KL 3 Jan 11: Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Wan Nik Wan Yussof mengesahkan adanya pertemuan majlis makan malam, dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, seperti dilaporkan sebuah media hari ini.
Nik Aziz hadir tetapi Wan Nik menegaskan, kehadiran beliau hanya atas jemputan menghadiri majlis santapan di Istana Terengganu, Kuala Lumpur. “Tok Guru hadir kerana diundang ke majlis santapan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong. Dan, turut hadir ialah Datuk Seri Najib, tiada kaitan dengan soal politik, majlis santapan sahaja,” kata beliau.
“Bagi Tok Guru, majlis itu adalah nilai sentimental,” kata beliau secara berseloroh. Bagaimanapun beliau tidak pasti sama ada pemimpin-pemimpin lain termasuk dari PAS turut hadir. Pertemuan itu berlangsung pada 24 Disember lalu.
Dalam akhbar Siasah keluaran terbaru, Ketua Pengarangnya Sayuti Omar berkata, “apa yang saya dengar ini ialah perjumpaan ‘besar’ di antara tiga tokoh negara ini dari dua parti berlainan.”
“Pertemuan itu ialah antara Mursyidul Am PAs dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Pertemuan ini berlaku di istana negara pada malam Jumaat lalu (24 Disember). Turut sama hadir katanya (Tan Sri) Muhyiddin Yassin,” kata Sayuti dalam laporan muka depan membawa gambar Nik Aziz dan Najib. Difahamkan satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan PAS pusat atau negeri Kelantan dalam sehari dua ini.
Akhbar itu berkata, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut diundang sama tetapi beliau dikatakan berada di London ketika itu. “Apakah beliau (Hadi) mewakilkan Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa atau tidak, tidak dapat dipastikan,” katanya.
Akhbar itu menambah, “rasanya pertemuan itu memberi banyak input kepada semua pihak terutamanya kepada Yang di-Pertuan Agong sebaagai orang berkuasa di negara ini.
“Begitu juga pertemuan itu memberi peluang kepada Najib dan Nik Aziz serta Muhyiddin bukan saja bertanya keadaan diri masing-masing, tetapi hal-hal lain juga,” katanya.Malah akhbar itu mempersoalkan sama ada pertemuan itu boleh dianggap sebagai rasmi memandangkan ada yang menganggap Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan, sebagai bukan pemegang jawatan eksekutif dalam parti itu.
“Pertemuan itu disalah tafsir tetapi saya tidak tahu apa agendanya, kemungkinan Tuan Guru akan menjelaskan butiran pertemuan itu,” kata Wan Nik.
“Saya tidak tahu sama ada pemimpin-pemimpin lain hadir sama,” kata Wan Nik lagi.
Difahamkan, pemimpin-pemimpin PAS didakwa berhadapan dengan satu lagi ‘perbalahan’ ekoran khabar angin bahawa kepimpinan tertinggi parti itu mengadakan pertemuan dengan rakan mereka dari Umno di ibu negara baru-baru ini. Khabar angin ini muncul ini hanya tinggal enam bulan sebelum PAS dijadual mengadakan pemilihan dwitahunan Jun ini.
Malah dakwaan ini mengulangi ‘krisis’ yang pernah disaksikan sebelum ini. Dalam pada itu, penyokong-penyokong Nik Aziz mendakwa Menteri Besar Kelantan diperangkap supaya menghadiri pertemuan bersama pemimpin-pemimpin Umno dan mereka juga mendakwa satu lagi pertemuan telah diadakan sehari sebelum majlis makan malam itu.
Beberapa pemimpin PAS terlibat dalam ‘debat’ mengenai isu itu menerusi laman sosial Facebook dengan mendakwa Hadi dan Nasharudin cuba memulihkan usaha untuk bekerjasama dengan Umno ke arah mewujudkan kerajaan perpaduan. Malah ada yang memertahankan kedua-dua Hadi dan Nasharudin masing-masing ahli Parlimen Marang dan Bachok.
Menerusi Facebook, Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Haron membayangkan beberapa pemimpin kanan PAS masih cenderung untuk membentuk kerjasama politik dengan Umno. “OK, tak habis lagi bagi pendapat masing-masing. Habiskan dulu pandangan masing-masing baru boleh ambo (saya) buat kesimpulan. Ambo boleh bagi tahu habis sampai warna baju yang dipakai oleh orang tu... dalam perjumpaan itu. Ada yang hendak nafi lagi?” katanya.
“Aku kata dah berlawan dalam Facebook ni makin nampak Umno dan puak prokerajaan perpaduan makin nampak hujah puak penakut nak berjuang dan mahu jalan pintas hendak jadi kerajaan,” kata beliau.
Mesejnya juga berkata, “guano sampai ada orang nak menafikan fakta saya sangggup berbohong pula ni.”
“Kalau pun nak pertahan orang demo sayang jangan sampai peringkat berbohong dengan mengatakan pemimpin itu pergi London tarikh tersebut.
“Betullah tarikh tersebut dia pergi London tapi dia naik kapal terbang malam, perjumpaan tersebut siang hari tarikh yang sama,” katanya lagi.
Tulisan Fatah itu menarik respons Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad yang turut meminta pemimpin dari Kelantan itu agar membuat aduan rasmi kepada ibu pejabat. Kata Idris, beliau berharap untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai pertemuan sulit yang disebutkan oleh Fatah agar setiap ahli dimaklumkan mengenai perkembangan isu tersebut.
“Parti (juga) boleh mengambil tindakan,” kata Idris dalam mesej Facebooknya.
“Secara rasmi, kami tiada sebarang maklumat. Kami berharap YB Fatah boleh membuat aduan rasmi kepada parti. Saya baru sahaja menghubungi Setiausaha Agung PAS (Datuk Mustafa Ali), beliau tidak tahu dan meminta YB Fatah untuk mendapatkan lebih banyak maklumat,” kata beliau. (IH)
No comments:
Post a Comment