UMNO/BN tidak habis-habis menimbulkan isu PAS lebih bersedia berkawan dengan DAP, tetapi tidak bersedia untuk berbaik dengan Umno walaupun sebangsa.
Isu ini dibangkitkan lagi oleh Umno/BN dalam kempen pilihan raya kecil Galas, Kelantan dan kemungkinan akan berterusan sehingga masa yang lama. Namun isu ini diyakini tidak akan menjejaskan peluang PAS untuk menang, justru majoriti pengundi sudah sangat memahaminya.
Sama ada dalam kempen berbisik mahupun kempen terbuka, isu ini dibangkitkan lagi oleh Umno/BN untuk merebut undi simpati dari orang Melayu. Namun hujah ini sukar diterima oleh pengundi Kelantan, khususnya, justru rakyat Kelantan di bawah pimpinan Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat adalah zero perkauman.
Sementara itu, walaupun sudah berulang kali dijelaskan oleh para pemimpin PAS mengapa PAS menolak sama sekali Umno – yang telah melakukan pelbagai angkara dan kezaliman terhadap PAS
selama ini dalam pelbagai bentuk – namun sentimen ini masih dilaungkan lagi oleh Umno di mana saja ada kesempatan termasuk dalam kempen mereka di Galas.
(Gambar: Di mana sahaja, Dr Zul sedia menjalankan tugasnya sebagai doktor)
Sebagai biasa mereka menuduh PAS diperalat oleh DAP, sebuah phrasa yang merela ulang-ulang sejak kekalahan teruk Umno/BN dalam PRU Ke-12 2008 yang lalu. Pada hal tiada sebarang petunjuk yang membuktikan tuduhan mereka.
Ketika berkempen di Galas, untuk kesekian kalinya, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat terpaksa menegaskan sekali lagi akan dasar parti menolak untuk bersatu dengan Umno. Dalam masa yang sama beliau menerangkan mengapa PAS berbaik-baik dengan bukan Islam dengan memberikan hujah yang kukuh.
Beliau hairan dengan sikap Umno yang dianggap sebagai sebuah parti tua, lama memerintah tetapi pendek akal untuk memahami konsep atau matlamat kerjasama PAS-DAP.
“Kadang-kadang saya terfikir juga kenapa Umno susah sangat hendak faham, pada hal telah berkali-kali kita beri penjelasan. Perbezaan kerjasama antara Umno dan MCA serta MIC dalam Barisan Nasional dengan kerjasama antara PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat amat jelas,” katanya.
Kerjasama PAS dengan DAP dalam Pakatan, katanya, tidak pernah menjejaskan prinsip PAS sebagai sebuah gerakan Islam. PAS masih dengan agenda Islamnya bahkan “kami di Kelantan setiap tahun meraikan Hari Hudud.”
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membidas PAS kerana dikatakan terus mengeluarkan 'fatwa' sesuka hati berhubung kerjasama Umno dengan MCA dalam BN.
Dalam kenyataannya di Gua Musang semalam, Timbalan Presiden Umno itu dilaporkan berkata, PAS menganggap kerjasama Umno dengan MCA adalah salah tetapi pada masa sama 'menghalalkan' kerjasama PAS dengan DAP.
Menurut Tuan Guru Nik Abd Aziz, tindakan PAS menyertai BN sebelum ini menimbulkan perpecahan di kalangan PAS di mana wujud empat kumpulan di kalangan penyokong parti itu, termasuk Islah, Hamim dan Berjasa.
Tuan Guru berkata, kerjasama dengan DAP yang konon dikatakan sebagai chauvinis Cina tidak pernah menjejaskan prinsip PAS sebagai sebuah gerakan Islam.
Beliau menyifatkan Umno masih berfikir dengan kerangka perjuangan Melayu yang sempit sehingga tidak tahu menilai kesyumulan Islam secara keseluruhan. Disebabkan sikap ini, katanya, Melayu pun tidak terbela, Islam pun tidak terjaga. “Umpama Lebai Malang, ke hilir pun lapar, ke hulu pun tidak kenyang. Kononnya, Melayu dan Islam ialah perkara yang sama.”
Sementara itu, pemimpin Pakatan Rakyat meletakkan kesalahan ke atas Timbalan Pengerusi Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Husin mengenai isu lesen judi sukan.
Ketika berucap di kawasan orang Melayu di Sungai Terah di Galas, Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengingatkan pengundi mengenai pendirian tegas PR dari awal menentang langkah kerajaan pusat memberikan lesen judi bola sepak sehingga Putrajaya membatalkannya kemudian.
“Siapa yang mahukan judi bola sepak? Secara kebetulan dia dari Kelantan. Lelaki dari Bachok,” kata Tuan Guru merujuk kepada Awang Adek. “Saya rasa malu dengan tindakan dia,” kata beliau pada majlis ceramah di kampung tersebut.
Mei lalu, Awang Adek yang juga timbalan menteri kewangan mengumumkan bahawa kerajaan dengan serius sedang mempertimbangkan langkah membenarkan judi sukan menjelang kejohanan Piala Dunia 2010.
Bagaimanapun keputusan itu dibatalkan kurang dua bulan selepas itu dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa pentadbirannya tidak akan mengeluarkan lesen bagi tujuan tersebut.
Sementara itu calon PAS. Dr. Zulkefli Mohamed dan para petugas Pakatan Rakyat terus menerus menemui pengundi baik di kawasan pengundi Melayu, Cina, India, malah kawasan penempatan Orang Asli.
Sambutan yang diterima oleh mereka sangat menggalakkan, di mana mereka berjanji akan menyokong calon PAS.
“Saya merasa sangat selesa berada di tengah rakyat, bukan ketika kempen ini saja, tetapi sepanjang masa. Klinik saya sentiasa dikunjungi rakyat biasa,” katanya.
Kalangan pengundi Cina di Kampung Baru sudah ramai yang mengenali beliau, sementara pengundi Melayu dan Orang Asli juga kenal lama dengan Dr. Zulkefli yang membuka klinik di Felda Chiku 3, tidak jauh dari Dun Galas.
Bagaimanapun, kalangan pemerhati politik menganggap pertandingan di Galas itu memang sengit. Namun seorang pemimpin PAS berkata, harapan PAS untuk memang adalah cerah jika tidak ada penipuan, sogokan, pengundi hantu, ugutan dan elemen negatif yang lain.
Sudah tentu keputusan pilihan raya kecil Dun Galas pada 4 November itu akan menghantar banyak isyarat kepada pelbagai pihak, baik PAS mahupun Umno/BN. Namun meninjau kempen tersebut, jelas menunjukkan perpaduan anggota Pakatan Rakyat – PAS, DAP dan PKR begitu erat. Ini yang sangat merunsingkan pihak Umno/BN.Dapatkan laporan PRK DUN Galas dari mula hingga berakhir, seterusnya..
- E-Buku IH-14: P/Kecil DUN Galas
- Web PRK DUN Galas.Klip di sini atau dilaman utama -sebelah kiri.