Tuesday, January 18, 2011

Ismail Petra Pemerintah K'tan Yang Sah -T/Razaleigh


KL 18 Jan 11: Tuanku Ismail Petra adalah pemerintah Kelantan yang sah dan bukannya anakanda baginda Tengku Muhammad Faris Petra, yang memerintah sekarang. Demikian difahamkan pendapat dan pendirian ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah seperti kenyataannya pada sidang media awal bulan lalu.

Beliau akan diambil keterangan oleh polis Kelantan di ibu negara berhubung kenyataannya mengenai krisis Kelantan tahun lalu itu. Sumber-sumber memberitahu media hari ini, bahawa polis Kota Baru akan merakamkan kenyataan anggota kerabat diraja itu di rumahnya di Jalan Langgak Golf di sini 3 petang esok.

Pada 7 Disember lalu, Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata tindakan Tengku Razaleigh (gambar) yang masih mempertikai kedudukan Sultan Kelantan dari segi undang-undang adalah hak dan pandangan peribadi beliau.

Katanya, ini kerana kedudukan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V telah pun diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan. Tengku Razaleigh yang juga bekas menteri kewangan dalam kenyataan kepada medianya masih mempersoalkan status kedudukan Sultan Kelantan dari segi undang-undang.

Tengku Razaleigh mengeluarkan kenyataan itu selepas diminta mengulas keputusan Sultan Muhammad Ke-V memperkenankan penarikan balik dua anugerah kebesaran negeri, Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) (Al-Yunusi) dan tauliah pelantikan Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.P.M.K) (Al-Muhammadi I).

Pada 5 Disember lalu, Istana Kelantan mengesahkan penarikan balik dua darjah kebesaran itu yang dikurniakan kepada Tengku Razaleigh. Ini berikutan kenyataannya sebelum itu yang disiarkan akhbar berbahasa Cina dan menyinggung perasaan Sultan Kelantan. Tuanku Muhammad Faris Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September lalu.

Tengku Razaleigh, 73, yang juga Ketua Umno Gua Musang adalah datuk saudara kepada Sultan Muhammad V sebelah bondanya, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails