Kota Bharu 17 Jan 11: Ekoran perbezaan pendapat tentang kedudukan pekerja Islam bekerja di premis-premis arak di Selangor, Harakah melaporkan, PAS mencadangkan satu pertemuan antara tokoh-tokoh pelbagai agama di negara ini bagi membuat rumusan mengenai judi, arak, zina dan juga pergaulan bebas.
Ini bagi memberikan gambaran kepada masyarakat Malaysia bahawa bukan hanya Islam yang mengharamkan ketiga-ketiga perkara tersebut, kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
"Saya mengikuti dengan dekat isu larangan terhadap orang Islam untuk bekerja di premis-premis arak di Selangor seperti yang dilaporkan oleh media massa baru-baru ini.
"Di dalam hal ini secara asasnya saya berpendapat bahawa orang-orang Islam sewajarnya tidak dibenarkan untuk bekerja di premis-premis sedemikian yang jelas menyediakan makanan/ minuman diharamkan oleh Allah SWT," kata Nik Aziz yang juga menteri besar Kelantan.
Ronnie Liu & MB Selangor
Sebelum ini, Exco Kerajaan Tempatan Selangor, Ronnie Liu membantah keputusan melarang umat Islam bekerja di premis-premis menjual alkohol sebagaimana yang diputuskan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ). Ekoran itu, beliau mengarahkan agar MPSJ menarik balik larangan tersebut yang dikuatkuasakan baru-baru ini.
Pada 14 Januari lalu, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan Selangor bercadang menubuhkan sebuah tabung khas untuk membantu pekerja beragama Islam yang meninggalkan pekerjaan di premis dan pusat hiburan menjual minuman keras.
Jelas Khalid, empat ahli exco negeri iaitu Hasan, Yaakob Sapari, Dr Halimah Ali dan Rodziah Ismail diminta menubuhkan sebuah sekretariat yang akan mengadakan perjumpaan dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi membincangkan penubuhan tabung berkenaan.
Beliau berkata kerajaan negeri sedar kebanyakan orang Islam yang bekerja di tempat sedemikian membuat keputusan atas sebab ekonomi. Katanya, kerajaan negeri menghormati pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang melarang umat Islam bekerja di premis berkenaan.
“Pada masa sama, sebagai kerajaan prihatin dan adil, kita perlu memberi tempoh yang cukup kepada semua pihak termasuk pemilik premis dan pekerja yang terlibat,” katanya.
Khalid dijangka akan mengadakan pertemuan dengan semua Datuk Bandar dan Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan hari ini bagi mendapat pandangan mereka bagi memastikan penguatkuasaan enakmen itu dilaksanakan dengan baik dan berkesan. (IH)
No comments:
Post a Comment