemudahan rakyat. Oleh kerana itu katanya, Kelantan menuntut hak royalti minyak sebanyak RM2 bilion yang dinafikan oleh Kerajaan Pusat.

"Jika kita dapat RM2 bilion ini, kita akan memberi lebih kebajikan dan kesejahteraan terhadap rakyat," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-38 Persatuan Kebajikan Driver-Driver Kelantan. (PKDK) di Auditorium Mara dekat sini semalam. PKDK merupakan sebuah persatuan yang menggabungkan pemandu-pemandu teksi dan kereta sewa seluruh Kelantan.

Husam berkata pemandu-pemandu teksi dan kereta sewa turut bertanggungjawab untuk membantu mempromosikan program-program kerajaan. Antara program yang harus dipromosikan ialah Dinar Emas yang dilancarkan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Husam juga mengingatkan pemandu-pemandu teksi, selain berusaha mempertingkatkan rezeki, mereka tidak harus lupa beribadah kepada Allah.

"Jika ada penumpang kita boleh pasang keset Tok Guru, berzikir dan sebagainya.

"Jika tidak ada penumpangpun, pemandu harus berzikir kepada Allah keran hanya dengan zikrullah, akan menenangkan hati," ujarnya.

Sebelum itu Pemangku Yang Di Pertua PKDK, Ismail Abdullah berkata persatuan tersebut ditubuhkan pada tahun 1961. Ia merupakan antara persatuan yang tertua di Kelantan, menggabungkan pemandu-pemandu dari 13 jajahan seluruh Kelantan. (2MA)

Body to Body, Urut Ditahan. Belum Jumpa Formula?

TAHAN...gadis urut warga asing yang ditahan, kelmarin.

Gadis urut warga asing yang ditahan, kelmarin.


KL JUN 12 10: Lagi, empat wanita warga asing yang bekerja sebagai tukang urut di sebuah pusat refleksologi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini, yang turut menawarkan khidmat urutan ‘Body to Body’ atau B2B, juga khidmat seks kepada pelanggan ditahan selepas pusat itu diserbu malam kelmarin.

Serbuan kira-kira jam 11 malam itu dibuat sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) sebaik menerima maklumat awam.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Syabas pihak berwajib. Masih belum ada lagikah formula penyelesaian yang berkesan? (AK)

Hilang Kerusi Dimenangi Jika Terperangkap... W/PAS K/Pasu

Taib Ahmad, wakil Kubang Pasu

KOTA BARU, 12 Jun 10: PAS akan kehilangan kerusi-kerusi yang dimenangninya jika terperangkap dengan idea kerajaan perpaduan, kata perwakilan Kubang Pasu, Taib Ahmad.

“PAS kini berada di landasan yang betul dan perlu memantapkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

“Jika PAS terperangkap dengan kerajaan perpaduan, yang sedang cuba dibawa oleh sesetengah pihak, kita akan kalah di keseluruhan kawasan yang kita menang,” katanya.

Menurutnya, kita kena yakin dengan kedudukan bersama Pakatan Rakyat dan perlu memantapkan terus Pakatan Rakyat supaya gagal matlamat usaha untuk “pecah dan perintah” yang masih berterusan.

Sehubungan dengan itu, ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad menolak tanggapan mendakwa PAS sudah mula kehilangan sokongan pengundi-pengundi Melayu hanya kerana menjalin kerjasama dengan komponen Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum lalu.

Ketika beberapa perwakilan menimbulkan kebimbangan bahawa PAS kemungkinan akan kemerosotan sokongan pengundi Melayu Islam disebabkan kerjasama dengan Pakatan Rakyat dan pembentukan Dewan Himpunan Penyokong PAS, Khalid berkata, hakikatnya undi diterima parti itu terus mengalami peningkatan.

“Ketika kita hendak menggantikan Umno... tanggapan undi Melayu lari daripada PAS kerana bersama Pakatan Rakyat, itu (saya rasa) tanggapan yang meleset,” kata beliau ketika membahaskan usul persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 pada Muktamar Tahunan PAS Ke-56 di sini petang ini.

Sambil memetik hasil kajian badan pemikir Insap, Khalid berkata, maklumat menunjukkan jumlah undi yang diterima oleh PAS sepanjang tiga pilihan raya umum yang lalu terus meningkat.

Kata beliau, hasil kajian itu mendapati PAS menerima 367,000 undi pada pilihan raya umum 1999 dan ia meningkat kepada 1.1 juta undi dua tahun yang lalu.

“Bermakna undi kepada PAS meningkat tiga kali ganda,” kata beliau yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam.

Khalid juga berkata, “kita sibuk kata orang Melayu berkata tak perlu sokong PAS sebab Umno memerintah.”

“(Sebenarnya) orang Melayu tak sokong, yang sokong ialah orang Melayu Islam yang mendukung nilai-nilai pentadbiran Islam yang dibawa oleh PAS.

“Jangan makan propaganda Umno-BN,” katanya.

Selain merujuk kepada hasil kajian badan pemikir itu tambah Khalid, kejayaan PAS menembusi Johor menunjukkan sokongan kepada parti itu meningkat kebelakangan ini.

“Kita pernah tanding di Johor tetapi sampai hilang deposit. Tetapi sekarang benda itu sudah tidak berlaku.

“Apa yang berlaku ialah anjakan dalam di mana orang-orang Melayu bergerak kepada PAS kerana kita amalkan dasar politik yang baru... yang memenuhi keperluan masyarakat majmuk dan ia boleh dilakukan dan kita sudah mampu dilakukan, di negeri-negeri yang Pakatan perintah sekarang,” katanya lagi.

Pada pilihan raya umum lalu PAS menang di kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Abong dan Maharani.

“Kalau dengan semangat kebangkitan yang sama, dengan kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat, kita boleh menggantikan dengan Umno.

“Kaedah Islam adalah kaedah yang diinginkan oleh kita.

“Jadi dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13, kita jangan pandang kiri, jangan pandang kanan... kita ada landasan yang betul,” kata Khalid.

Usul itu dibawa oleh kawasan Kubang Kerian, Pokok Sena, Kubang Pasu, Jerantut dan Bandar Tun Razak mahu PAS pusat memenangi seberapa banyak kerusi Parlimen bagi menggantikan kedudukan Umno sebagai teras utama politik negara dengan membongkor kepalsuan perjuangan Umno khususnya kepada pengundi Melayu di pedalaman dan merangka strategi gerak kerja pilihan raya dari sudut daftar pemilih, kewangan, latihan kepimpinan jentera pilihan raya secara profesional.

Selain itu usul tersebut juga meminta PAS pusat mencadangkan kepada Majlis Pimpinan Pusat Pakatan Rakyat mewujudkan polisi pemilihan calon yang ketat, munasabah dan relevan bagi mengelakkan gejala lompat parti dan sekali gus mempamerkan wibawa serta keupayaan calon pada pandangan pengundi. (2MA)

Friday, June 11, 2010

Kalau Dapat Bini Muda, Jangan Lupa... -Mohd Amar Nik Abdullah


JUN 11, 2010: "KALAU dapat bini muda, janganlah dilupa bini tua. Buruk-buruk pun, biarlah, bini pertama," kata perwakilan Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah disambut gelak ketawa kira-kira 1000 perwakilan di Pusat Trabiah Islamiyyah Kelantan (PUTIK) di Pengkalan Chepa hari ini.

"Biarlah kita igat (tangkap) dua-dua (pihak). Janganlah yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran." Tambahnya lagi.

Komen Blog Ibnu Hasyim
: Mendengar guruh dilangit, air di tempayan dicurahkan. Mengharap dengan membuka ruang lebih besar kepada penyertaan bukan Islam, jangan sampai orang Melayu Islam lari meninggalkan PAS.

Mungkin begitulah kira-kira maksudnya. Komen mesra menarik, tajam dan lucu dari Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. Ingat! Sekali-kali jangan lupa bini tua.. dapat tak dapat bini muda, tak kira!

K'taan P/PAS: 'Luncai luar parti' Diituju Kpd Blog-blog?




KL. JUN 11, 2010: MELIHAT tajuk berita dalam Malaysiakini hari ini bertjuk "PAS: Waspada dengan blog, 'luncai' luar parti", tertulis...

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mahu semua anggotanya memberikan ketaatan dan wala' (kesetiaan) kepada parti dan pemimpinnya yang "menjalankan tugas sepanjang masa, bukannya bermusim".

Katanya, kesemua pemimpin tersebut - yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang termasuk ulama dan profesional - dipilih sendiri oleh ahli-ahli dalam muktamarnya tahun lalu.

"Adunan ini jugalah yang memperkasakan PAS untuk memimpin negara, dengan menolak jahiliyah sekularisma yang meminggirkan Islam dan memisahkan urusan dunia daripada Islam," katanya.

Berucap dalam muktamar ke-56 parti itu di Pengkalan Chepa hari ini, Abdul Hadi juga mengingatkan anggota dan pemimpinnya tidak terpedaya dan "hanyut bersama luncai di luar parti yang berkeliaran dengan labu-labunya".

"Alhamdulillah, walaupun kita berhadapan dengan cabaran sebegini, tidak ada seorang pun di kalangan kita yang terkeluar daripada bahtera perjuangan mengikut telatah luncai-luncai itu, walau pun menghadapi ribut dan gelombang yang datang dari segenap penjuru," katanya di hadapan kira-kra 2,000 perwakilan dan pemerhati.

Beberapa pemimpin kanan Pakatan Rakyat turut hadir dalam muktamar itu, antaranya Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, tokoh popular DAP Lim Kit Siang, penyelaras Pakatan Datuk Zaid Ibrahim dan wakil-wakil parti Islam daripada luar negara.

Sementara itu, menyentuh soal hubungan dalam Pakatan Rakyat, Abdul Hadi berkata selepas beberapa siri pilihan raya kecil sebelum ini, terutamanya di Sibu, telah menunjukkan kesetiaan dan kebersamaan gerak kerja yang baik.

"Oleh yang demikian, pendekatan fekah politik Islam yang dipegang oleh PAS menerusi amalan tahaluf siyasi (kerjasama politik) dalam Pakatan, dengan model Islam yang sebenar, akan terus diperkasakan," kata beliau yang juga ahli parlimen Marang.

Bagaimanapun, tambah Adul Hadi (kanan) lagi, penyertaan parti Islam itu dalam gerakan politik Islam mewajibkannya meneruskan persaudaraan ukhuwah (persaudaraan) dengan semua kumpulan Islam dengan penuh tasamuh.

"Inilah yang mewajibkan semua kumpulan Islam berada dalam saf (barisan) perjuangan Islam bersama PAS.

"Ukhwah yang dibina ini pula, wajar untuk digerakkan ke arah melaksanakan tanggungjawab amal Islami yang syumul (lengkap) di segenap pelusuk negara," katanya. -Malaysiakini.com

Antaranya menyebutkan, "... Abdul Hadi juga mengingatkan anggota dan pemimpinnya tidak terpedaya dan "hanyut bersama luncai di luar parti yang berkeliaran dengan labu-labunya"..." Tiada pula disebutkan sebagai '...blog, 'luncai' luar parti...', seperti tajuk berita Malaysiakini itu. Kita hairan mengapa Malaysiakini memilih tajuk itu. Dari mana sumber MK dapat sehingga mengaitkan 'luncai luar parti itu ditujukan kepada blog-blog?

Begitu juga dengan petikan ini, "Alhamdulillah, walaupun kita berhadapan dengan cabaran sebegini, tidak ada seorang pun di kalangan kita yang terkeluar daripada bahtera perjuangan mengikut telatah luncai-luncai itu, walau pun menghadapi ribut dan gelombang yang datang dari segenap penjuru," katanya..."

Kenyataan inipun masih belum menampakkan 'telatah luncai-luncai itu' adalah blog-blog. Apa tujuan Malaysiakini mengaitkannya?

Oleh: Blog Ibnu Hasyim

Royalti: Kelantan Bawa Ke Mahkamah 30 Ogos

PENGKALAN CHEPA, 11 Jun: Kelantan akan membawa tuntutan royalti negeri itu ke mahkamah 30 Ogos nanti selepas beberapa tindakan secara rundingan dilihat tidak membuahkan hasil.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Royalti, Datuk Husam Musa yang juga exco kerajaan negeri memberitahu demikian pada demonstrasi menuntut royalti selepas majlis perasmian muktamar sebentar tadi.

"Sebenarnya kita nak bawa pada hari kemerdekaan 31 Ogos, tapi oleh kerana mahkamah tidak berkerja pada hari tersebut, kita awalkan sehari," katanya disambut laungan takbir orang ramai.

Demonstrasi tersebut anjuran Dewan Pemuda PAS Kelantan yang diadakan di perkarangan Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK) selepas Majlis Perasmian Muktamar PAS kali ke-56 hari ini. Demonstrasi diketuai Ketua Dewan Pemuda, Abdul Latiff Abdul Rahman serta pimpinan pemuda PAS Kelantan dan disertai ribuan yang lain.

Abdul Latiff dalam ucapannya pula berkata, kezaliman kerajaan Umno pimpinan Datuk Seri Najib terhadap rakyat bumiputera negeri ini dilakukan dengan menafikan hak hasil bumi negeri sedangkan sanggup membayar 77 juta kepada syarikat perunding Apco worldwide. "Apa salahnya 20 juta yang dituntut rakyat diberikan kepada kerajaan negeri untuk diuruskan bukan kepada pihak lain kerana kerajaan negeri telahpun diberikan amanah oleh rakyat," katanya.

Sehubungan itu mereka menuntut agar royalti lima peratus milik rakyat Kelantan dikembalikan kepada kerajaan negeri dan bukan menggantikannya dengan wang ehsan seperti yang dilakukan kerajaan pada waktu ini. Kelantan sebelum ini mengemukakan tuntutan terhadap pusat agar dibayar royalti petroleum ekoran penemuan telaga minyak di perairan negeri.

Sementara itu, setiausaha perhubungan PAS negeri, Mohd Zaki Ibrahim juga ketika berucap, turut mengutuk tindakan kerajaan Umno itu. (2MA)

Ucapan Dasar PAS: Islam Adil Untuk Semua.


KOTA BHARU, 11 Jun 10: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menawarkan kepada semua agar bersama-sama Islam yang dibawa PAS kerana 'Islam Adil Untuk Semua" yang dijadikan beliau sebagai tema Ucapan Dasarnya dalam muktamar PAS ke 56 ini.

Tema ini dipilih kerana mereka yang adil lebih dekat dengan taqwa dan PAS mahu keadilan diberikan kepada semua tanpa mengira siapa mereka, kata Abdul Hadi dalam ucapan dasar yang diberikan beliau dalam muktamar yang diadakan di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) hari ini.

Dewan besar Putik penuh sesak dengan kira-kira 5,000 perwakilan, tetamu dan pemerhati di samping ratusan petugas media dari dalam dan luar negeri mendengar ucapan beliau dengan khusyuk. Turut menjadi tetamu adalah pemimpin Hamas Palestin walaupun rakan-rakan mereka sedang berdepan dengan tentera regi zionis Israel. Di samping itu, turut serta adalah pemimpin parti Al Adalah Maldives yang kini memerintah negara pelancungan itu. Selain itu, pemimpin MILF dari Filipina juga turut serta bersama lain-lain tetamu.

Dalam ucapannya, Abdul Hadi berkata, PAS akan memperjuangkan keadilan untuk semua yang diberikan oleh Islam tanpa mengira apa-apa batasan. Beliau berkata, Umno walaupun berkata akan memperjuangkan Melayu dan Islam tetapi pada hakikatnya sedang menghancurkan Islam dan Melayu juga. Ini kerana tindak tanduk Umno jelas merosak Melayu dan Islam, katanya.

Tindakan Umno juga merosakkan negara bahkan juga kaum lain di negara ini. Kehilangan blok minyak rugikan negara ratusan bilion ringgit. Umno juga terperangkap dalam retorik perkauman yang jauhkan kaum lain di negara ini. Inilah kecelaruan yang di bawa Umno, kata Abdul Hadi.

"Akhirnya, umat Islam terus ketinggalan dan berlakunya hakisan kesedaran dan kuasa, adalah hasil dari kesilapan kepimpinan negara kita yang tidak memperkasakan kepimpinan umat Islam dengan hanya melahirkan pemimpin yang tidak bermoral ddengan politik wang tanpa kewibawaan," kata Abdul Hadi.

Bagi beliau, Umno telah mengakibatkan malapetaka dahsyat berlaku terhadap masyarakat Melayu Islam apabila menanam kefahaman salah kepada mereka.

"Umno mendabik dada kononnya merekalah penyelamat Melayu dan Islam.

"Hakikatnya mereka telah gagal dan mengundang padah malapetaka.

"Imej Islam begitu murni telah tercalar akibat dari kegagalan dan ketidakadilan Umno," katanya.

Umno juga katanya menjadikan ekonomi negara sebagai modal pusingan di kalangan pemimpin mereka sahaja. Blok minyak katanya diserah begitu sahaja kepada negara lain sebagai pertukaran.

Sehubungan itu katanya PAS wajib mentafsirkan Islam secara sempurna dan lengkap bagi membebaskan khurafat pemikiran yang dibawa Umno.

"Keadaan ini mewajibkan kita berusaha sedaya upaya supaya orang Melayu yang majoritinya Islam ini dibebaskan daripada kepompong yang rosak itu.

"Di atas kegagalan Umno ini maka kita perlu mendampingi kelompok orang Melayu supaya mereka dapat bersama dengan PAS untuk diberikan kefahaman Islam yang sebenar," katanya (2MA)

PAS Letak Calon Bukan Islam..



KOTA BHARU jUN 11, !0:
Selepas penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS baru-baru ini, PAS terus melangkah ke hadapan dengan membenarkan penyokong bukan Islamnnya bertanding menggunakan lambang parti itu dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata keputusan itu dibuat hasil keputusan mesyuarat majlis syura - badan tertinggi dalam parti itu - kelmarin.

"Bagaimanapun mereka hendaklah faham pada ajaran Islam serta bermoral tinggi," katanya menjelaskan syarat-syarat yang dikenakan bagi melayakkan pemilihan golongan itu.

Abdul Hadi (gambar, tengah) bagaimanapun berkata jumlah kerusi dan kawasan pilihan raya yang diperuntukkan bagi golongan itu setakat ini masih dikenalpasti. Ditanya kemungkinan tindakan PAS itu bakal menyebabkan pertindihan dengan calon PKR dan DAP, Abdul Hadi yakin akan adanya persefahaman dalam antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat berhubung keputusannya itu.

"Kita akan tanding di tempat PKR dan DAP tidak bertanding," katanya dalam sidang media selepas merasmikan muktamar PAS ke-65 bertemakan "Islam Adil untuk Semua" di Pengkalan Chepa, di Kelantan hari ini. Dalam pilihan raya umum dua tahun lalu, seorang penganut Hindu Kumutha Raman bertanding 'mewakili' PAS di Johor. Penyokong PAS itu bagaimanapun bergerak sebagai calon bebas.

Tak gopoh tonjol dalam Pakatan

Ditanya tentang mekanisme PAS bagi mengelakkan calon bukan Islam mereka melompat parti, Abdul Hadi berkata kesemua calon dikehendaki mengadakan iqrar atau perjanjian dengan parti.

"Lagi pun, orang yang bermoral tidak akan melanggar perjanjian," katanya.

PAS sebelum ini berjaya mengekang fenomena lompat parti dalam partinya melalui "baiah" (sumpah taat setia) sesama Islam. Bagaimanapun, mekanisme tersebut tidak boleh dilakukan terhadap penyokongnya yang berbeza agama.

Sementara itu, Abdul Hadi juga menolak tanggapan bahawa PAS cuba mendominasi Pakatan melalui strategi barunya dalam pilihan raya umum itu.

"Kita tidak gopoh untuk menonjolkan diri," katanya yang juga ahli parlimen Marang.

"Bagi kita, mempertahankan Islam itu lebih penting daripada strategi." (2MA)

Misteri Coli Besar Sebelah.

SEGAMAT: Dia menjadi tumpuan bukan hanya kerana berstatus ‘janda berhias’ malah payudaranya menghairahkan setiap lelaki memandang.

Bagaimanapun, rahsia dan misteri payudara bersaiz ala ‘Dolly Parton’ berkenaan terbongkar apabila pemeriksaan dijalankan polis menemui ruang khas untuk menyimpan dadah. Taktik terbabit digunakan sejak setahun lalu tetapi terbongkar selepas polis yang menyerbu kediamannya, di Jabi, di sini, jam 6.10 petang Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abdul Majid Bin Mohd Ali, berkata saiz payudara janda terbabit menimbulkan syak dan selepas pemeriksaan dijalankan, pihaknya menemui sejumlah dadah terselit pada coli suspek.

“Saiz payudara terbabit menimbulkan syak kerana ia tidak sama tetapi lebih besar di bahagian kiri. Polis melakukan pemeriksaan sebelum menemui dadah jenis ganja seberat satu gram bernilai RM100 terselit pada coli dipakainya.

“Hasil siasatan, suspek orang perantaraan ditugaskan menghantar bekalan dadah dipesan daripada pengedar kepada pelanggan,” katanya.

Siasatan turut mendapati selain bertindak sebagai orang perantaraan dan menggunakan sendiri dadah diperoleh, suspek juga dipercayai menjadi pengedar kecil-kecilan untuk menampung pembelian akan datang dadah terbabit. Ujian air kencing dijalankan turut mendapati suspek positif dadah jenis ganja dan kini ditahan untuk siasatan lanjut.

Dalam kes berasingan, juga pada Selasa lalu, Abdul Majid memaklumkan pihaknya turut menahan seorang wanita juga berstatus ibu tunggal yang bertindak sebagai orang perantara sindiket dadah dengan alasan mendapatkan wang lebih.

“Kami khuatir golongan ibu tunggal ini yang mungkin kematian suami atau bercerai dan berada dalam kesempitan serta terdesak sanggup melakukan apa saja untuk mendapatkan sumber kewangan bagi menampung keluarga.

“Sindiket pula akan mengambil kesempatan atas kesempitan hidup mereka untuk mengeksploitasi keadaan sebelum ditawarkan menjadi orang perantaraan dengan upah tertentu. Akhirnya, mereka terperangkap hingga ada yang tertangkap,” katanya. (sumber: myMetro Online/AK)

Komen Ibnu Hasyim: Dalam Islam, isteri atau ibu yang tiada suami, tidak boleh dibiarkan menjadi 'ibu tunggal'. Tidak boleh dibiarkan bersendirian. Tiada istilah tunggal. Mesti ada 'kebersamaan' penanggung jawab, samada kerluarga lelaki, masyarakat dan negara. Kerana negara Islam juga adalah negara kebajikan.

Bebola Babi, Campur Aduk Dengan Makanan Halal.

PENGGUNA

RAMPAS...pegawai KPDNKK dan Jakim merampas produk bebola daging  babi terbabit.
Rampas... pegawai KPDNKK dan Jakim merampas produk bebola daging babi terbabit.

KL: JUN 11, 2010: Sebahagian besar pekerjanya memakai baju bertanda logo halal, namun amat mengejutkan apabila sebuah syarikat pengeluar makanan dikesan turut menjual produk berasaskan daging babi. Lebih menjijikkan, makanan berasaskan daging babi iaitu bebola babi diletakkan bercampur aduk dengan makanan halal seperti mi, kuetiau, bebola ikan dan kek ikan di dalam peti sejuk besar.

Amalan menjijikkan itu terbongkar hasil serbuan penguat kuasa Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Putrajaya di kilang terbabit di Taman Sutra, Sungai Petani, Kedah, Selasa lalu.

Menurut sumber Jakim, operasi diketuai Penolong Pengarah cawangan itu, Amri Abdullah dan disertai dua pegawai Jakim serta dua pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Sungai Petani, Kedah.

Katanya, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan orang ramai berhubung kemusykilan status syarikat pengedar makanan terbabit yang dikenal pasti memasarkan produk mereka kepada pengguna Islam di Kedah.

“Hasil serbuan pada jam 11.30 pagi, premis terbabit adalah kilang menghasilkan mi dan kuetiau oleh pemiliknya seorang pengusaha bukan Islam. Pemiliknya juga tidak pernah memohon sijil halal daripada Jakim.

“Pada masa sama mereka turut mengedarkan tiga makanan yang diambil daripada pengusaha lain iaitu bebola ikan dan kek ikan yang ada kelulusan halal daripada Jakim.

“Namun, kesalahan dilakukan pemilik kilang terbabit ialah mencampurkan semua produk itu dengan bebola babi yang mereka peroleh daripada pengeluar lain,” katanya.

Menurutnya, pihak Jakim dan KPDNKK menyedari kewujudan produk berasaskan daging babi itu berdasarkan pemeriksaan terhadap senarai barang jualan yang turut mencatatkan ‘pork ball’ atau bebola babi.

“Hasil pemeriksaan, kami menemui peket bertulisan ‘pork ball’ yang dicampurkan dengan produk makanan halal mempunyai logo Jakim di dalam peti sejuk besar,” katanya.

Sumber itu berkata, percampuran produk halal dengan daging babi terbabit boleh menimbulkan syubahah (keraguan) dari segi hukum syarak dan tindakan pemilik kilang itu menyalahi peraturan dan garis panduan yang tertakluk dalam syarat pemberian Sijil Pengesahan Halal Jakim. “Malah, siasatan lanjut mendapati produk babi dan makanan halal termasuk mi dan kuetiau dicampurkan di dalam satu lori sejuk beku yang sama sebelum dihantar kepada pelanggan dan peruncit di Sungai Petani,” katanya.

Menurutnya, ketika serbuan ada kira-kira 15 pekerja termasuk pekerja warga asing Bangladesh memproses makanan berkenaan dan kebanyakannya memakai pakaian yang memaparkan logo halal. “Pekerja mereka pakai baju dengan logo halal sedangkan pihak syarikat turut menjual babi. Tindakan itu seolah-olah mempersenda Islam,” katanya.

Menurutnya, pemilik syarikat terbabit berusia 40-an memberi alasan mudah apabila memberitahu tidak tahu ia satu kesalahan mengikut hukum Islam. “Susulan itu, KPDNKK merampas lebih 20 peket bebola babi berkenaan untuk tindakan lanjut. Siasatan turut mendapati syarikat terbabit tidak mempunyai lesen dari pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk beroperasi,” katanya. (Sumber mStar online/AK)

Anwar, Kit Siang Sertai Muktamar PAS


KOTA BHARU, 11 Jun 2010: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin utama DAP, Lim Kit Siang menjadi antara tetamu penting dalam muktamar PAS ke 56 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) dekat sini.

Kedua-duanya berjalan masuk bersama para pemimpin utama PAS yang diketuai Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta lain-lain pimpinan utama.

Turut sertai muktamar kali ini adalah para pemimpin kanan gerakan Islam seluruh dunia termasuklah dari Hamas yang sedang berdepan dengan tentera Zionis Israel sekarang. Sebelum masuk ke dewan, Abdul Hadi telah memeriksa pembarisan Unit Amal dengan diiringi pasukan gendang Rebana Ubi Kelantan.

Dewan Muktamar Putik penuh sesak dengan perwakilan dan pemerhati serta tetamu dari luar negara. Tahun ini, Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) menghantar wakilnya buat pertama kalinya menyertai muktamar kali ini.

Sembilan wakil Hamas yang di ketuai Dr Munir Syed Garada turut menyertai muktamar ini walau masih lagi bertembung dengan tentera Zionis Israel.

Turut menjadi sebutan Pengerusi Tetap, Haji Abu Kassim Abdullah adalah sebahagian dari wakil NGO Malaysia yang berada di atas kapal Mavi Marmara yang diserang tentera Israel ketika mereka menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Majlis menjadi meriah dengan lagu nasyid Kelantan yang dinyanyikan sebaik sahaja pemimpin duduk selepas berdiri menghormati lagu Negaraku dan lagu PAS.

Ini adalah kali ke 5 Muktamar PAS diadakan di Putik. Sebelum ini muktamar pernah diadakan di Markas PAS Kedah di Kota Sarang Semut, pada tahun 2008 di Stadium Indramulia, Ipoh manakala tahun lepas di Stadium Malawati Shah Alam. Muktamar kali ini juga menjadi sejarah kerana buat pertama kalinya disertai oleh DHPP yang baru sahaja dibentuk pada tahun ini. (2MA)

Sila lihat terus...

Lompat Parti, Kaji Pembahagian Kerusi -Usul D/Pemuda


KOTA BARU, 11 Jun 1020: Dewan Pemuda PAS menggesa parti itu mengkaji semula perjanjian pembahagian kerusi ekoran tindakan wakil-wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP keluar parit, perkembangan yang disaksikan sepanjang dua tahun ini.

Usul itu dibawa oleh Dewan Pemuda PAS kawasan Balik Pulau, Pulau Pinang. “Perjanjian pembahagian kerusi dikaji semula atas dasar isu melompat parti,” kata usul itu yang diluluskan lewat malam ini.

Usul yang diluluskan tanpa bahas ini menyebut, Dewan Pemdua PAS mengambil berat perkembangan terdapatnya ramai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti rakan-rakan Pakatan Rakyat melompat parti.

Malah menurut usul itu, tindakan melompat parti boleh menyebabkan imej Pakatan Rakyat terejas dan kesan melompat parti telah menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri Perak, yang menteri besarnya ketika itu merupakan wakil PAS.

Jentera pilihan raya akan menjadi lemah akibat perbuatan lompat, kata usul itu lagi. “Hanya Ahli Parlimen atau Adun daripada PAS sahaja yang tidak melompat parti,” kata usul itu menjustifikasikan keperluan tindakan tegas menangangi masalah lompat parti dalam Pakatan Rakyat.

Oleh itu, Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat mengambil ketetapan bahawa Pakatan Rakyat perlu ada mekanisme untuk mencari calon pilihan raya yang setia kepada parti. Pakatan Rakyat perlu menampilkan calon-calon yang benar-benar berketrampilan dan berkualiti. “PAS perlu memberi panduan yang bersesuaian kepada parti-parti komponen Pakatan Rakyat yang mempunyai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan undangan Negeri yang melompat,” katanya.

Usul serupa juga diluluskan oleh Dewan Ulama PAS Pusat pada muktamar mereka di Machang semalam. Dewan Ulama PAS berpendapat parti-parti komponen Pakatan Rakyat perlu berhati-hati dalam memilih calon mereka. “Walaupun ia tidak melibatkan kami tetapi apabila ada wakil rakyat komponen Pakatan Rakyat keluar, ia menjejaskan imej kesemua parti dan menjejaskan tahap keyakinan rakyat terhadap Pakatan,” kata Naib Ketua Dewan Ulama Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Kata beliau, komponen Pakatan Rakyat boleh menggunakan mekanisme kriteria ketat yang digunakan oleh PAS, yang membabitkan empat peringkat termasuk keputusan akhir oleh Majlis Syura. “(Bagaimanpun) ini tidak boleh dianggap sebagai campur tangan PAS dalam hal ehwal parti komponen tetapi nasihat sebagai rakan komponen,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Suhaizan Kaiat menegaskan, walaupun masalah ini tidak membabitkan PAS, jelas beliau, adalah wajar pihaknya membuat pendirian itu atas semangat Pakatan Rakyat. Sejak awal tahun lalu 10 wakil rakyat PKR, masing-masing lima Adun dan Ahli Parlimen PKR telah keluar parti itu.

Seorang lagi membabitkan DAP dari Perak. Tiga Adun, masing-masing seorang dari DAP dan dua dari PKR telah keluar parti mereka, sekali gus membawa kepada jatuhnya kerajaan negeri Perak pimpinan Pakatan Rakyat. Selain kriteria pemilihan ketat, lazimnya PAS juga menggunakan pendekatan angkat sumpah bai'ah bagi mengelakkan wakil rakyat yang terpilih keluar parti.

Perkara mengawal melompat parti menjadi tumpuan ketika kongres PKR dua minggu lalu Ketika ditemui wartawan pada sidang media semalam, Ketua Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hasan Al-Tantawi berkata, pihaknya mengambil sikap berhati-hati dalam membuat pemilihan calon untuk pilihan raya umum ke-13 dan berharap pimpinan parti memandang serius isu lompat parti yuang berlaku masa kini.

“Calon yang akan bertanding dalam pilihan raya adalah merupakan seorang bakal pemimpin dan ia semestinya melalui proses pentarbiyahan yang mantap terlebih dahulu dan berdasarkan merit,” ujar beliau lagi. Beliau juga berkata, isu lompat parti berlaku kerana calon mahupun wakil-wakil rakyat tersebut tidak mempunyai prinsip perjuangan yang kukuh dan disebabkan ketiadaan tarbiyah yang kukuh. (2MA)

Tawaran Video Seks Lucah Indonesia Suatu Penghinaan.

Aktres lucah Norway ajak Ariel berlakon



JAKARTA - Skandal video seks yang menampilkan pasangan mirip dua selebriti Indonesia, Luna Maya dan Ariel dari kumpulan Peter Pan, menjadi topik panas di laman sosial Twitter sehingga mengundang komentar daripada aktres lucah terkenal Barat, Vicky Vette, lapor sebuah akhbar semalam.

Vette yang merupakan bintang porno veteran dari Norway yang telah membintangi lebih 150 filem lucah setakat ini turut mengundang Ariel untuk berlakon bersamanya dalam filam lucah.

Ariel kini mendapat jolokan Ariel Peterporn selepas klip video seks itu tersebar secara meluas di Internet

"Aneh, topik hangat yang dibincangkan pada hari ini mengenai Ariel Peterporn, seorang penyanyi Indonesia yang memiliki klip video seks," kata bintang porno berusia 44 tahun itu dalam laman Twitter pada Selasa lepas.

"Saya tak berhenti-henti menerima komen daripada warga Indonesia mengenai lelaki ini," tambahnya yang pernah memenangi beberapa anugerah filem lucah.

Menurutnya, dia mahu turut serta berlakon dalam klip video seks terbaru Ariel Peterporn.

"Jika Ariel Peterporn dan Luna Maya datang ke Amerika Syarikat (AS), saya akan mengundang mereka untuk menjalani penggambaran film seks bersama. Pasti seronok, filem itu akan laris di Indonesia.", jelasnya

Pada masa yang sama, Vette mengaku dia sudah menonton klip video seks tersebut.

Kagum dengan aksi pasangan dalam video berkenaan, Vette menambah, dia akan mencadangkan rakaman itu kepada penerbit dan pengedar filem porno antarabangsa, Vivid Entertainment untuk dikomersialkan.

Pihak polis kini melakukan siasatan mengenai video seks itu selepas orang awam membuat laporan polis. - Agensi

Komen Blog Ibnu Hasyim: Tawaran ini sebagai satu penghinaan umat Islam Indonesia yang dikatakan 90% rakyatnya beragama Islam. Begitu juga terpalit najis itu kepada negara umat Islam yang lain. Apa tindakan dan hukuman yang patut dikenakan kepada mereka yang biadap itu? (AK)

Lihat sebelum ini, publisiti murahan menyebabkan tawaran berlaku..

Muslimat Muda: Saranan Nik Abdul Aziz Ditolak

Usul tergempar Dewan Muslimat PAS Pusat mengutuk kekejaman rejim zionis Israel terhadap umat Islam Palestin diluluskan sebulat suara dalam Muktamar tahunan parti itu kali ke-50 sebentar tadi.

Kota Bharu Jun 10, 2010
: Bernama melaporkan Dewan Muslimat PAS hari ini menolak usul menubuhkan sayap baru muslimat muda biarpun Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Nik Mat menyarankan agar sayap baru itu ditubuhkan bagi menarik golongan muda.

Penolakan usul itu, yang dibawa perwakilan Pengkalan Chepa, Zaharah Mohd itu, dibuat secara sebulat suara oleh perwakilan di muktamar di Kota Bharu. Zaharah mencadangkan usul muslimat muda itu supaya disertai wanita muda berusia bawah 40 tahun sebagai menampung pertambahan ahli membabitkan generasi muda dan langkah menarik golongan muda.

Bagaimanapun, ketika membahaskan usul berkenaan perwakilan Ipoh Timur, Diana Mohd Sani membantah usul itu. Beliau berkata masanya belum tiba bagi Dewan Muslimat PAS menubuhkan sayap baru itu meskipun sudah menjangkau 50 tahun penubuhannya. (2MA)

4 Usul Muktamar Dewan Ulamak Diluluskan.

MACHANG, 10 Jun 2010: 4 Usul Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat kali ke-49 telah diluluskan dalam sidangnya yang berlangsung hari ini...

Satu: '...mendesak menteri yang bertanggungjawab meluluskan lesen judi meletak jawatan.' Selain itu mendesak kerajaan persekutuan yang dikuasai Barisan Nasional (BN) menutup semua pusat perjudian dalam negara ini. Wakil Dewan Ulamak PAS Melaka, Ghani Minhat ketika membentang usul berkenaan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan Malaysia mengeluarkan lesen judi dalam semua bentuk perjudian. Usul tersebut dibangkitkan Dewan Ulamak PAS Melaka dan Kelantan. Usul berkenaan diterima sebulat suara.

Kedua: Manakala Dewan Ulamak PAS Terengganu pula mengemukakan usul berkaitan lompat parti di kalangan wakil rakyat Pakatan Rakyat yang disifatkan boleh menjejaskan kredibiliti parti dan Pakatan. Seorang wakil yang membentang usul terbabit berkata, tindakan wakil rakyat berkenaan boleh menjejaskan kepercayaan rakyat dan mewujudkan suasana politik tidak stabil di pelbagai peringkat.

”Maka Dewan Ulamak PAS Terengganu mendesak pimpinan Pakatan Rakyat supaya lebih berhati-hati dan cermat dalam pemilihan calon pada pilihan raya akan datang,” katanya. Usul berkenaan kemudian mendapat sokongan sebulat suara.

Ketiga: Manakala usul Ulamak Kuala Nerus pula mendesak kepimpinan tertinggi parti supaya menaikkan taraf Urusan Ulamak PAS kawasan kepada Dewan Ulamak PAS kawasan. Usul berkenaan juga mendapat sokongan padu. Usul Dewan Ulamak PAS Pusat pula memohon muktamar tersebut mengambil ketetapan dan memastikan dasar dan prinsip pejuangan PAS dipertahankan di samping memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

Keempat: Sementara itu usul tergempar pula dibentang Ulamak Pengkalan Chepa melalui wakilnya Nik Razi Nik Mat mencadangkan diwujudkan unit khas kaunseling bagi menyedarkan golongan remaja terhadap gejala sosial yang berlaku sekarang. Katanya, ulama hendaklah tampil berperanan menangani maslah remaja dalam masyarakat. Usul berkenaan juga dilulus tanpa sebarang bantahan.

Keempat-empat usul tersebut diluluskan tanpa sebarang perbahasan. Lebih 400 perwakilan Dewan Ulamak PAS dari seluruh kawasan di negara ini mengiikuti muktamar tersebut yang diadakan di Markas Dewan Ulamak di Labok. (2MA)

Kumutha Pun Boleh Pakai Pakaian Hijau Putih!

Ketua Wanita Dewan Himpunan Penyokong PAS, Kumutha a/p Rama sedang berucap.

KOTA BHARU, 10 Jun 10: Yang memakai lilit kepala bertulis 'Save Palestin' dan berselendang kain serban sedang berucap ini adalah Ketua Wanita Dewan Himpunan Penyokong PAS, Kumutha a/p Rama. Beliau menjadi tumpuan para perwakilan dan pemerhati apabila beliau sering mengaitkan agama dalam ucapannya.

Kerana semangatnya yang melahirkan rasa syukur berada dalam sebuah parti yang memperjuangkan Islam bersama kepimpinan ulama, kedengaran anggota perwakilan bertakbir. Kumutha dalam ucapan penangguhannya menegur sikap muslimat sewaktu muktamar yang kadang-kadang agak riuh rendah khususnya sewaktu membahaskan usul.

Menurutnya, sebagai seorang muslimat etika perlu dijaga. “Sebagai seorang muslimat kita kena sabar, bukankah sabar itu separuh daripada imam,”ujarnya sambil disambut takbir oleh para perwakilan.

Sambungnya, agama Islam memang diakui baik dan murni kerana itu nilainya perlu dijaga oleh para ahli. “Saya tinggal di Johor, saya dapati kaum muslimat ramai menutup aurat berbanding golongan lain yang tidak mengikuti jemaah ini,” ujarnya.

Pada masa yang sama beliau mengingatkan anggota parti jangan terpengaruh dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana mereka ada udang di sebalik batu. Katanya, jangan sekali-kali terpedaya dengan Umno yang tidak pernah jujur, berfikir dulu sebelum bertindak.

Beliau turut mempertikaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini membuat slogan Satu Malaysia. “Sebelum slogan tu Malaysia ada banyak ka? Satu ni je Malaysia,” ujarnya sambil mendapat tepukan gemuruh para perwakilan.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dalam ucapan penggulungan mencadangkan perwakilan dan pemerhati mengekalkan pakaian rasminya hijau putih. Menurutnya, keseragaman pakaian itu menandakan kesepakatan dalam perjuangan Islam. “Walaupun warna lebih kurang pelajar Pasti tak apalah, asalkan kita ada identiti kita dan perpaduan dan kesatuan dalam parti,” ujarnya.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh ketika menggulung ucapannya, mengharapkan anak bongsu PAS dapat membantu melebarkan perjuangan PAS di seluruh negara. Sambungnya, untuk itu Dewan Himpunan Penyokong PAS perlu diwujudkan di setiap negeri dan kawasan di seluruh negara.

Katanya, warna hijau lembut menggambarkan keceriaan dan bukannya kanak-kanak Pasti. “Kumutha pun boleh pakai baju warna ni ya,” ujarnya

Thursday, June 10, 2010

MP PAS Rantau Panjang Dituduh Ugut Pekerjanya

BERNAMA: Pegawai MP PAS Buat Laporan Polis Terhadap Majikannya.

KOTA BAHARU, 10 Jun 10: Seorang kerani hari ini membuat aduan polis mendakwa majikannya Anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof, mengugutnya kerana cuba mengemukakan laporan tentang prestasi majikannya kepada PAS pusat.

Lelaki berkenaan, Ahmad Syauqey Abdul Ghani, 35, yang mengaku sebagai pegawai khas kepada Anggota Parlimen tersebut, membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Baharu, pada pukul 10.30 pagi ini.

Bercakap kepada pemberita selepas laporan selama 1 jam 15 minit itu dibuat, beliau mendakwa majikannya mengugutnya melalui perbualan telefon dengan isterinya, Salwati Mohd Ariffin, 34, pada 5 Jun lalu.

Katanya, beliau mula berkhidmat dengan Siti Zailah awal Januari lalu.

Sementara itu ketika ditemui pemberita di muktamar ke-50 Dewan Muslimat PAS, Siti Zailah berkata Ahmad Syauqey bukan pegawai khasnya tetapi kerani di pusat khidmat rakyat Parlimen Rantau Panjang.

Katanya tugas kerani itu dipegang oleh isteri lelaki itu yang mengambil alih tugas tersebut tanpa memaklumkan kepadanya terlebih dahulu.

Ahmad Syauqey berkata satu salinan laporan “pemerhatian” ke atas majikannya juga diserahkan kepada Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh pada 1.40 tengah hari selepas Muktamar Muslimat berhenti bersidang untuk makan tengah hari. – Bernama.

PAS Dikritik Gagal Laksana Program Golongan Muda.

Bolehkah PAS menguasai golongan ini?

KOTA BHARU: Perwakilan Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat mengkritik kepimpinan tertinggi sayap itu kerana gagal melaksanakan program yang dilancarkan bagi mendekati golongan muda.

Perwakilan Perlis, Mohd Iqbal Mohd Sharif berkata, beliau kecewa program seperti 'Jom sertai PAS' dan 'Orang muda geng kita' hanya dilihat lebih bersifat 'hangat-hangat tahi ayam'.

"Buktinya laman web bagi program berkenaan juga sudah ditutup, jadi saya harap lepas ini program ini akan diteruskan dan dihidupkan semula," katanya ketika berucap membahas ucaptama Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat di Pusat Dagangan Kelantan di sini hari ini.

Selain itu, Mohd Iqbal berkata, Pemuda PAS perlu berusaha memenangi hati golongan muda sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti.

Jelasnya, PAS tidak boleh terus berpuas hati dengan kehadiran ramai golongan muda pada ceramah yang dianjurkan kerana tidak mustahil golongan berkenaan akan meninggalkan parti jika tiada usaha untuk memastikan mereka terus setia dengan PAS.

"Kita perlu tarik seramai mungkin golongan muda untuk sertai PAS, tapi pada yang sama kita perlu teruskan program agar mereka ini boleh terus kekal bersama kita.

"Kita jangan leka, mungkin pada hari ini kita bangga sebab ramai pemuda sertai kita, tapi sekiranya kita tak berjaya terus tarik perhatian mereka... tak mustahil mereka akan lari," katanya.

Dalam pada itu Mohd Iqbal melahirkan kekecewaannya kerana jawatankuasa Dewan Pemuda PAS tidak turun padang ke Perlis.

"Seolah-olah kami ini dianaktirikan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat... mungkin sebab negeri kami kecil.

"Mungkin juga mereka berikan alasan bahawa nak pergi ke Perlis susah kerana tak ada lapangan terbang... tapi saya fikir kalau ada pun mungkin mereka akan terus pergi ke Thailand," katanya sambil disambut gelak tawa para perwakilan. (mStar Online/2MA)

PR Digesa Tidak Perbaharui Lesen Premis Judi.


KOTA BHARU. JUN 10, 10: Kerajaan Pakatan Rakyat digesa supaya tidak memperbaharui lesen premis perjudian yang beroperasi di negeri-negeri yang dikuasai mereka.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasarudin Hasan Tantawi berkata, aktiviti perjudian secara tidak langsung meningkatkan indeks jenayah dalam negara.

"Sebagai satu pengajaran dan didikan berkesan, Dewan Pemuda PAS menyeru agar negeri-negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat tidak memberi kerjasama kepada Kerajaan Pusat dalam menyuburkan amalanmungkar dan keji ini.

"Negeri-negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat mesti dilihat lebih baik dan mulia berbanding kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN)," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat ke-51 di Pusat Dagangan Kelantan di sini hari ini.

Selain itu beliau berkata, tidak ada mana-mana agama yang menerima amalan perjudian yang dianggap tidak bermoral.

"Saya sudah periksa dengan wakil-wakil daripada agama lain dan mereka juga bersetuju bahawa agama mereka turut menolok amalan berjudi.

"Kami juga yakin bahawa pengundi memberi mandat kepada Pakatan Rakyat adalah untuk kita melakukan perubahan, menjaga serta memelihara tanah air dari terjebak dalam kemungkaran yang boleh membinasakantamadun," katanya.

Sementara itu pada sidang media selepas majlis perasmian berkenaan, Nasarudin berkata beliau yakin cadangan tersebut tidak akan menghakis sokongan di kalangan pengundi bukan Islam kepada Pakatan Rakyat yang turut dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

"Selepas muktamar ini kita akan turun bertemu dengan Ketua Menteri dan Menteri Besar di negeri Pakatan Rakyat bagi membincangkan mengenai cadangan ini.

"Malah saya begitu gembira dengan perkembangan terkini apabila Selangor dan Pulau Pinang turut sama mengambil pendekatan untuk membanteras judi sukan," katanya.

Jelasnya, beliau yakin cadangan memansuhkan lesen perjudian itu mampu dilaksanakan berdasarkan kejayaan yang dilakukan di Kelantan dalam membanteras aktiviti tidak bermoral itu.

"Saya yakin ia boleh dilakukan kerana kita dapat lihat bahawa rakyat bukan Islam di Kelantan menerima perkara tersebut dan saya tidak nampak mengapa ia tidak boleh diaplikasikan di negeri lain," katanya.

Berhubung kepada soalan sama ada PAS akan turut menghalang pengambilan arak sama seperti perjudian, beliau berkata: "Judi dan arak adalah dua isu yang berbeza.

"Seperti yang saya katakan tadi, tak ada mana-mana agama yang menerima amalan rasuah, tapi ada agama yang membolehkan pengambilan arak... jadi kita hormati perkara berkenaan," katanya. (mStar online/2MA)

Muslimat PAS Lulus Usul Wanita Jadi Naib Presiden

Ketua Wanita Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat R. Kumutha (dua, kanan) ketika hadir pada majlis perasmian Muktamar Dewan Ulama, Muslimat dan Pemuda di Pengkalan Chepa malam tadi. — Gambar Bernama

Kota Bharu. Jun 10, 10: MUKTAMAR Tahunan Dewan Muslimat PAS pusat hari ini meluluskan usul agar diwujudkan satu jawatan naib presiden untuk disandang anggota wanita parti itu. Usul berkenaan, yang turut mencadangkan diwujudkan jawatan Pesuruhjaya IV peringkat negeri untuk disandang oleh wanita, telah dibentangkan oleh wakil Kubang Kerian, Nurliza Yahya, yang berpendapat jawatan-jawatan itu sebagai satu pengiktirafan kepada sumbangan muslimat terhadap parti.

Semasa perbahasan wakil Selangor, Noraini Hussin, bagaimanapun membantah usul itu kerana berpendapat bahawa selama inipun PAS tidak pernah meminggirkan muslimat dalam urusan parti. "Saya bantah usul ini untuk diterima kerana selama ini PAS telah iktiraf kekuatan muslimat sama dengan naib presiden," katanya.

Noraini berkata kini terdapat 30 peratus penglibatan anggota wanita dalam urusan Pas termasuk dalam soal menggubal dasar parti. "Malahan muslimat PAS juga terpilih untuk bertanding dalam pilihan raya sehingga menang dan dilantik sebagai ADUN dan juga ahli parlimen," katanya.

Wakil Padang Rengas, Husna Saidon, pula menyokong usul itu dan berkata jawatan naib presiden untuk muslimat penting bagi mendapatkan pemimpin wanita yang mampu membuat dasar khususnya dalam isu berkaitan wanita. "Naib presiden muslimat juga penting dalam berperanan menghubungkan kepimpinan wanita dari parti komponen DAP dan PKR (dalam pakatan pembangkang)," katanya. - Bernama

Lulus Usul 30% Jawatan Untuk Muslimat.


KOTA BHARU, 10 Jun: Muktamar Dewan Muslimat PAS hari ini meluluskan usul mendesak PAS Pusat membuat ketetapan di semua peringkat agar melantik 30 peratus daripada ahli Jawatankuasa kerjanya daripada kalangan muslimat.

Usul yang dikemukakan oleh Dewan Muslimat PAS Kawasan Kubang Kerian, yang telah dipinda oleh lembaga penapis usul DMPP itu bersetuju dengan desakan itu demi untuk memberi pengiktirafan kepada muslimat yang mewakili separuh daripada pengundi dan separuh daripada rakyat Malaysia.

Ianya juga dipersetujui demi untuk menyahut resolusi Pakatan Rakyat 2009 dan Deklarasi Beijing. Usul berkenaan dibacakan semula oleh Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Senator Mumtaz Md Nawi, dengan pindaan.

Usul asal yang dikemukakan oleh Dewan Muslimat PAS Kawasan Kubang Kerian antara lain berbunyi Dewan Muslimat mendesak PAS Pusat mewujudkan jawatan Naib Presiden 1V di peringkat PAS Pusat dan jawatan Timbalan Pesuruhjaya 1V di peringkat perhubungan PAS negeri dan dan Wilayah Persekutuan.

Terdahulu beberapa perwakilan muslimat dari kawasan berbeza pendapat mengenainya dengan ada yang menyokong dan ada yang membantahnya. Antara yang menyokong usul asal perwakilan dari Padang Rengas, Dungun.

Namun ada juga beberapa perwakilan yang mewakili kawasan masing-masing turut menolak, antaranya Selangor, Rompin, Kelana jaya. Perwakilan dari Rompin, yang menolak usul berkenaan berkata dengan jawatan yang banyak akan menyebabkan mereka tidak mampu untuk mengendalikannya.

Menurutnya, bersesuaian dengan dengan peranan muslimat yang telah diletakkan oleh Islam itu sendiri di mana mereka tidak boleh dijadikan imam solat secara bersama dengan muslimin dan berbagai lagi, amat wajar jawatan tertinggi di peringkat parti tidak diberikan kepada muslimat.

Lagipun, menurutnya jawatan lain telah diberi kelonggaran untuk pimpinan seperti Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun), Senator dan wakil-wakil rakyat. Bagaimanapun perwakilan dari Dungun, Terengganu pula memberitahu, kegagalan mengurus akibat tanggungjawab yang banyak kerana sikap individu mereka sendiri dan bukannya jawatan.

Katanya, untuk menerajui kepimpinan negara, muslimat amat wajar mengisi kerusi tersebut sebagai persiapan. (2MA)

Sebuah Bahtera Melayu Hampir Karam.. -Nasrudin Hasan

June 10, 2010 :The Malaysian Insider.
Pemuda: PAS terima bukan Islam tak ancam orang Melayu
Seorang perwakilan Muktamar Dewan Muslimat di Kota Baru hari ini melangkah hiasan bendera Amerika dan Israel sebagai tanda protes terhadap rejim Yahudi. – Gambar Choo Choy May
KOTA BARU, 10 Jun - Dewan Pemuda PAS mempertahankan usaha parti itu membentuk Dewan Himpunan Penyokong PAS dengan menegaskan, langkah tersebut tidak bercanggah dengan usaha mengekalkan sokongan bukan Melayu dan meraih sokongan lebih luas daripada masyarakat Melayu.

“Dewan Pemuda PAS begitu meyakini, rahmat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w kepada seluruh alam adalah daripada Allah s.w.t. Tuhan yang maha Penyayang.

“Ia merupakan satu jaminan masyarakat Melayu dan bukan Melayu boleh hidup dengan harmoni dalam negara ini,” kata Nasrudin Hasan at-Tantawi dalam ucapan dasarnya pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat di sini hari ini.

Nasrudin berkata, dengan gandingan pelbagai pihak PAS mahu meningkatkan sokongan Melayu-Islam sehingga antara 15 hingga 20 peratus. Nasrudin, hanya golongan yang berpegang kepada politik perkauman yang sempit seperti Umno dan BN, beranggapan masyarakat Melayu akan terancam sekiranya keadilan diberikan kepada masyarakat bukan Melayu.

“Sedangkan menurut Islam, keadilan itu merupakan sesuatu yang wajib diberikan kepada golongan bukan Islam sebagaimana firman Allah swt dalam ayat ke 8, surah al-Mumtahanah,” katanya.

Bertitik tolak daripada hakikat itu, kata beliau, Dewan Pemuda PAS menyeru kepada pendukung dan penyokong parti supaya menghentikan perselisihan dalaman yang tidak berkesudahan.

“Yakinlah bahawasanya tiada percanggahan antara usaha untuk mempertahankan sokongan masyarakat bukan Melayu seperti yang diperolehi oleh PAS dalam pilihan raya umum ke-12 yang lalu dengan usaha untuk meraih sokongan masyarakat Melayu untuk pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.

“Kedua-dua golongan masyarakat bukan Melayu (ummah al-da`wah) dan masyarakat Melayu (ummah al-ijabah) sepatutnya didekati supaya mereka boleh memahami hala tuju perjuangan PAS,” katanya.

Dewan Himpunan Penyokong PAS dibentuk dengan menaikkan taraf Kelab Penyokong PAS yang ditubuhkan enam tahun lalu bagi mengiktiraf penyokong bukan Islam. Di sebalik usaha itu timbul keperluan bagi PAS itu untuk mengekalkan pangkalan sokongan orang Melayu khususnya di kawasan luar bandar.

“Ayuh! mari kita gemblengkan tenaga untuk mendekati mereka demi membina negara Malaysia yang sejahtera, adil, saksama dan mendapat keredhaan Allah berteraskan prinsip yang digariskan oleh al-Quran,” katanya.

Nasrudin menambah, setelah lebih 50 tahun Malaysia diterajui oleh Perikatan dan BN yang ditunjangi oleh Umno, negara ini kian jauh daripada keamanan dan kemakmuran.

“Hasil-mahsul yang dikurniakan oleh Allah s.w.t yang melimpah ruah tidak dapat dikecapi oleh rakyat kebanyakan sama ada Melayu ataupun bukan Melayu, sebaliknya ia hanya dirasai oleh segelintir manusia yang dapat menikmatinya,” katanya.

Tambahan pula katanya, naluri kemanusiaan dalam masyarakat juga terus runtuh dengan pelbagai gejala fasad dan keji, memangsakan manusia tanpa kasihan dan tidak mengenal usia.

“Oleh itu, Dewan Pemuda PAS menyeru kepada seluruh masyarakat Melayu-Islam supaya sama-sama berkongsi hasrat dengan PAS ke arah membina sebuah negara yang sejahtera, adil, saksama dan mendapat keampunan Allah s.w.t , seterusnya meninggalkan perjuangan perkauman yang sempit,” katanya.

Kepada para pencinta Islam dari kalangan para agamawan dan pertubuhan bukan kerajaan, Nasrudin menambah, Umno bukanlah selayaknya menjadi sandaran untuk mempertahankan Islam sebagai manhaj Rabbani, sebaliknya telah terbukti mengkhianati amanah Allah dan menzalimi rakyat.

“Dengarlah, seruan ini saya tujukan khusus untuk para agamawan dan NGO-NGO Islam, marilah kita mengeratkan kerjasama atas dasar al-birr wa al-taqwa supaya masyarakat Melayu-Islam akan lebih mengenali keadilan Islam dan kezaliman taghut.

“Dewan Pemuda PAS menginsafi, kami tidak berupaya meneroka segenap wilayah dakwah, maka diyakini saudara-saudaralah yang berupaya menyempurnakan visi dan misi kita bersama,” katanya.

Sambil mendakwa Umno sebuah bahtera Melayu yang hampir karam, Nasrudin mengajak bekas naib presiden PAS Datuk Nakhaie Ahmad dan menteri dan timbalan menteri kerajaan persekutuan Datuk Jamil Khir Baharom, Datuk Ahmad Shabery Chik, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan seluruh ahli Umno yang pernah berkongsi cita-cita menegakkan keadilan berasaskan manhaj Rabbani supaya kembali ke pangkuan PAS. (2MA)

Perjuangan Islam Satu Kewajipan -Nik Aziz

Oleh
Nik Abdul Aziz Nik Mat

UCAPAN AL-MURSYIDUL AM PAS MAJLIS PERASMIAN SERENTAK MUKTAMAR TAHUNAN DEWAN ULAMAK PAS PUSAT, DEWAN PEMUDA PAS PUSAT DAN DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT PADA 26 JAMADIL AKHIR 1431 / 9 JUN DI PUTIK, PENGKALAN CHEPA (gambar)

Firman Allah yang bermaksud : Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha Melihat. (An-Nisak: 58)

Terima kasih saudara pengerusi majlis,
· Yang Berhormat Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat,
· Al-fadhil Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat,
· Al-fadhilah Dewan Ketua Muslimat PAS Pusat,
· Al-fadhil Wakil Jawatankuasa Kerja PAS Pusat,
· Yang dihormati ahli jawatankuasa Ulamak, Pemuda dan Muslimat,
· Serta sidang perwakilan dan para pemerhatian Muktamar sekalian.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi syukur kita panjatkan kepada Allah SWT yang telah memberikan kita kesempatan untuk bersama-sama berada di dalam majlis perasmian muktamar tahunan dewan-dewan PAS Pusat pada malam ini. Saya mengucapkan terima kasih kerana dijemput untuk menyampaikan ucapan seterusnya merasmikan muktamar tahunan dewan-dewan yang julung-julung kali diadakan serentak pada tahun ini.

Mewakili pihak tuan rumah, saya mengucapkan selamat datang, “ahlan wasahlan wamarhaban biqudumikum..”

Perjuangan Islam Merupakan Satu Kewajipan

Para pimpinan, perwakilan dan pemerhati yang dikasihi sekalian.

Saya ingin memulakan ucapan ini dengan mengingatkan kita semua bahawa perjuangan Islam yang kita galas pada hari ini bukanlah satu pilihan, tetapi ia merupakan satu kewajipan yang terpikul di atas bahu kita semua. Ini kerana setiap perkara yang diciptakan oleh Allah SWT mempunyai tugasnya masing-masing. Makhluk seperti binatang mempunyai tugasnya. Kayu dan batu yang tidak bernyawa juga mempunyai tugasnya iaitu kesemuanya diciptakan oleh Allah SWT untuk kegunaan manusia sebagaimana yang disebut di dalam firmanNya:

Yang bermaksud: ”Dia-lah Allah, yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu”. (Al-Baqarah: 29)

Jika semua perkara di dunia ini diciptakan untuk kegunaan manusia, maka untuk apakah pula manusia itu sendiri diciptakan? Adalah janggal jika dikatakan manusia yang merupakan makhluk yang paling sempurna tidak mempunyai tugasnya yang tersendiri.

Justeru, Islam hadir dengan satu jawapan bahawa tugas manusia ialah mengabdikan diri kepada tuhan yang menciptakan alam ini iaitu Allah SWT. Jawapan ini jelas disebut oleh Allah SWT di dalam ayat yang berbunyi: Yang bermaksud : Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan supayamereka mengabdi kepada-Ku. (Az-Zaariat: 56)

Pengabdian kepada Allah SWT haruslah dengan cara yang Allah sendiri tentukan. Ia tidak boleh dibuat dengan hasil kreativiti manusia itu sendiri. Manusia boleh berinovasi tetapi tidak di dalam urusan pengabdian kepada Allah SWT. Oleh yang demikian, diutuskan para nabi alaihimussolatuwassalam untuk mengajar manusia bagaimana mahu mengabdikan diri kepada Allah gar tidak tersesat jalan dalam kehidupan ini. Hidup mengikut Islam adalah dua kali ; 1. Hidup untuk beribadah sepenuh masa iaitu hidup sekarang (duniawi). 2 Hidup selepas mati (kiamat) yang disebut dengan lebih daripada 40 nama termasuklah nama yaumiddin yang wajib diulang setiap kali muslim bersembahyang.

Inilah yang disebut sebagai dakwah. Para nabi datang bukan dengan tujuan mahu mengajar manusia bagaimana membina tamadun dan melakukan pembangunan fizikal, tetapi lebih jauh dari itu ialah dengan misi untuk menyelamatkan manusia dari terjun ke dalam api neraka di akhirat kelak.

Inilah apa yang dilakukan oleh PAS pada hari ini. Kita mewarisi perjuangan para nabi di dalam mengajak manusia ke arah makruf dan mencegah mereka daripada melakukan kemungkaran. Kita tidak mewarisi perjuangan demokrasi dari Eropah, Inggeris dan Perancis. Sekalipun zaman nubuwwah telah berakhir dengan pengutusan nabi Muhammad SAW, namun tugas untuk meneruskan usaha dakwah ini masih belum tamat dan tidak akan tamat selama-lamanya. Di dalam hal ini, para nabi yang akan menjadi contoh kita. Bukan mana-mana ahli falsafah. Kita tidak ke Barat dan tidak ke Timur mengikuti arus, apa yang kita pegang hanyalah Islam.

Inilah yang telah ditegaskan oleh pimpinan kita yang terdahulu. Saya ingin menukilkan tulisan Almarhum Doktor Burhanuddin Helmi di dalam majalah Suara Islam bilangan 1 tahun ke-2 yang dikeluarkan pada Disember 1957, beliau menulis, “Tiap-tiap perjuangan mesti ada cita-cita atau ideologi, dan cita-cita itu didasarkan atas tujuan yang benar-benar teguh dan adil, ideologi adalah nyawa kepada pertubuhan..”

Sesungguhnya, ideologi PAS ialah Islam. Tanpa Islam, PAS umpama jasad tanpa nyawa. Justeru, saya sekali lagi ingin mengingatkan bahawa perjuangan kita bukan bermula pada hari ini, ia merupakan perjuangan yang dimulakan oleh para anbiya’ yang terdahulu. Kita hanyalah mata rantai di dalam perjuangan ini, kita mempusakainya dari generasi yang terdahulu, dan kita menyambung mata rantai itu serta akan mewariskannya pula kepada generasi yang terkemudian.

Belajar dari sejarah

Para pimpinan, perwakilan dan pemerhati yang dikasihi sekalian.

PAS memilih untuk berjuang melalui medan siasah iaitu medan yang ditutup rapat pada zaman penjajah. Itulah penjajah Inggeris di Tanah Melayu, Belanda di Indonesia, Inggeris dan Perancis di Timur Tengah. Siasah PAS adalah politik-dakwah. Maka, kita bergerak sebagai parti politik dan kita berdakwah (berkempen) ketika bertanding dalam pilihan raya dan selepasnya demi mencapai cita-cita untuk mempersembahkan Islam yang sebenar kepada masyarakat. Dalam perjuangan inilah, PAS telah melalui sejarah panjang yang dipenuhi dengan peristiwa jatuh bangun di dalam arena politik-dakwah.

Kesemua pengalaman pahit manis ini merupakan khazanah PAS yang berharga di dalam mendepani cabaran pada masa akan datang. Dalam menyertai pilihan raya, PAS pernah bersendirian meraih sokongan rakyat. Hasilnya, PAS berjaya menguasai Kelantan dan Terengganu di dalam pilihan raya umum pada tahun 1959. Sekalipun berdepan dengan parti gabungan Perikatan pada masa itu, namun kita berjaya mentadbir Kelantan dan Terengganu dengan baik. Sejarah juga mencatit bagaimana PAS telah diajak masuk bergabung ke dalam Barisan Nasional oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1973. PAS pada masa itu dengan hati yang ikhlas menyambut huluran tangan perpaduan dengan harapan berlaku kebaikan berpanjangan. Rupanya Barisan Nasional adalah perangkap bagi PAS.

Kita menyertai Barisan Nasional demi perpaduan, namun kesannya amat parah kepada PAS khususnya di Kelantan, PAS sendiri telah berpecah empat – selain PAS, munculnya Bebas Bersatu, Hamim dan Berjasa. PAS hampir-hampir ranap akibat perpecahan tersebut. Ia ditambah lagi dengan peristiwa PAS ditendang daripada Barisan Nasional dan akhirnya kehilangan kerajaan di Kelantan pada tahun 1978.

Para pimpinan, perwakilan dan pemerhati yang dikasihi sekalian.

Inilah sejarah jatuh bangun PAS di dalam politik negara. Saya rakamkan semula di sini bukan untuk mengungkit luka lama agar berdarah kembali, jauh sekali mahu melemparkan bara dendam untuk dimarakkan, tetapi untuk menjadi pengajaran kepada kita semua di dalam menongkah perjuangan. Ingin saya peringatkan, lembaran sejarah mencatit UMNO dan Barisan Nasional ialah rakan yang tidak setia, tangan kanan menghulur salam, tangan kiri melipat senjata.

Selepas ditendang keluar dari Barisan Nasional, PAS bersendirian, kembali dagang mengatur tapak membina kekuatan seperti dagangnya Nabi Muhammad SAW sekembalinya dari Thoif dengan kakinya yang mulia berlumuran darah sambil merayu kepada Allah SWT dengan doanya yang masyhur. Berkat kegigihan, kita bengah dengan semaraknya Kepimpinan Ulama disokong oleh penggerak tarbiyah parti yang terus memperkasa Kepimpinan Ulama.

Landasan tarbiyah turut sama mengukuhkan kepimpinan Pemuda dan Muslimat. Berkatnya Kepimpinan Ulama telah mendapat sokongan semakin ketara, sehingga mampu mengatur perancangan politik-dakwah mendepani segala cabaran. Antaranya, persepakatan dengan Semangat 46 membolehkan PAS menguasai Kelantan semula pada tahun 1990, persefahaman dan penyertaan PAS dalam Barisan Alternatif menghadiahkan kemenangan di Terengganu pada tahun 1999 dan akhirnya melalui percaturan satu lawan satu di dalam pilihan raya umum ke-12 lalu, ian telah mencatit sejarah di mana kita berjaya menafikan majoriti dua pertiga (2/3) Barisan Nasional di parlimen.

Menghadapi pilihanraya umum ke-13

Para pimpinan, perwakilan dan pemerhati yang dikasihi sekalian.

Hasilnya, berlaku hubungan politik PAS~PKR~DAP semakin kukuh. Ia membawa lahirnya Pakatan Rakyat sebagai alternatif baru untuk rakyat Malaysia menggantikan Barisan Nasional. Maka saya melihat kehadiran DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat ini semacam satu kifarah Allah SWT kepada kita semua pejuang PAS. Ini kerana setelah beberapa lama alim ulama kita termasuk tok-tok guru di pondok-pondok tidak melaksanakan tugas dakwah menyebarkan Islam kepada kumpulan non Muslim (Cina, India, Siam atau orang Asli) menyebabkan sebaran dakwah baik di pondok atau di sekolah-sekolah Arab hanya berkisar di kalangan sesama Islam sahaja. Melayu ajar melayu sahaja. Maka secara politiknya kita berpakat, namun pakatan itu hendaklah bersama tugas dakwah. Sekarang rakain kita adalah mad’u kita.

Strategi sebegini amat penting kerana nilai perjuangan suci kita adalah tidak boleh lagi bersekongkol dengan pihak yang menyuburkan maksiat, lantaran kita telah melihat sendiri kesan politik dan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional yang menimbulkan pelbagai kekalutan kepada rakyat dan negara. Berlaku semakin serius gejala maksiat, buang bayi, pembunuhan, rompakan, rasuah, kemelesetan dan sebagainya.

Atas alasan inilah, kita mahu menjadi alternatif kepada Barisan Nasional bagi menghadapi pilihanraya umum nanti. Pilihanraya tidak berlaku 4 atau 5 tahun sekali. Bagi orang yang beragama, pilihanraya berlaku setiap saat antara nafsu ammarah, lawwamah dan mutmainnah. Kita mahu eratkan hubungan dengan DAP dan PKR dan kita mahu rakyat memberikan mandat kepada kita. Justeru itu, kita hendaklah berani menawarkan alternatif ini dan sedia berikrar kepada semua rakyat termasuk Cina, India, Siam dan seumpamanya bahawa kita akan membuang semua unsur-unsur kerosakan yang ada di dalam kerajaan UMNO pada hari ini dan menggantikannya dengan amalan pentadbiran bersifat good governence iaitu berintergeriti, adil, bermoral, cekap, telus dan bertanggungjawab. Kerana memang begitu ajaran Islam, itulah kelebihan kita bergerak di atas landasan Islam. Ia turun daripada Allah bukan diseludup masuk daripada Eropah.

Kita yakin dengan tawaran ini, misi kita bersama-sama Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum ke-13, bakal membentuk sebuah kerajaan yang benar-benar memenuhi aspirasi semua lapisan rakyat. Kerana tidak asatu pun ajaran Islam yang boleh memudaratkan manusia tanpa mengira bangsa. Sehubungan itu, saya amat berharap agar pihak parti dapat menterjemah sebaik mungkin apa-apa langkah dan usaha atau strategi yang berkesan ke arah memastikan realiti PAS adalah sebenar-benar memimpin perubahan menghadapi pilihanraya umum ke13 nanti.

Perjalanan kita masih panjang, noktah perjuangan kita masih jauh. Namun, tanda-tanda kemenangan sudah kelihatan. Walaupun guruh di langit bukan menandakan hujan akan turun, namun sekurang-kurangnya harapan ada untuk menyaksikan kemarau akan berakhir. Lantaran itu, ingin saya ingatkan sekali lagi bahawa masa depan ialah bersama Pakatan Rakyat di dalam membina Malaysia yang baru. Memahami realiti semua, maka PAS mestilah bersedia menunjukkan kehebatan dan kehebatan PAS itu adalah sentiasa berpegang kepada prinsip tidak mengasingkan agama dan politik, mempertahankan al-Quran dan Sunnah Nabi serta sentiasa berusaha ke arah penyatuan umat. Dr Yusuf al-Qaradawi selalu menggunakan istilah asolah al-Islam wa hadathah al-siyasah.

Fokus menawan pengundi Melayu

Para pimpinan, perwakilan dan pemerhati yang dikasihi sekalian.

Pilihan raya umum yang ke-12 dan siri pilihan raya kecil yang berlaku selepasnya, termasuklah terbaru di Hulu Selangor dan Sibu, jelas sekali bagaimana Barisan Nasional telah ditolak secara total oleh pengundi bukan Melayu. Hari ini, tidak dinafikan bahawa yang menjadi tongkat Barisan Nasional ialah pengundi Melayu.

Saya suka mengingatkan agar memerhati perkembangan ini dengan serius. PAS sebagai alternatif kepada UMNO perlu bergerak dengan lebih cergas di dalam meraih sokongan pengundi Melayu. Jangan dibiarkan orang-orang Melayu terus ditipu hidup-hidup dengan momokan ‘Ketuanan Melayu’ yang merupakan dongengan pemimpin UMNO. Orang orang Melayu perlu diingatkan bahawa keris yang dijulang oleh pemimpin UMNO itu bukannya untuk memperjuangkan Melayu tetapi hanyalah untuk merobek perpaduan kaum dan menikam bangsa sendiri yang tidak sehaluan dengan mereka. Buktinya, Kelantan sebagai negeri yang majoritinya Melayu dinafikan hak untuk mendapatkan royalti minyak daripada buminya sendiri. Projek-projek pembangunan daripada Pusat semuanya diserahkan kepada jabatan mereka sendiri. Semacam kerajaan Kelantan sekarang tidak sah dan pegawai-pegawai tidak berpelajaran, lemah dan korup.

Justeru, demi memastikan orang-orang Melayu turut bersama kita di dalam pelayaran bahtera perubahan ini, PAS perlu bergerak dengan lebih efektif agar dterima rakyat. Jika ditanya Kelantan apakah formulanya, saya suka menjawab bahawa formulanya ialah mendidik jiwa rakyat dengan agama, suburkan sanubari mereka dengan taqwa kepada Allah agar hati mereka tidak mati, tidak keras untuk menerima siraman hujan kebenaran. Usaha ini dilakukan setiap masa, bukan 5 tahun sekali tatkala menjelang pilihan raya. Bahkan perlulah sentiasa memilih antara laluan fujuraha (maksiat) dan laluan taqwaha (ketaqwaan). Inilah beza antara jemaah Islam dan sekular.

Pada sudut inilah, saya meletak harapan besar kepada Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat agar meletakkan keutamaan menguasai sasaran lebih besar pengundi Muslim Melayu. Semoga dengan jumlah 110 kerusi parlimen yang majoritinya muslim, akan berlaku suatu pendekatan terbaik bagi menjamin kemenangan Islam setidak-tidaknya kesemua kerusi yang PAS bertanding. Apa yang penting sampaikan seruan perjuangan Islam keppada semua lapisan masyarakat. Insya Allah, bila memahami Islam, mereka tidak bermusuh dengan PAS, sebaliknya akan menolak UMNO yang sekular itu. Jelaskan bahawa seruan ketuanan Melayu tetap menimbulkan rasa dendam, cemas yang berpanjangan. Kiranya golongan dendam ini berkuasa di satu masa, maka rasa dendamlah yang akan dilaksanakan. Moga dijauhi Allah.

Fokus mempamerkan Islam kepada golongan Nonmuslim

Para pimpinan, perwakilan dan pemerhati yang dikasihi sekalian.

Selain itu, saya amat berharap benar agar kita meningkatkan usaha untuk memperkenalkan Islam kepada saudara kita golongan Nonmuslim. Sudah sampai masanya untuk kita lebih serius mewajahkan semula Islam yang telah disolek dengan buruk oleh UMNO. Masyarakat Malaysia perlu disedarkan bahawa Islam bukan milik bangsa Melayu. Bahkan sejarah menyebut kaum Cina dan India terlebih dahulu menerima Islam sebelum bangsa Melayu sendiri di benua masing-masing sebelum bangsa Melayu sendiri menerima Islam kira-kira 500 ratus tahun dahulu.

Pada kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah di atas penubuhan Dewan Perhimpunan Penyokong PAS (ringkasnya Dewan Penyokong PAS). Dewan Penyokong ini adalah pemimpin dan ahlinya terdiri daripada rakan-rakan kita Nonmuslim yang sedia berjuang bersama kita. Ini merupakan satu langkah ke hadapan yang telah diambil ke arah mendekatkan perjuangan PAS kepada golongan bukan Islam (Nonmuslim).

Alhamdulillah, saya melihat fobia terhadap PAS sudah terhapus di kalangan orang-orang bukan Islam. PAS sebelum ini dijadikan sebagai hantu oleh UMNO untuk menakutkan Nonmuslim. Hantu itu sudah tidak wujud lagi, bahkan jika ia wujud juga, maka UMNO-lah hantunya. Tinggalkanlah UMNO dengan labu-labu kebangsaannya. PAS perlu terus melihat ke hadapan mengorak langkah memperkenalkan Islam sebagai cara hidup yang lurus. Saya optimis, jika masyarakat Nonmuslim berjaya memahami Islam yang sebenar, InsyaAllah pisau-pisau perkauman yang sekarang galak diasah oleh Barisan Nasional akan tumpul dengan sendiri dan akan memakan tuannya.

Sepakat Putrajaya (Consociational)

Para pimpinan, perwakilan dan pemerhati yang dikasihi sekalian.

Bertolak daripada gagasan menghadapi pilihanraya umum ke-13, ke arah menjadikan PAS sebagai peneraju politik negara, maka PAS hendaklah menguasai politik Melayu Muslim dan sekaligus mendapat kepercayaan pengundi bukan Melayu- Non Muslim. Melihat kepada sambutan rakyat sejak pilihan raya umum 2008 dan sebelas (11) pilihan raya kecil, dapat dikatakan bahawa telah berlaku tsunami politik kalangan pengundi bukan Melayu, khususnya pengundi Cina. Terbaru, atas nama Pakatan Rakyat kita berjaya merampas parlimen Sibu dari Barisan Nasional. Ia adalah bukti peningkatan keyakinan rakyat terhadap pendekatan politik baru Pakatan Rakyat untuk menggantikan Barisan Nasional.

Justeru, kita yakin mood rakyat sekarang adalah bersama Pakatan Rakyat. Rakyat sudah jemu dengan pendekatan politik kebendaan ‘beli undi’ dan sekular Barisan Nasional. Atas prinsip politik Pakatan Rakyat yang mula diterima ini, maka PAS hendaklah bersama dengan mood rakyat. Dengan ini, suka saya mencadangkan agar kesemua peringkat parti, khusus Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat yang bermuktamar kali ini dapat membincang dan merumuskan pendekatan politik-dakwah secara khusus atas cita-cita mengisi tema ‘Sepakat Putrajaya’ persis Fathu Makkah pada zaman Rasulullah SAW. Ia bermaksud, suatu laluan Putrajaya sudah dirintis, terbuka dan rakyat sedia mengiringinya. Maka, pemimpin pasti sedar, dan tunggu apa lagi?

Berkerjalah kita. Persoalannya, sejauh mana PAS sebagai parti untuk menguruskan bahtera perjuangan membuat persediaan. Seruan saya, mantapkan tindakan ke arah mengisi ‘Sepakat Putrajaya.’ Maka, laksanakanlah perintah Allah, sebagaimana firman-Nya: Yang bermaksud: Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu... (Al-Anfal: 60)

Sebagai menyahut seruan Sepakat Putrajaya ini, maka Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat hendakklah membina pelan strategik pilihanraya ke-13 sebagai panduan bagi memastikan segala usaha dewan-dewan adalah menyokong gagasan PAS memimpin perubahan tatkala pilihanraya umum akan datang.

Amanah kepada Dewan-Dewan

Para pimpinan, perwakilan dan pemerhati yang dikasihi sekalian.

Jika demikian besarnya urusan parti, maka setiap dewan ada amanah yang perlu dilaksanakan. Terawalnya kepada Dewan Ulama, saya menaruh kepercayaan untuk berperanan sebagai pemantau dan penasihat yang berkesan. Alhamdulillah golongan ulama telah lama turun padang berkhutbah, berceramah, naik rumah turun rumah sebagaimana Rasulullah SAW masuk khemah keluar khemah di Padang Mina dahulu.

Ulama perlu yakin bahawa mereka merupakan kiblat kepada perjuangan. Mana yang salah mereka perbetulkan, mana yang rebah mereka bangunkan, mana yang bengkok mereka luruskan. Jika ulama sendiri salah, rebah dan bengkok maka malanglah perjuangan ini. Al-Imam al-Ghazali rahimahullah di dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin (jilid pertama) menyebut: Yang bermaksud : Ulama ialah garam Allah di bumiNya.

Daging dan ikan dapat diselamatkan daripada berbau busuk dan rosak setelah diserapkan dengan garam. Apa kata jika garam itu sendiri tidak masin? Sudah tentu tidak ada lagi yang dapat menghalang daging itu busuk.

Berbezanya kita dengan UMNO ialah kita meletakkan ulama sebagai institusi yang dihormati, UMNO pula meletakkan ulama sebagai alat meraih sokongan. Selain itu, saya mencadangkan agar Dewan Ulama gigih berusaha membenttuk pelapis yang terdiri daripada ulama muda. Latihlah generasi pelapis yang boleh memandu perjalanan parti dengan ilmu yang mereka ada. Lihatlah contoh terbaik yaang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang mengamanahkan kepada Usamah bin Zaid sebagai panglima pada saat-saat akhir usia baginda.

Selain itu, sebarkanlah keyakinan kepada masyarakat bahawa hidup ini tidak hanya tamat setakat di dunia sahaja, tetapi akan dinilai semua amalan di akhirat kelak. Jika masyarakat dapat diyakinkan dengan aqidah ini, saya yakin peruangan PAS secara automatik akan diterima kerana inilah tujuan sebenarnya PAS bergerak.

Di samping itu, para ulama boleh mempelopori langkah mempelajari bahasa yang dituturkan oleh rakyat Malaysia. Jika ulama dapat menguasai bahasa Mandarin dan bahasa Tamil contohnya, tentunya perjuangan PAS lebih mudah ditrima oleh rakyat Malaysia.

Kepada Dewan Pemuda, saya berpesan supaya sentiasalah menjadi pendokong kepada parti. Pemuda merupakan tonggak kekuatan gerak kerja parti. Bekalkanlah diri dengan wala’ dan thiqah kepada pimpinan dan luahkanlah teguran dengan cara yang baik dengan meraikan adab berjemaah. Sesungguhnya saya telah melalui perjalanan yang panjang lebih separuh abad di dalam PAS, saya benar-benar mmenyaksikan bagaimana rakan-rakan kita yang asalnya bersama dengan kita memilih untuk meninggalkan PAS hanya kerana terkilan dengan isu-isu peribadi yang tertentu. Oleh yang demikian, saya berharap pemuda hendaklah sentiasa memasak keyakinan bahawa perjuangan ini pasti akan diganjari oleh Allah SWT.

Akhirnya, kepada Dewan Muslimat, saya harap supaya terus istiqamah di dalam menjadi sayap penting parti. Firman Allah:

Yang bermaksud: Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. (At-taubah: 71)

Kerana itu, di samping lelaki (yakni Pemuda dan Ulama) peranan Muslimat akan mengukuhkan lagi jemaah. Maka pimpinan Muslimat perlu merancang langkah efektif untuk mendekati dan menguasai golongan pengundi wanita yang merupakan separuh daripada jumlah pengundi. Muslimat juga perlu lebih ke hadapan menampilkan sifat kepimpinan yang boleh dihormati. Mungkin tidak berdiri sama tinggi dengan golongan lelaki, tetapi tetap berdiri teguh dalam menongkat perjuangan, menabur baja iman dan menyiram air taqwa. Jadikanlah tokoh-tokoh juang muslimah yang melakar sejarah terdahulu (seperti Siti Aisyah isteri Nabi dan Zainab al-Ghazali muslimat Ikhwan Muslimun) sebagai idola dan ikutan di dalam menongkah arus perjuangan.

Sebenarnya, pihak parti sedia melayani suara Muslimat dan ruang menyampaikan suara itu terbuka luas dalam parti. Justeru, pihak parti sendiri sentiasa terbuka dalam meningkatkan lagi penglibatan Muslimat. Saya sendiri sejak awal-awal pentadbiran PAS di Kelantan telah mengiktiraf Muslimat sebagai senator dan kemudian wakil rakyat serta melantik sebagai ahli Exco.

Tuntutan istiqamah

Para pimpinan, perwakilan dan pemerhati yang dikasihi sekalian.

Demikianlah amanah yang dapat saya sampaikan di dalam majlis ini. Saya berdoa agar kita semua dapat mengambil manfaat daripada apa yang telah saya sampaikan. Besarlah harapan saya, ia tetap memerlukan kepada tuntutan istiqamah kepimpinan dan ahli di dalam melayari bahtera perjuangan ini. Realitinya, kita telah menanam benihnya yang akan dinikmati hasilnya oleh generasi yang terkemudian.

Paling penting, ikhlaskanlah usaha kita kerana Allah. Atas keikhlasan itu, semoga amalan kita dihitung sebagai amal soleh yang bakal mendapat balasan syurga. Firman Allah:

Yang bermaksud: Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun. (An-Nisak: 124)

Semoga setiap usaha yang kita lakukan kesemuanya dikira amalan yang baik dan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT. Dengan ini saya merasmikan Muktamar bagi ketiga-tiga Dewan – Ulama, Pemuda dan Muslimat. Semoga Muktamar kali ini berjalan dengan keberkatan Allah SWT. (2MA)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails