ADIK bongsu bekas Presiden PAS ke-3, Allahyarham Dr. Burhanuddin Al-Helmi (Mohd Noor) yakin kecenderungan rakyat kini, menolak Umno-BN sebagai kerajaan selepas PRU-13 tidak lama lagi dan mereka sedar dengan apa jua isu yang tercetus kini, sebagai helah parti kebangsaan Melayu itu untuk mengelirukan rakyat dan mengekalkan kuasa.
Drs. Norbit Mohd Noor yang ditemui blogger Ibnuhasyim, Dr. Mohd Hashim dan Editor Harakah, Tarmizi Mohd Jam di sebuah restoran di Taman Dato' Senu petang tadi menegaskan, jika PAS, DAP dan PKR gagal membahterakan pelayaran "mood" rakyat ini, tidak mustahil Umno-BN mampu berkuasa lagi.
Beliau mengingatkan PAS, DAP dan PKR agar tidak menimbulkan onar sehingga rakyat hilang kepercayaan dan tak yakin lagi dengan janji serta manifesto Pakatan Rakyat. Katanya, jika rakyat "tak percaya" lagi, maka Umno-BN akan bangkit semula dan amat sukar untuk bertemu mood yang sama untuk Pakatan Rakyat pada masa depan.
Katanya kepada Sanggahtoksago.Com, trend rakyat yang ada menunjukkan mereka sudah muak dengan karenah para pemimpin Umno-BN yang sudah lebih 53 tahun diberi peluang untuk membela rakyat tetapi bangsa Melayu bukan sahaja gagal mencapai koata 30 peratus dalam pencapaian ekonomi negara, malah kedudukan mereka makin terhimpit dan tidak terbela.
Norbit yakin, harapan rakyat begitu tinggi terhadap Pakatan Rakyat untuk menggantikan Umno-BN selepas PRU-13 ini. sebab itu, jelasnya, sebarang isu yang boleh meruntuhkan kepercayaan rakyat terhadap Pakatan rakyat patut dielak, di jauhkan, di ketepikan dan tidak sekali-kali dijadikan kemelut dan polemik.
Sementara itu, Dr. Mohd Hashim (gambar) tidak menolak kemungkinan Umno kini sedang nazak dan PM cuba mencari jalan unutk memulihkan kekuatan Umno-BN keseluruhannya dengan menggunakan apa jua senjata untuk menarah atau menakik Pakatan Rakyat.
"Jika tak dijaga dengan baik, rakyat boleh berubah. Apatah lagi, Umno-BN mampu untuk menyogok rakyat dengan pelbagai cara, asalkan mereka mengundi BN dalam pilihan raya akan datang," tegasnya kepada Sanggahtoksago.Com.
No comments:
Post a Comment